Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa ||
 

 
 
 
Sisipan Istimewa Untuk Anda : Hukuman Potong Tangan Lebih Adil dan Berkesan
 
 
Fokus
 
        Fitrah manusia mencintai sesuatu yang bersih, indah dan suci. Kalau diberi pilihan antara memakai pakaian yang berbau hapak, tidak dibasuh beberapa hari dengan pakaian yang baru dibasuh dan dikeringkan di ampaian, lantas digosokkan pula, ramai yang membuat pilihan yang kedua.

        Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap, amat mementingkan kebersihan dikalangan penganutnya. Namun, sejauh manakah umat Islam hari ini menghayati justeru mempraktikkannya di dalam kehidupan? Mungkin ada yang berfikiran, apalah yang hendak dikisahkan sangat dengan kebersihan luaran ini, asalkan hati kita 'bersih'. Alahai... alangkah mudahnya kita mencari jalan keluar dari tuntutan ini. Terlalu simplistik kita berfikir. Kita pernah mendengar, apabila memilih pemimpin, perhatikan keadaan 'toilet'nya sama ada ianya bersih atau tidak. Mungkin agak pelik perkara ini pula yang perlu diambil kira, pada hal, ada banyak lagi perkara yang lebih penting untuk memilih seorang pemimpin. Kredibiliti misalnya, penampilannya, kepetahannya berhujah dan mungkin juga status ekonominya. Tidaklah dinafikan kritiria-kritiria itu perlu (kecuali kritiria yang terakhir), tetapi bukankah secara logiknya perkara yang kita anggap enteng seperti kebersihan toilet itulah yang memberikan bayangan terhadap perkara yang lebih besar. Kalau hal menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal tidak diambil endah, apa lagi perkara yang lebih besar.

        Sebagai seorang pelajar yang menuntut di luar negara, terutama yang tinggal di rumah bersama kawan-kawan seperjuangan yang lain, secara umumnya kita terpaksa menguruskan segala  urusan kehidupan di sini sendiri. Bermula dari memasak sehinggalah membayar bil-bil yang datang menjengok saban bulan. Sudahlah setiap hari kita perlu meghadiri kuliah yang bermula seawal lapan setengah pagi, dan mungkin berakhir pada pukul lima setengah petang. Kalaupun ada waktu luangan, terpaksa pula menyiapkan assignment yang bertimbun dan perlu di hantar beberapa hari lagi. Di samping itu, ujian yang perlu di hadapi juga menagih waktu persediaan. Memanglah kalau hendakdi fikirkan manakan mampu melakukan 'perkara-perkara yang kurang kepentingan'. Namun untuk meletakkan bab kebersihan di dalam topik perkara-perkara yang kurang kepentingan merupakan tindakan yang bijak. Malah kebersihan perlu diletakkan beriringan dengan bab menghadiri kuliah dan menyiapkan tugasan. Siapalah yang selesa belajar dalam suasana yang tidak terurus? Bukankah lebih mudah mengulangkaji pelajaran dalam keadaan yang bersih dan sihat.

        Di samping kebersihan tandas yang perlu di ambil perhatian, kebersihan dapur juga tidak kurang pentingnya. Dapur, tempat kita menyediakan makanan memang memerlukan persekitaran yang bersih. Takkkanlah kita menyediakan makanan di persekitaran yang tidak sihat. Apa yang kita masak itulah nanti yang akan kita makan. Selalunya bukan kita seorang sahaja yangakan menjamah makanan itu, malah kawan-kawan kita juga. Saya pernah mengunjungi warong makanan bersama beberapa orang teman di Malaysia. Hajat di hati hendak merasa suasana warung yang telah hampir dua tahun tidak dirasai. Jadi dalam kesempatan pulang bercuti di tanah air, sesekali singgah di warung pasti menyeronokkan. Kelihatan dari jauh, warung itu nampak 'O.K' aje. Semakin hampir kami pada warung itu, tiba-tiba seorang dari kami berkata, "Emmm cancellah... kita makan tempat lain." Semuanya tidak membantah, agaknya masing-masing tidak lagi berselera apabila melihat keadaan dapur persediaan makanan di warung itu.

        Sebagai seorang Islam dan sering melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah, tuntutan ini lebih dipentingkan lagi. Kita berbicara tentang Islam, topik-topik yang besar dan memerlukan kita berbincang dan bertanya pada yang lebih arif untuk memahaminya. Kita mengajak saudara kita yang lain unutk mengamalkan cara hidup Islam yang syumul, kita menganjurkan program-program yang mengajak kepada kebaikan berlandaskan Islam. Kita menghadiri usrah dan menziarahi saudara kita yang lain dan membaca terjemahan atau tafsiran hadith dan al-Quran selepas menunaikan solat Maghrib. Tiba-tiba apabila rumah atau bilik kita diziarahi, keadaan dapur tidak terurus, tandas yang... tak yah cakaplah. Saya yakin pandangan mereka tadi terhadap kita berkurangan. Bukankah minggu lepas kita baru berbicara tentang thoharah, bab pertama dalam pelajaran ilmu fiqh, tiba-tiba... keadaan rumah kita tidak beriringan dengan apa yang kita ucapkan.

        Seorang teman saya pernah berkata apabila saya mengajaknya pergi menghadiri perbincangan tentang Islam di rumah seorang brader nih. Dia berkata, "Malaslah pergi rumahnya... ada baauuuuu" Sampai dia pulang ke tanah air, dia jarang menghadiri perbincangan itu. Kawan saya mungkin tersilap kerana menjadikan 'ada baauuuuu' sebagai alasan tidak menghadiri sesi perbincangan itu, tetapi brader itu lebih lagi kesilapannya.
 


 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa || Koleksi Sinar ||