"Laporan Khas di Kubang Pasu, Kedah" -Laporan oleh Pemerhati

 

Kubang Pasu, 2/10/98 -Agenda 'Sepetang Bersama Perdana Menteri' yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Jitra, Kedah mendapat sambutan yang memilukan. Dewan Orang Ramai yang disediakan kerusi itu masih kelihatan tidak seperti satu majlis untuk mendengar penjelasan, sebaliknya seperti majlis yang lebih kepada 'majlis paksaan untuk mendengar'.

 

Seramai tidak sampai 2000 orang menghadiri majlis penerangan mengenai isu politik negara yang dipengerusikan oleh Osman Arrof. Kebanyakannya yang hadir terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan kelas atasan dan juga jawatakuasa-jawatankuasa masjid yang diwajibkan hadir jika ingin mengelakkan diri dari dikenakan tindakan tatatertib.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan kemudiannya Osman Arof menyampaikan agendanya membela Perdana Menteri yang mendapat tepukan yang agak lesu, hanya bahagian hadapan sahaja yang bertepuk. Majlis seterusnya diserahkan kepada menteri besar Kedah, Sanusi Junid yang dalam ucapannya menyampaikan cerita tauladan mengenai kisah musang dan harimau yang nyata tidak menarik perhatian orang ramai. Beliau lebih berdegar-degar menyatakan bahawa agenda yang dibawa oleh Anwar merupakan agenda untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri yang disayangi oleh rakyat dan rakyat tidak merelakan cara ini, yang seterusnya lansung tidak mendapat tepukan. Di sebalik itu, kelihatan agak ramai yang sudah mula melelapkan mata termanggu-manggu keletihan, mungkin sebab kerusi yang disediakan agak

selesa.

 

Agenda seterusnya diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir.Permulaan ucapannya dibicarakan tentang ekonomi dan apa yang telah kerajaan laksanakan kepada rakyat seperti jalan raya dan jalan raya dan jalan raya (tidak diketahui mengapa jalan raya menjadi agenda bukti pembangunan negara).Dengan suaranya yang agak lemah dan lesu dia meneruskan hujahnya bahawa

sebagai perdana menteri, dia layak memecat dan melantik sesiapapun yang dia mahu. Dengan memberi contoh bahawa seblum ini telah ramai yang telah dipecat dan meletak jawatan, dia mengatakan bahawa Anwar tidak dapat menerima ini dengan aman seperti mana orang lain yang menerima nasib yang sama.

 

Mahathir berulang kali menyatakan bahawa Anwar kecewa dengan keadaan ini dan seterusnya mencetuskan huru-hara dan sekaligus menyatakan bahawa Anwar enggan

diadili di mahkamah.

 

Pernyataan Anwar mencetuskan huru-hara dan enggan diadili ini berulang-ulang kali diucapkan. Saya melihat beberapa orang dari dalam dewan sudah bangun meninggalkan dewan. Mahathir meneruskan penjelasannya bahawa Anwar merupakan seorang yang bijak dengan menggunakan agama Islam untuk mendapat simpati dan sokongan rakyat walhal dia sebenarnya adalah perosak agama. Pelbagai lagi hujah-hujah penjelasan Mahathir diberikan, tetapi untuk menghalang orang meninggalkan dewan, tidak sekali.

 

Boleh dibuat kesimpulan bahawa perjumpaan untuk memperjelaskan isu Anwar ini lansung tidak mendapat perhatian masyarakat di daerah Jitra dan Kubang Pasu amnya. Orang-orang muda dan peringkat pertengahan umur lansung tidak menunjukkan muka di hari berkenaan. Yang ada hanyalah mereka yang terdiri daripada pegawai-pegawai atasan kerajaan dan juga AJK masjid serta YB dan dif-dif kehormat. Di mana sokongan masyarakat setempat kepadanya? Hari ini saja telah menyaksikan bahawa tidak sampai 2000 orang menghadirinya. Peratusan yang datang kerana wajib adalah melebihi dari separuh dewan. Yang lain terdiri daripada wakil-wakil akhbar dan juga polis serta bodyguardnya.

 

Di mana taring Mahathir di kawasannya sendiri? Sepatutnya 'hero' akan disambut oleh ribuan orang yang akan menyesakkan jalan raya. Ini tidak. Jalan begitu lapang. Kenderaan yang parking di kiri kanan jalan juga terdiri dari kenderaan yang mewah-mewah, nyata sekali bukan kenderaan orang kampung. Bagaimana dengan motorsikal? Cuma ada sikit saja. Penjual air? Lansung tak surut airnya. Bila ditanya kepada penduduk-penduduk kubang pasu yang tak menghadirinya samada mereka tidak mendapat maklumat atau tidak, mereka katakan bahwa mereka telah mendapat maklumat lama dahulu lagi tetapi enggan untuk menghadiri. Kalau Anwar bisa menyesakkan Dataran Merdeka dan Mesjid Negara dengan siri Penjelasannya, mengapa ini tidak berlaku pada Mahathir? Kalau GERAK yang diadakan di dalam Dewan PAS Taman Melewar mendapat sambutan sehingga berpuluh-puluh ribu orang dan melimpah keluar sepanjang jalan, mengapa sambutan Mahathir di Dewan Orang Ramai Jitra tidak sampai dua ribu atau tidak keterlaluan kalau dikatakan tidak sampai seribu dan diluar kelihatan seperti dilanggar geruda?

 

Kubang Pasu adalah kubu kuatnya! Dan ini tidak boleh berlaku seandainya dia dianggap PEJUANG nasib rakyat di kawasannya! Apa sudah jadi? Mahathir kehilangan taring? Saya dapat lihat dengan jelas tentang penyokong dan pendokong Mahathir, tidak lain dan tidak bukan adalah terdiri daripada orang yang berkepentingan sahaja. Kalau dulu saya hanya mendengar cakap-cakap dan hujah-hujah, hari ini saya melihat dengan mata dan kepala saya sendiri... MAHATHIR SUDAH HILANG PENGARUH!!

 

Di mana lagi ingin dia meminta simpati jika tidak di tempat sendiri? Tetapi nampaknya rakyat sudah mula hilang kepercayaan padanya. Trajedi di Kubang Pasu menjadi bukti bahawa rakyat telah mual dan muak dengan senda gurau dan lakonannya selama ini. Mahathir, jika kau membaca ruangan ini, ambilah iktibar dari trajedi di Kubang Pasu ini, akurlah pada permintaan rakyat, berundurlah. Kerana sudah tiada sokongan untukmu!

 

"Pemerhati, Alor Setar, Kedah."