KES ANWAR

Saksi: Polis ambil contoh darah bagi ujian

"Anwar ada memberitahu saya bahawa sekiranya saya meneruskan siasatan, ianya bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri bahawa kes ini telah selesai dan perkara ini dianggap sebagai fitna pada 30 Ogos 1997."
-- SAC 1 Musa Hassan, saksi ketiga belas pendakwaan.

KUALA LUMPUR -- Pihak berkuasa Malaysia telah mengambil beberapa contoh darah daripada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas dia ditahan, tetapi dengan helah ia bagi menguji sama ada dia membawa kuman Aids, demikian menurut seorang pegawai polis semalam.

 Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC I) Musa Hassan, saksi ketiga belas pendakwaan, memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa sebenarnya beliau bercadang menggunakan darah itu untuk menentukan sama ada Datuk Seri Anwar ialah bapa seorang anak di luar nikah, tetapi mendakwa ujian itu tidak dilakukan kerana darah itu ada bahan aditif.

 SAC I Musa, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, berkata pakar forensik telah mengambil contoh darah Datuk Seri Anwar pada 28 September lalu, lapan hari selepas mantan Timbalan Perdana Menteri itu ditahan.

 Semasa disoal balas oleh peguam Encik Christopher Fernando, SAC I Musa berkata darah itu diambil untuk ujian HIV. Isteri Datuk Seri Anwar, Datin Dr Wan Azizah Ismail, pernah membangkitkan kekhuatiran bahawa suaminya mungkin disuntik kuman HIV untuk membuktikan tuduhan salah laku seks.

 Apabila ditanya sama ada darah itu digunakan untuk tujuan lain yang tidak mendapatkan kebenaran daripada Datuk Seri Anwar, pegawai polis itu berkata:

"Ya benar, ia digunakan untuk tujuan lain... Benar, beliau tidak memberikan kebenaran untuk ujian DNA."

 Namun SAC I Musa berkata pakar-pakat terbabit tidak dapat menjalankan ujian darah untuk menentukan sama ada Datuk Seri Anwar ialah bapa seorang anak "haram" kerana "contoh darah telah dicampurkan dengan bahan aditif".

 Kepada soalan lain awal dari itu, SAC I Musa menjawab bahawa beliau mengesyorkan supaya kes itu ditutup kepada Peguam Negara berdasarkan surat-surat mohon maaf dan kenyataan umum Cik Ummi serta Encik Azizan yang menafikan dakwaan salah laku seks terhadap Datuk Seri Anwar.

 "Anwar ada memberitahu saya bahawa sekiranya saya meneruskan siasatan, ianya bercanggah dengan kenyataan yang dibuat Perdana Menteri bahawa kes ini telah selesai dan perkara ini dianggap fitnah pada 30 Ogos 1997," kata beliau. -- Reuters.