Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan ||
 

Tauhid
Apakah Hasyar
 
        Bila disebut perkara padang mahsyar, terbayang di fikiran akan peristiwa  manusia bakal dikumpulkan dan dihisab Allah akan amalan semasa di dunia. Jika mahsyar bermaksud tempat pengusiran, hasyar pula bermaksud usir. Kedua-dua perkataan ini saling berkaitan di mana hasyar ialah kerahan atau pengusiran secara paksa serta dihimpun di suatu tempat. Telah dinyatakan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith bahawa terdapat empat peristiwa hasyar, dua berlaku di dunia dan dua lagi akan berlaku di akhirat. Hasyar yang pertama berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran :

"Dialah yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli kitab (Yahudi) dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran (Hasyar) kali yang pertama.... "

(Hasyr:2)
 
        Peristiwa Hasyar yang pertama berlaku akibat sikap khianat kaum Yahudi Bani Nadhir yang membelot terhadap Rasulullah SAW. Semasa kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, banyak perjanjian yang di adakan antara pihak Islam dan Yahudi terutamanya Bani Quraidzah, Bani Nadhir dan Bani Mustalaq terutama berkaitan dalam hal keselamatan Madinah dari serangan musuh. Semasa berlakunya perang Khandak, Bani Nadhir telah membelakangi perjanjian yang telah dimeterai dengan Rasulullah dan menyertai pihak musuh. Lalu Rasulullah mengarahkan kaum tersebut meninggalkan Madinah. Semua puak Bani Nadhir termasuk pemimpinnya iaitu Huyai bin Akhtab dan Salam Bin Abi Haqiq kecuali dua orang yang memeluk Islam) meninggalkan Madinah dan ke ahibar dan Syam. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan lil-awwalil-hasyr_" yang bermaksud pengusiran kali pertama.

        Hasyr yang kedua berlaku apabila qiamat hampir menjelang tiba. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam dua hadithnya yang bermaksud tidak akan berdiri qiamat hingga terbit api yang besar dari bumi ijaz" dan "Akan terbit api dari pendalaman negeri Yaman". Api yang besar ini merupakan satu daripada tanda-tanda qiamat Api yang muncul terlalu besar sehinggakan tiada siapapun yang berani untuk menetap di bumi Hijaz. Api yang menyala dari bumi itu mungkin berpunca dari bahan pembakar yang keluar dari perut bumi dan merebak dari satu wilayah ke wilayah yang lain. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT;

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat) dan bumi telah megeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya)."

(Al-Zalzalah:1-2)
 
        Ada tiga golongan manusia yang akan dikerah untuk mengadap Allah SWT  di padang Mahsyar kelak. Ini dinyatakan dalam dua hadith Rasulullah SAW  yang  memperjelaskan akan peristiwa hasyar yang ketiga, yang bakal berlaku di akhirat kelak. At-Termizi  meriwayatkan hadith Rasulullah SAW yang berbunyi, "Manusia di akhirat kelak akan dikerah kepada Allah SWT dengan berjalan kaki, satu golongan yang lain pula dikerah (menghadap Allah SWT) dengan menunggang kenderaan, dan satu lagi golongan dikerah (menghadap Allah SWT) berjalan dengan mukanya ke bumi. Lalu sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya berjalan dengan mukanya ke bumi? Jawab Rasulullah SAW: Jika Allah SWT mencipta manusia berjalan dengan kedua kakinya, maka Allah tidak merasa sulit untuk menjadikan manusia berjalan dengan mukanya." Hadith yang lain pula mengatakan bahawa golongan yang ketiga itu ditarik kakinya oleh malaikat, menyebabkan kakinya tersembam ke bumi. Hadith ini di riwayatkan oleh An-Nasai' dan Abu Zarrin. Ketiga-tiga golongan ini dikerah dengan cara yang berbeza bagi menunjukkan perbezaan cara mereka menghadap Allah semasa di muka bumi. Balasan yang baik untuk mereka yang mempunyai keimanan dan ketaatan kepada Allah dan yang sebaliknya untuk yang orang engkar dan tidak taat. Peristiwa hasyar yang ketiga ini menandakan permulaan kehidupan manusia di akhirat sebelum tibanya saat penentuan sama ada di syurga atau neraka .

        Hasyar yang keempat pula merupakan hasyar yang terakhir dan penentuan sama ada manusia layak untuk ke syurga atau neraka tempat yang abadi. Firman Allah menjelaskan akan peristiwa ini yang bermaksud,

"(Ingatlah) hari (ketika) Kami mengumpulkan orang-orang yang taqwa kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat, dan Kami akan menghalau orang-orang yang durhaka ke neraka Jahannam dalam keadaan yang dahaga."

(Maryam:85-86)
 
        Janji Allah kepada orang-orang mukmin yang berkenderaan semasa ke syurga ialah mereka tidak sedikitpun akan mendengar atau atau merasai kedahsyatan hari qiamat serta bunyi dari neraka. Bahkan mereka akan disambut oleh para malaikat dengan ucapan; bahawa inilah hari untuk anda semua, sebagaimana yang dijanjikan dulu. Inilah ganjaran yang setimpal yang dijanjikan Allah atas keimanan mereka yang murni dan sejati, Semoga kita akan termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung tersebut, InsyaAllah.
 

 
|| Fokus || Feqah || Santapan Rohani || Sirah || Tauhid || Renungan || Koleksi Sinar ||