SINAR ONLINE
 
|| Fokus || Feqah || Muslimah || Sains || Santapan Rohani || Semasa || Tauhid || Renungan ||
 

Semasa
Jerebu : Apa Persiapan Kita?
 
        Sekali lagi negara kita dilanda masalah besar. Dulu kita terkejut dengan merebaknya wabak (coaxakie), selepas itu kejatuhan matawang ringgit sehingga kadar pertukaran mencapai AUS$1.00 U RM$2.1004 pada 22 September lalu dan sekarang kita seperti terpinga-pinga pula dengan jerebu yang tak disangka-sangka melanda hampir keseluruhan negeri di tanahair. Darurat sudahpun diisytiharkan di Sarawak dan semua sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan telah ditutup. Dengar khabarnya peperiksaan SPM pun terpaksa ditunda. Teruknya bala yang Allah turunkan kepada kita kali ini. Tapi seperti biasa, tidak semua orang bersetuju kalau kita katakan yang jerebu itu adalah bala dari Allah supaya kita sedar dan menginsafi dan mensyukuri semua nikmat Allah. Bagi mereka ini, itu adalah bencana alam semulajadi. Ada kebenarannya pendapat tersebut tapi itu semua tidak akan berlaku jika manusia tidak memulakannya sebab Allah telah memberi amaran kepada semua manusia di dalam Al-Quran,
        "Dan setiap nasib buruk yang menimpa kamu adalah disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Tuhan memaafkan sebahagian besarnya."
(As-Syua'ra:30)
 
        Walau bagaimana canggih dan 'sophisticated' sekalipun persiapan dan langkah-langkah keselamatan yang diambil tetapi jika masih lagi melanggar amaran Allah, tidak mustahil bala akan Allah turunkan. Janji Allah itu benar belaka dan pasti akan berlaku! Jika kita imbas kembali peristiwa tanah runtuh kat Genting Highland, tiada siapa pun yang menduga semua itu akan berlaku sebab telah bermacam-macam langkah keselamatan yang telah diambil, sehingga pemilik resort (seorang cina) sendiri berkata, "Ini semua adalah kerja Tuhan Allah".

        "...Dan bila Allah hendak mendatangkan bahaya kepada suatu kaum, tiadalah dapat ditolak dan mereka tiada mempunyai pelindung selain dari Tuhan."

[surah Al-Anfal ayat 25]
 
        Banyak sebab mengapa Allah turunkan bala kepada sesebuah kaum. Yang paling jelas ialah bila hukum Allah dipermain-mainkan dan hukum ciptaan manusia diagung-agungkan. Malah ramai yang lebih berminat mengambil hanya separuh hukum yang Allah telah tetapkan walaupun rasanya semua telah mengetahui bahawa hukum yang Allah turunkan itu adalah muktamad.

        "Apakah kamu beriman dengan setengah-setengah kitab (Taurat begitu juga Al-Quran) dan kamu kufur dengan setengahnya yang lain? Maka tidak ada balasan lagi bagi mereka melakukan demikian itu daripada kamu melainkan kerugian hidup di dunia. Dan di akhirat nanti dikembalikan kepada siksa yang pedih. Dan Allah tidak lengah daripada apa yang kamu kerjakan."

(Al-Baqarah:85)
 
        Masalah jerebu di Malaysia bertambah teruk dan Allahua'lam, tiada siapa yang tahu apa kesudahannya. Di saat inilah perlunya kita berfikir dan bertanya kepada diri masing-masing, apa yang kita boleh kita lakukan. Berada di luar negara tidak bermaksud yang kita boleh mengambil sikap lepas tangan. Masalah ini adalah masalah umat dan masalah umat adalah masalah bersama. Apa perasaan kita jika terpaksa memakai 'safety mask' apabila keluar sahaja dari rumah? Walau apa pun jawapan kita, itulah yang dirasai sekarang oleh semua kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak bersalah di Malaysia. Tapi, bukan itu sahaja yang terpaksa mereka lalui, malah kesan jangka panjang berkemungkinan besar akan menimpa mereka. Inilah yang disebutkan di dalam Al-Quran bahawa jika Allah ingin menurunkan bala, bukan orang yang bersalah saja yang akan merasainya, malah semua orang akan turut terkena.

        "Dan peliharalah dirimu dari bencana yang bukan khusus menimpa orang-orang yang bersalah saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah itu amat keras seksaan-Nya."

(Ar-Ra'ad:11)
        Hanya doa sahaja yang mampu kita pohonkan kepada Allah dan sama-samalah kita berdoa semoga segala ujian dan dugaan yang terpaksa saudara-saudara kita di Malaysia hadapi sekarang dapat ditempuhi dengan tabah. Juga sebagai peringatan kepada kita agar tidak sekali-kali melupakan Allah kerana Allah akan melupakan kita jika kita lalai dari mengingatiNya. Marilah kita kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar dan InsyaAllah kita akan selamat di dunia dan akhirat.
 

 
|| Fokus || Feqah || Muslimah || Sains || Santapan Rohani || Semasa || Tauhid || Renungan ||

|| Koleksi Sinar ||