Parti Rakyat Malaysia
Kenyataan Akhbar PRM

Dr. Chandra Jadi Mangsa Politik Mahathir

Parti Rakyat Malaysia merasa kesal dengan tindakan Universiti Malaya yang membuat keputusan tidak akan menyambung lagi kontrak Professor Dr.Chandra Muzaffar yang berakhir pada 28 Februari ini.

Alasan Universiti Malaya bahawa tindakan itu dibuat oleh sebab keadaan ekonomi buruk dan ingin menjimatkan wang tidak munasabah dan tidak meyakinkan sesiapa. Tujuan sebenarnya ialah mahu menghukum Dr. Chandra yang lantang dan berani mengkritik pemimpin yang melakukan kezaliman dan penganiayaan. Dr. Chandra juga tanpa takut dan gentar, melibatkan dirinya dalam Adil untuk menegakkan keadilan dan demokrasi di negara ini. Inilah pendirian seorang intelektual tulen yang patut dihormati dan dicontohi oleh rakyat negeri ini.

Tindakan Universiti Malaya bukan saja memalukan universiti itu tetapi universiti-universiti tempatan lain dan negara ini. Tindakan demikian jelas tidak menghormati prinsip kebebasan akademik dan otonomi universiti yang amat disanjung tinggi oleh negara-negara lain. Keputusan Universiti Malaya itu diambil sebagai amaran kepada golongan akademik yang lain supaya jangan cuba mengeluarkan pendapat berbeza dan jangan mengkritik pemimpin atau dasar negara ini walaupun pemimpin dan dasar itu salah serta merugikan rakyat.

PRM juga kesal kerana pentadbiran Universiti Malaya membiarkan dirinya diperalatkan oleh pemimpin politik tertentu untuk tujuan politik mereka tanpa mengira kesulitan  dan kerugian yang akan dihadapi oleh golongan mahasiswa akibat tindakan ini. Jika pentadbir di institusi pengajian tinggi sendiri sanggup bersekongkol dengan pemimpin politik untuk mempertahankan kepentingan politik mereka dengan menyekat kebebasan berfikir  dan bersuara di kalangan golongan akademiknya, nescaya graduan yang akan dilahirkan dari universiti-universiti negara ini nanti terdiri daripada mereka yang hanya pandai bertindak sebagai robot tetapi tidak boleh berfikir sendiri, tidak bertanggung jawab dan takut untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Inikah jenis masyarakat madani yang ingin kita wujudkan ?

PRM mendesak supaya Universiti Malaya bersikap lebih bertanggung jawab dan berani membuat keputusan sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak untuk mempertahankan kebebasan akademik, otonomi universiti dan kebebasan mengeluarkan pendapat dengan menyambung semula kontrak Dr. Chandra Muzaffar.
 

Dr. Sanusi Osman
Setiausaha Agung
26 Februari 1999