Intro Skit...
Kumpulan Adams ditubuhkan sekitar bulan September 1998. Ia bergelar Adams, satu nama yang ringkas, mudah disebut dan bertunjangkan kepada tiga bahasa; Arab, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Secara literal, Adams membawa maksud 'generasi Nabi Adam' di mana ia menggambarkan kumpulan ini sebagai pembawa mesej ketuhanan dan kemanusiaan selaras dengan konsep khilafah yang diwarisi sejak turun temurun daripada manusia yang pertama diciptakan Allah SWT.
Jalan Yang Penuh Liku...
Sejarah kumpulan Adams ni teramatlah panjangnya... Pada mulanya Adams dianggotai oleh 6 anak muda yang rata-ratanya pernah terlibat secara langsung dalam industri nasyid sebelum ini yang mana ia telah dipertemukan dan digabungkan menerusi saudara Yasin (ex-Brothers) yang juga bertindak sebagai penerbit dan pengurus Adams ketika itu. Mereka ialah saudara Azroul Shahrain, Muhammad Arrif, Shahrizal Mohd Ross, Akbar Azmi, Mohamad Rizal dan Irwanyzan. Namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila 4 daripada mereka menarik diri dan membawa haluan masing-masing walaupun ketika itu penerbitan album pertama Adams hanya menanti saat untuk dipasarkan.
Bermula dengan penarikan saudara Irwanyzan pada pertengahan bulan April 2000 yang berhijrah seketika masuk menggantikan saudara Yasin sebagai vokalis kumpulan Borthers sebelum membawa haluan sebagai artis solo (MIG Records), diikuti saudara Akbar Azmi yang meneruskan perjuangan bersama Brothers manakala Shah dan Rizal menarik diri untuk menumpukan kerjaya masing-masing.
Namun segala dugaan dan ujian yang menimpa tidak sedikit pun meluntur semangat 2 orang anak muda yang masih hidup untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Atas semangat yang membara untuk menyahut kembali segala cabaran, Azroul dan Arrief tekad untuk terus bersama memperjuangkan Adams. Ditambah dorongan dan sokongan padu oleh 'Sifu' mereka, En. Zalikamari (Pengerusi Eksekutif, Produksi Rakam Zalikamari) maka wujudlah kembali Adams bersama sahabat-sahabat barunya.
Saudara Muhamad Sallehuddin (Ajin) adalah ahli baru yang pertama diserap ke dalam Adams di mana bakatnya mula dikesan oleh abangnya sendiri, Arrief. Saudara Azroul yang juga sudah lama mengenalinya mempelawa saudara Ajin untuk menyertai Adams. Setelah cuba menyesuaikan diri dengan konsep yang ingin dibawa Adams akhirnya saudara Ajin bersetuju untuk bersama Adams pada pertengahan September 2000.
Dalam masa yang sama saudara Arrief juga turut cuba memujuk sahabat karibnya, saudara Johan Amri (Joey) yang sudah dikenalinya hampir 12 tahun untuk turut bersama Adams. Melihat potensi dan bakat yang dimilikinya saudara Arrief tekad untuk tidak membiarkan potensinya itu dibiarkan begitu saja ditambah dengan persefahaman yang sedia kukuh dan sudah mengenali hati budi masing-masing. Pertemuan dengan saudara Azroul mengukuhkan lagi minat saudara Joey bersama Adams manakala saudara Ajin juga telah lama mengenali antara satu sama lain.
Pencarian sahabat yang terakhir diteruskan dan akhirnya saudara Azroul telah mengesan bakat saudara Md. Rshid Johani (Sheed) yang juga adik kepada vokalis terkenal kumpulan Raihan, Nazrey Johani. Saudara Azroul yang bersahabat baik dengan saudara Nazrey telah beberapa kali bertemu dengan saudara Rashid dan telah mengesan bakat dan potensinya sebagai seorang vokalis telah mempelawanya untuk bersama mengukuhkan Adams.
Akhirnya satu pertemuan bersejarah telah diatur di Shah Alam untuk bertemu dengan kelima-lima sahabat-sahabat Adams dan sepakatan dan persefahaman telah dicapai dengan suasana yang penuh harmoni dan ceria untuk terus bersama meneruskan kembali perjuangan Adams untuk mencapai misi dan kejayaan yang diimpikan.
|