Sinar OnLine
Edisi : 3

FOKUS  

 
 
Koleksi Sinar
MEWARNAI  
LEMBARAN KEMERDEKAAN  
 
 
 

GENAP 40 TAHUN. Malaysia kini berada di pintu kematangan jika dipandang dari sudut kemerdekaannya daripada belenggu penjajahan. Ribuan kesyukuran harus kita panjatkan kepada Allah di atas kurniaanNya ini. Kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang murah. Kemerdekaan ini memerlukan perjuangan. Dan perjuangan itu menagih pengorbanan yang berupa masa, harta dan juga nyawa. Kemerdekaan ini dibeli oleh para pejuang dengan air mata darah yang tumpah membasahi bumi Tanah Melayu demi untuk membebaskan anak cucu mereka dari terus dibawah kekuasaan sistem jahiliyyah Barat. Kini kita anak merdeka.  

Kini, tugas kita ialah mengisi kemerdekaan yang telah diperjuangkan selama ini. Ibarat lembaran-lembaran yang perlu diisi dengan coretan-coretan emas, supaya sejarah yang bakal dirakamkan di dalamnya merupakan sejarah yang gemilang dan menjadi kebanggaan. Namun terfikirkah kita? Adakah lembaran-lembaran itu selama ini telah diisi dengan coretan-coretan emas yang boleh dibanggakan atau hanya contengan-contengan arang yang mengotori? Imbaslah kembali. Selaklah lembaran-lembaran itu dan bacakanlah di hadapan hatimu yang dipimpini cahaya iman dan hidayah Illahi. Biarkan hatimu itu menjadi panel hakim dalam menilai kejernihan sejarah yang termaktub di dalam lembaran-lembaran tersebut. Jangan…Sekali kali jangan menilai lembaran itu melalui kulit emas yang membalutinya. Perhatikan isinya. 
Tidak dinafikan, selama 40 tahun sudah, kekosongan kemerdekaan telah diisi dengan pelbagai bentuk pembangunan. Dari segi struktur politik, ekonomi dan juga social. Malaysia berbangga dengan pembangunan infrstruktur yang kian pesat. Malaysia tak mahu kalah dalam segala segi. Dari yang "terpanjang" kepada "tertinggi". Daripada yang "terbesar" dan bermacam-macam lagi. Melihat orang lain maju dalam bidang teknologi, Malaysia tidak melepaskan peluang menyertainya seperti penglibatan Malaysia dalam Multimedia Super Corridor. Melihat orang lain maju dalam bidang hiburan, Malaysia berhempas pulas menyuburkan dunia hiburannya yang kononnya berteraskan budaya timur. Begitulah reaksi Malaysia yang baru berumur 40 tahun ini. Persis seorang pemuda yang menjangkau era kedewasaannya yang bersemangat dan kaya dengan cita-cita. Kata orang; darah orang muda. Kalau boleh, seluruh isi dunia ingin dinikmatinya. 
Dalam keghairahannya menyaingi negara-negara Barat, Malaysia lupa bahawa akar imannya masih rapuh. Ibarat akar sebuah pohon yang belum kukuh. Kemajuan yang dicontohi dari Barat adalah umpama menilai sebuah pohon dari buah dan dedaunnya. Kemudian, menyainginya dari sudut yang begitu kabur ini. C.K. Prahalad dari Harvard Business Institute di dalam tulisannya yang bertajuk "Core Competence of the Corporation", mengatakan bahawa sesuatu organisasi itu adalah umpama sepohon pokok. Kebolehan tersendiri atau Core Competence setiap organisasi adalah akar pokok tersebut. Manakala produk atau hasil pencapaiannya merupakan dedaun pokok. Oleh itu menurutnya, kita perlu menumpukan saingan pada memantapkan kebolehan tersendiri kita daripada membuang masa, tenaga dan juga pendirian kita dalam bersaing di sudut hasil pencapaiannya. 
Dalam konteks pembangunan yang di Malaysia, jelas pada kita bahawa pemegang amanah pemerintahan lebih menumpukan saingan pada hasil pencapaian negara-negara maju seperti US, Britain dan lain-lain lagi tanpa menitik beratkan akar tunjang pendirian kita sebagai negara umat Islam dan negara orang Timur. Akibatnya, kita bukan sahaja gagal dalam ertikata yang sebenarnya dalam saingan ini malah mengulangi sejarah hitam negara-negara Barat dalam mengejar kemajuan yang tidak mempunyai akar tunjang yang bersih dan kukuh. 
Akar tunjang yang dimaksudkan di sini ialah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Lihat sahaja benih-benih muda yang telah kita semai selama 40 tahun yang sudah. Serba serbinya maju. Maju dalam ekonomi, maju dalam teknologi. maju dalam berpakaian, maju dalam pergaulan, dan maju dalam hiburan. Malangnya mereka mundur dari segi akhlak. Umpama pohon yang cantik buah dan lebat dedaunnya tapi akarnya telah diserang anai-anai tanpa kita sedari. Ia hanya menunggu masa untuk tumbah bila ribut menerjah datang. 
Lihatlah anak-anak merdeka yang telah kita lahirkan. Leka dengan konsert-konsert yang kononnya mencerminkan kemajuan Malaysia dalam industri muzik. Kerana tidak mahu dikatakan ketinggalan zaman dalam dunia perfileman, anak-anak merdeka ini tidak segan silu menerbitkan filem-filem ganas dan berunsur lucah. Kerana tidak mahu dikatakan jumud, tubuh badan diperagakan supaya namanya harum sebagai ratu cantik dunia dan NERAKA. Kerana tidak mahu dikatakan orthodox, pandangan ulama diperlecehkan dan Islam ditafsirkan se"sederhana" yang mungkin. 
Bukanlah kita menolak pembangunan, kerana Islam menuntut kemewahan. Kemunduran dan kesengsaraan boleh menyebabkan pemindahan rasa kehambaan pada Allah kepada kehambaan pada manusia, atau dalam ertikata lain; penjajahan. Akan tetapi biarlah kemajuan yang ingin dikejari tumbuh dari akar yang kukuh dan mampan. Biarlah, lantai keimanan mendasari setiap pembangunan. Biarlah kebudayaan Timur menyuburi kemajuan. 
Selaklah semula lembaran-lembaran sejarah kemerdekaan kita. Dan adililah ia dengan ilmu yang ada dan dengan iman di dada. Yang sudah termaktub biarkanlah ia. Usahlah contengan-contengan arang diwarnakan dengan warna-warna pelangi. Tempalah sejarah baru. Sejarah yang bakal ditempa dengan dasar iman dan taqwa. Supaya anak-anak merdeka yang bakal lahir nanti, akan tersenyum bangga dengan coretan-coretan emas yang mewarnai lembaran-lembaran kemerdekaan. Bukankah itu yang kita mahukan?