Tarikh: 30 September 1998

KENYATAAN MEDIA

Islam sebagai satu cara hidup yang telah diturunkan dan dipelihara oleh Allah s.w.t. dengan jelas telah menunjukkan konsep keadilan yang sebenar.  Dalam Islam, setiap individu mempunyai hak untuk membela diri dan selagi sesuatu tuduhan tidak dibuktikan melalui sistem perundangan (mahkamah) makaseseorang itu tetap tidak bersalah.

Meyakini akan kebenaran dan kesyumulan Islam, maka Al-Hizbul Islami (HIZBI) United Kingdom & Eire mewakili pelajar Malaysia di sini, dan juga sebagai pengerusi Gabungan Pelajar Islam Malaysia Se-Dunia (GPIMS) membantah sekeras-kerasnya semua penahanan yang telah dilakukan ke atas individu-individu tertentu tanpa membolehkan mereka yang tertangkap membela diri, sama ada di Malaysia mahupun di mana-mana negara lain dalam dunia.

Sehubungan dengan itu, HIZBI dan GPIMS menyokong sepenuhnya segala usaha yang dilakukan oleh Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) untuk mendaulatkan prinsip keadilan dan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tindakan Kerajaan Malaysia menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan tanpa bicara YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu yang dikatakan terlibat dengan beliau merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan prinsip keadilan Islam dan melanggar hak-hak asasi manusia. Sekiranya pihak pendakwa mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka yang tertangkap, maka amat tidak wajar akta ini digunapakai. Sebaliknya, penggunaan akta ini hanya menunjukkan seolah-olah tidak ada bukti yang cukup untuk melakukan pendakwaan. Untuk membuktikan kebenaran dan mempertahankan prinsip keadilan, HIZBI dan GPIMS menuntut semua tahanan ISA dibebaskan tanpa syarat serta merta ataupun dihadapkan ke mahkamah terbuka.

HIZBI dan GPIMS amat mengambil berat terhadap kegawatan yang berlaku dalam arena politik di Malaysia. Situasi sekarang jelas menampakkan kepincangan dalam menangani krisis ini di mana ia telah menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.

Hampir setiap hari media antarabangsa melaporkan ketidakadilan yang berlaku dan ini merupakan satu perkara yang amat memalukan negara kita Malaysia. Lebih membimbangkan lagi ialah apabila Kerajaan Malaysia mengambil tindakan menghalang media antarabangsa daripada menyiarkan perkembangan terkini di dalam negara. Tindakan ini bukan sahaja memberi gambaran bagaikan terdapat sesuatu yang cuba disembunyikan, bahkan sekaligus menafikan hak kami yang berada di luar negara untuk mengetahui apa yang berlaku di tanah air.

HIZBI dan GPIMS menyeru Kerajaan dan rakyat Malaysia supaya mengekalkan ketenteraman dan keharmonian negara. Adalah amat menyedihkan apabila berita mengenai rusuhan, kekerasan dalam menyuraikan demonstrasi aman, penindasan terhadap tahanan, dan sebagainya tersebar dengan luasnya di seluruh dunia. Kami yakin bahawa penyelesaian secara aman, terutamanya melalui pilihanraya, merupakan jalan yang lebih sesuai dengan budaya hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

HIZBI dan GPIMS berdoa supaya Allah membantu GERAK dan semua pihak lain yang berusaha mengembalikan kedaulatan sistem perundangan. Kami turut berdoa supaya kebenaran akan dapat ditegakkan dan kezaliman serta mereka yang mempertahankan dan mengamalkan kezaliman akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Kami menyeru mereka yang terlibat dengan apa jua bentuk kezaliman supaya bertaubat dan kembali ke pangkal jalan sebelum tiba bala daripada Allah baik di dunia mahupun di akhirat.

ISHAK BIN AHMAD
Presiden HIZBI merangkap Pengerusi GPIMS

GPIMS diwakili oleh:

1. Al-Hizbul Islami (HIZBI) United Kingdom dan Eire
2. Malaysian Islamic Society Of North America (MISNA)
3. Malaysian Student Association of Pakistan and India (MASA-PAKINDO)
4. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
5. Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS)
6. Pelajar Malaysia di Yaman
7. Pelajar Malaysia di Jordan
8. Pelajar Malaysia di Madinah