Di bawah ialah kenyataan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan kepada pemberita melalui isterinya, Wan Azizah Wan Ismail selepas beliau dan enam orang anaknya menziarahi Anwar di penjara pada Sabtu, 17 Oktober, 1998 lalu. Saya telah menterjemahkannya dari teks asal dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia.

Saya mohon kerjasama setiap pembaca surat ini untuk membuat salinan dan menghantarnya MELALUI POS kepada kepada SEKURANG-KURANGNYA 10 orang sanak-saudara dan rakan-rakan kita di kampung (yang tidak mempunyai internet) bagi menyebarluaskan risalah reformasi dan membolehkan mereka mendapat maklumat yang sebenarnya mengenai gerakan keadilan, kebenaran dan kebebasan ini.

====================================================================================

KENYATAAN DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DARI DALAM PENJARA

1. Pembebasan saya dari tahanan ISA adalah satu helah Mahathir kerana beliau takut kemarahan rakyat dan reaksi masyarakat antarabangsa. Rancangannya ialah membebaskan saya dari ISA sebelum persidangan APEC bermula. Saya mengecam penyalahgunaan jentera kerajaan, termasuklah polis, yang secara berterusan menahan orang di bawah ISA dengan alasan kononnya bagi menjaga keselamatan awam. Sesungguhnya, ini adalah satu tindakan Dr. Mahathir yang semakin tersepit bagi terus berkuasa dan memegang jawatan demi menyelamatkan keluarga dan kroninya.

2. Bertentangan dengan apa yang dikatakan, layanan terhadap tahanan adalah tidak berperikemanusiaan, termasuklah mengurung mereka sendirian, memaksa tahanan untuk mengeluarkan kenyataan menyokong kerajaan sebagai syarat pembebasan. Gambar dalam Utusan Malaysia (15 Oktober, 1998) yang memperlihatkan seolah-olah saya menikmati jamuan enak dengan suasana yang cukup selesa, adalah nakal dan mengelirukan. Kenyataannya ialah, inilah kali pertama saya diberikan makanan yang baik di Bukit Aman. Selama ini, makanan yang diberikan sama sekali tidak boleh dimakan, dibungkus dengan plastik. Oleh itu, tidak hairanlah saya mengalami penurunan berat badan sebanyak 18 paun. Saya tidak menafikan layanan mesra sebahagian besar anggota polis terhadap saya dan kebanyakan mereka meluat dengan Mahathir dan cara diktatornya.

3. Saya akan terus memperjuangkan reformasi kerajaan bagi menjamin kedaulatan undang-undang dan demokrasi. Penyalahgunaan jentera kerajaan mesti dihentikan. Kita mesti menghapuskan rasuah, kronisme dan nepotisme. Kita mesti menyelamatkan negara daripada terus dipergunakan oleh segelintir individu bagi memanipulasi ekonomi untuk meraih kekayaan mereka. Saya sedar ketakutan dan keberatan sesetengah pemimpin negara untuk menyatakan pandangan, demi memelihara kepentingan diri dan mengelakkan hukuman daripada diktator. Tetapi mereka harus akur dengan kehendak rakyat sebelum terlambat. Rakyat telah mempunyai kesedaran dan keazaman untuk meneruskan perjuangan tetapi pemimpin juga mesti mempunyai keberanian untuk menyatakan keyakinan.

4. Penahanan saya adalah satu cubaan untuk melemahkan perjuangan saya. Mereka gagal. Serangan kejam ke atas saya sewaktu dalam tahanan polis adalah jelas merupakan amaran daripada Mahathir dan Ketua Polis Negara bahawa mereka tidak akan bertolak-ansur dengan reformasi. Mereka tersilap sekali lagi. Inilah masanya untuk perubahan.

5. Mereka akan terus memanipulasi media bagi memberikan gambaran yang salah mengenai keadaan dan pergolakan semasa di dalam negara. Media yang dikawal oleh kerajaan telah hilang kredibiliti. Itulah sebabnya mengapa media alternatif dan internet menjadi cukup popular.

6. Histeria yang berlaku terhadap pemimpin-pemimpin dan organisasi negara jiran dan masyarakat antarabangsa yang menyatakan sokongan terhadap saya dan membuat desakan agar saya dibebaskan adalah satu petanda ketidakyakinan yang mendalam Dr Mahathir, walaupun dia bersungguh-sungguh cuba melindungi kenyataan ini.

7. Alasan yang sah bagi menuntut keadilan oleh rakyat telah dihadapi dengan kekerasan yang biasanya digunakan bagi menentang komunis bersenjata. Ini sekali lagi menunjukkan betapa tertekannya Dr Mahathir dan dia akan melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa. ISA kini bukan lagi "Akta Keselamatan Dalam Negeri" tetapi "Akta Selamatkan Mahathir."