DEDAHKAN SEGERA LAPORAN PASUKAN PENYIASAT KHAS KECEDERAAN
DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

Majlis Gerakan  Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) mendesak Kerajaan Malaysia agar mengumumkan segera laporan siasatan kecederaan Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa berada dalam tahan ISA pada 20 September 1998 yang dilakukan oleh Pasukan Penyiasat Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini kepada masyarakat umum.

Pasukan Penyiasat Khas yang ditubuhkan pada 29 September 1998 selepas Dato' Seri Anwar dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dilaporkan telah menyiapkan laporan siasatan tersebut dan telah menyerahkannya kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah  pada 19 November lalu. Walau bagaimanapun pihak kerajaan masih belum mengumumkan laporan tersebut kepada masyarakat umum.

GERAK hairan mengapa selepas Pasukan Khas yang diketuai oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Penolong Pesuruhjaya Polis Mat Zain Ibrahim mengumumkan telah menyiapkan laporan tersebut, Peguam Negara telah melantik Dr. Abdul Rahman Yusof, pakar forensik di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur pada 3 Disember 1998 untuk membantu meneruskan siasatan. Adakah ini bermakna Pasukan Khas gagal dalam siasatan tersebut atau kerajaan tidak meyakini siasatan yang dibuat oleh pasukan tersebut.

GERAK mengesyaki bahawa ada sesuatu yang disembunyikan daripada siasatan tersebut berikutan daripada tindakan kerajaan tidak mengumumkan laporan yang disediakan oleh Pasukan Penyiasat Khas tersebut. Sekiranya semua laporan yang dibuat pasukan tersebut menguntungkan kerajaan sudah tentu laporan tersebut telah diumumkan. GERAK juga ingin mempersoalkan mengapa setelah dua minggu laporan tersebut diserahkan kepada Peguam Negara, barulah Peguam Negara mengumumkan untuk melantik Dr. Abdul Rahman untuk membantu beliau meneruskan siasatan. Adakah dalam tempoh tersebut telah berlaku sesuatu yang tidak menguntungkan kerajaan.

GERAK sekali lagi menegaskan agar kerajaan segera mengumumkan laporan siasatan tersebut jika kerajaan tidak mempunyai maksud lain disebalik penangguhan pengumuman tersebut.

KEMBALIKAN KEADILAN UNTUK RAKYAT
 

DATO' HJ FADZIL MOHD NOOR
Pengerusi GERAK
13 Disember 1998