Sinar Online
 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa ||
 

 
Tauhid
 
Persiapan menghadapi maut

        Alam kubur adalah suatu alam yang sukar dibayangkan dengan akal manusia. Akan tetapi alam ini dapat dilihat dengan mata hati setelah dipimpin dengan ilmu berlandaskan wahyu, iman dan keyakinan. Salah satu keunikan alam ini ialah ia mampu bertutur sungguhpun suaranya tdak kedengaran manusia. Perkara ini hanyalah dimengertikan oleh hati yang beriman, kerana hanya menerusi imanlah, terbentuknya keyakinan. Allah s.w.t telah menciptakan lidah (lisan) kepada kubur dan bertuturlah kubur dengan lidahnya itu katanya :

        Hadith riwayat Hannad bin Sariq dari Abdillah bin Ubaid bin Umair, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

        "Wahai anak Adam, bagaimanakah kamu hidup di dunia boleh melupakan aku, tidakkah engkau tahu bahawa aku adalah tempat kediaman yang sepi dan keseorangan, tempat yang dipenuhi ulat dan kala"

Sewajarnya kita tidak harus melupakan kubur kerana manusia tidak dapat lari daripada menemui ajalnya, seperti firman Allah,

        "Dan datanglah Sakratul Maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya"

        Kubur mengeluh terhadap sikap manusia yang tidak sedar bahawa mereka bakal keseorangan dalam kubur. Manusia dianjur membawa teman setia mereka (amal yang soleh di samping iman yang sejahtera). Manusia harus sedar, tatkala di saat huru-hara dan cemas di dalam kubur, mereka amat memerlukan teman yang dapat memberikan pertolongan. Kubur juga merasa sedih apabila manusia melupakannya. Hadith Nabi s.a.w yang disampaikan oleh Malik dari Abdillah bin Umar :

        "Bahawa Kubur telah menangis sambil berkata dalam tangisannya. (Tidakkah kamu tahu) bahawa aku adalah rumah yang sunyi gelap-gelita, rumah yang keseorangan dan rumah tempat ulat-ulat (yang bakal membaham daging-daging manusia)"

        Walaupun kubur menangis mengenangkan nasib manusia, namun sayangnya. Manusia sendiri terus ketawa seolah-olah mereka tidak akan bertemu dengan kubur. Alangkah bahagianya jika manusia sentiasa mengingati kubur yang tidak pernah melupakan manusia. Ketika jenazah anak cucu Adam dibaringkan di dalam kubur, lantas kubur bertanya :

        "Wahai anak cucu Adam. Tidakah kamu tahu bahawa aku adalah tempat manusia akan keseorangan tanpa teman. Tidakkah kamu tahu bahawa aku adalah rumah yang gelap-gelita, dan tidakkah kamu tahu bahawa aku adalah rumah yang haq (iaitu rumah yang pasti dihuni oleh keturunan Adam). Wahai anak cucu Adam, apakah yang telah memperdayakan engkau sehingga melupakan aku?"

        Kalaulah manusia sentiasa sedar bahawa kubur adalah tempat yang gelap, tentulah mereka datang dengan membawa obor dari amal soleh mereka yang sentiasa menyinar. Malangnya, ramai manusia yang datang dengan tangan kosong tanpa persediaan.

        Tatkala berada dalam kubur, datang dua malaikat, iaitu Munkar dan Nankir yang akan berada di sisi mayat yang terbujur di dalam kubur. Munkar dan Nankir akan mengangkat mayat itu dari perbaringan dan meletakkannya dalam keadaan duduk. Malaikat Munkar dan Nankir dengan suara bagaikan halilintar memulakan soalan terhadap ahli kubur. Siapakah Tuhan Kamu?, Siapakah nabimu?, Apakah agamamu? Apakah kiblatmu?... Kemampuan ahli kubur untuk menjawab terpulang kepada sejauh mana mereka menghayati empat perkara asas itu. Ada yang mendapat rahmat Allah mampu menjawab dengan mudah (Alhamdulillah) tetapi ramai yang kecudang dan gagal memberi sebarang jawapan. Di masa manusia ditanya tentang ketuhanan, ramai yang tahu bahawa Allah tuhan mereka, sungguhpun soalan ini dikemukakan kepada orang kafir.

        "Dan sesunggunya jika kamu tanyakan kepada mereka, Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan? Tentu mereka akan menjawab : Allah"

(Surah Al-Ankabut : 61)
        Namun demikian, tidak semua manusia yang tahu bahawa Allah itu Tuhan, akan bertuhankan Allah s.w.t, sebagaimana orang kafir tahu bahawa yang menjadikan langit dan bumi itu ialah Allah, justeru mereka tidak beriman dengan apa yang mereka tahu. Sebaliknya, mereka mengambil tuhan-tuhan yang lain, ada yang menjadikan nafsu mereka sebagai tuhan mereka. Firman Allah :

        "Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya"

(Surah Al-Furqan : 43)
        Tidak kurang pula manusia yang hanya mengaku beriman dengan Allah tetapi hanya menyembah Allah dalam sembahyang dan di luar sembahyang, mereka tidak mematuhi Allah, enggan berpegang dan melaksanakan hukum Allah s.w.t malah mereka meragui kupayaan hukum dan undang-undang Alah s.w.t. Mereka berdalih dengan pelbagai alasan kononnya masa belum sesuai, lebih-lebih lagi di dalam masyarakat majmuk. Dalam keadaan penuh keraguan ini, tidak mudahlah baginya menjawab persoalan Munkar dan Nankir.

        Tidak juga mudah untuk menjawab soalan 'rasul' jika kita tidak menjadi umat Muhammad s.a.w yang patuh dan melaksanakan segala ajarannya dan mengikuti sunnahnya. Demikian pula soal kiblat, Semua orang tahu bahawa kiblat orang Islam ialah Ka'aba tetapi mengapa ramai di antara kita menjadi hubungan sesama manusia berkiblatkan barat. Kesemua soalan yang dikemukakan oleh malaikat Munkar dan Nankir itu laksana soalan ujian kepada apa yang telah tejadi keyakinan dan dasar hidup mereka semasa di dunia. Di kalangan ahli kubur yang mendapat taufiq Allah s.w.t serta ditetapkan hatinya dengan kalimat Toiyyibah iaitu "Lailahaillalah, Muhammadarasulullah" Mereka bukan hanya dapat menjawab soalan Munkar dan Nankir malah dapat menyoal pula kepada kedua-dua malaikat samada mereka adalah di kalangan ulama yang terpilih oleh Allah s.w.t disebabkan keimanan dan ketakwaannya yang membolehkan mereka benar-benar makrifat akan Allah s.w.t. Mereka ikhlas melakukan segala perintah Allah. Keadaan bagi mereka di kubur bagai berada di bawah sebuah kubah yang besar. Sebuah ruang yang terbuka luas dari kuburnya dan menghala ke arah syurga. Ketika itu dihamparkan pula di tempat dia bersemadi itu terdiri dari sutera-sutera syurga serta dengan bauan yang semerbak wangi di tambah pula kenikmatannya dengan hembusan bayu lembut dari syurga yang nyaman dan menyegarkan. Segala kesenangan yang dinikmati menjadikan mereka berada dalam keadaa yang sungguh nyaman dan mereka seringkali akan bertanya kepada Allah s.w.t, bilakah Qiamat akan datang?

        Golongan terpilih selepas ulama ialah orang-orang yang tergolong dalam kategori "Al-Mukmin al Amil", sungguhpun mereka tidak mempunyai amal yang banyak seperti ulama tadi. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang akan menjadikan amal soleh mereka mejadi seorang yang paling disayangi dan dihormati ketika di dunia dulu untuk menjadi temannya sepanjang masa di dalam kubur. Alangkah bahagianya bagi seseorang yang sedang kesepian duduk berseorangan, tiba-tiba datang beberapa teman dari kalangan saudara mara atau sahabat handai yang dikasihi mendampinginya. Sebelum ketibaan mereka, telah sampai bau-bauan semerbak wangi.

         Bagi mukmin Ashi (mukmin yang melakukan maksiat) segala perbuatan maksiat mereka akan dijelmakan oleh Allah s.w.t menjadi seekor Khinzir atau binatang buas. Segala kejahatan akan menjadi bala kepada mereka; menambahkan lagi azab sengsara di dalam kubur, di samping azab yang didatangkan oleh malaikat disebabkan kegagalan untuk menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan.

Mengambil Iktibar

        Allah s.w.t melayani manusia setimpal dengan amalnya. Bagi mukmin yang bertaqwa, mereka akan mendapat layanan yang sangat istimewa. Adapun terhadap yang fujjar dan kuffar, mereka akan ditimpa azab yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran manusia kerana azab ini tidak pernah disaksikan atau berlaku di atas muka bumi. Dalam keadaan menanggung azab yang pedih, tiba-tiba Allah s.w.t memerintahkan agar dibuka pintu yang menghala ke lorong yang menuju neraka. Segala bau busuk dan bahang neraka meresap masuk kee dalam kubur mereka. Malaikat akan datang membawa bunga rampai api neraka dan menaburkan ke atas kafir dan fujjar yang berbaring. Sebelum datang smeua ini, Allah s.w.t mendatangkan pula sepasang pakaian daripada minyak yang mendidih, dibalutkan pakaian tersebut kepada mereka.

        Ingatlah sungguhpun Allah menurunkan pelbagai bala seprti gempa bumi, ribut taufan dan lain-lain, namun semua ini hanya secebis daripada bala Allah yang Maha Perkasa dengan tujuan agar manusia berfikir dan insaf. Dengan berbuat demikian, nescaya akan menambahkan lagi keyakinan dan keimanan terhadap kekuasaan Allah s.w.t.

        Selain malaikat Munkar dan Nankir, akan datang sekumpulan malaikat yang buta dan pekak khas untuk memberi azab yang pedih. Di tangan mereka ada tukul besi yang jika dipalukan kepada gunung batu, nescaya akan berkecai dengan sekali paluan. Allah tidak mengkehendaki manusia mendengar paluan malaikat kerana tidak ada nilai disisi Allah jika kita hanya meniggalkan maksiat semata-mata kerana gerun. Sebaliknya, kemimanan yang dikehendaki berasaskan Taqwa kepada Allah, sebaliknya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang mengutus Rasul-rasul dan menyampaikan perkara baik dan buruk mengenai akhirat.

        Kubur tempat roh menerima hukuman. Oleh itu, wajiblah seseorang itu beriman dengan perkara yang akan dirasai oleh roh. Roh seseorang akan senang dan riang apabila ditunjukkan segala amal perbuatannya yang soleh dan roh seseorang itu akan merasa dukacita dan bersedih hati apabila melihat amalannya yang jahat.
 


 
|| Fokus || Feqah || Tauhid || Renungan || Sisipan Istimewa || Koleksi Sinar ||