KENALILAH POKOK SENTANG
Wan Sabariah Mohd Nor

Pokok sentang (Azadirachta excelsea) adalah dari kaum Meliaceae, dan merupakan pokok tempatan yang terkenal di kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia.  Spesies ini kurang popular dikalangan ahli perhutanan dan orang awam pada satu masa dahulu. Walaubagaimanapun pada akhir-akhir ini minat dikalangan poengusaha ladang dan pekebun kecil untuk menanam pokok sentang telah bertambah setelah adanya promosi-promosi mengenai kelebihan pokok tersebut. Ini dapat dirasai dengan bertambahnya pertanyaan dan permintaan daripada pihak tertentu mengenai maklumat penanaman, kegunaan dan pasaran kayu tersebut kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Bagi kaum Melayu, kayu dari pokok ini berguna dalam pembinaan rumah.  Pucuknya boleh dimakan sebagai ulam walaupun terasa pahit.  Daun yang tua rasanya amat pahit dan diguna sebagai ubat.  Buahnya boleh dimakan tetapi tidak enak.

Pokok ini merupakan spesies tempatan di Semenanjung Malaysia, Sumatra, Borneo, Sulawesi, Celebes, Moloccas dan Filipina.  Spesies ini belum lagi ditanam secara besaran di Semenanjung Malaysia.  Bagaimanapun, di kawasan utara dan timur semenanjung, ianya banyak ditanam di kawasan-kawasan kampung.  Petak-petak kajian telah ditubuhkan di Hutan Simpan Bukit Lagong di Selangor sejak tahun 1953 lagi dan juga di Hutan Simpan Relai di Kelantan.  Sebanyak 130 batang pokok ini juga telah ditanam berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan di Kepong, Selangor.  Pokok ini juga lazimnya ditanam di tepi jalanraya dan di atas sempadan kebun atau di dalam ladang-ladang getah atau nenas secara sampingan.  Oleh kerana potensi komersilnya, para petani juga telah mulai menanamnya secara kecil-kecilan (1-2 hektar).

Spesies ini lazimnya didapati bertaburan di hutan pamah pada  altitud 200-300 m.  Ia memerlukan tapak yang tanahnya berkualiti baik, terutamanya tanah pasir gembur yang mempunyai saliran dan pengudaraan yang baik serta hujan tahunan sebanyak 1600-2000 mm.  Tumbesaran di atas tanah pamah adalah lebih baik daripada di lereng atau kawasan pergunungan.

Hasil kajian menunjukkan bahawa tahun-tahun pertama dan kedua tanaman memerlukan paling banyak pengawasan dari serangan rumpai.  Pokok yang sudah besar kurang ancaman dari serangan rumpai.  Kajian menunjukkan spesies ini tiada serangan penyakit dan kulat yang membimbangkan.  Penjagaan ke tasnya adalah minimal sekali.  Kebanyakan anak benih adalah dihasilkan dari biji benih tetapi ia boleh juga dihasilkan dari keratan, "grafting", "marcotting" serta kultur tisu.

Spesifikasi pokok:-

· Spesies ini tergolong dalam  jenis kayu keras ringan hingga ke kayu keras sederhana.
 
· Berat kayu ialah 550-780 kg/m3 pada kandungan kelembapan 15%.
 
· Heartwood kemerahan dapat dibezakan dari sapwood yang keputihan warnanya.
 
· Purata panjang serat ialah 1.12 mm yang membuatnya sesuai untuk pembuatan kertas.
 
· Spesies ini juga sesuai untuk pembuatan partikel board.
 
· Lain-lain kegunaan spesies ini adalah untuk pembinaan rumah, perhiasan dalaman, panelling, venir, lantai, ukiran, kotak, pintu, sampan dan banyak lagi.
 
· Biji spesies ini diproses untuk menghasilkan sejenis minyak yang digunakan dalam peracun serangga.

Pertumbuhan Sentang:-

     Tumbesaran ketinggian  :                                3 m dalam tahun pertama
     Tumbesaran diameter     :                               2 sm setahun secara purata
     DBH pada umur 15 tahun    :                           30-35 sm
     Ketinggian pokok pada umur 15 tahun  :      22-25 m
     Panjang batang pada umur 15 tahun  :        12 m
     Isipadu pokok pada umur 15 tahun   :           0.60 m3

Sentang telah ditanam secara ladang di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan. Di samping itu syarikat swasta seperti Maju Aik Sdn. Bhd. di Perak dan KETENGAH di Terengganu telah juga memulakan tanaman tersebut sebagai tanaman komersil dan tidak ketinggalan juga agensi kerajaan yang lain seperti Sime Darby, RISDA, FELDA dan Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil  telah memulakan tanaman Sentang sebagai peladangan hutan terutama di tanah-tanah yang kurang sesuai untuk tanaman pertanian.