KENYATAAN RASMI PEMUDA UMNO BAHAGIAN PERMATANG PAUH

Pergerakan Pemuda Umno Bhg Pmtg Pauh telah mengadakan Mesyuarat Khas mereka pada 2.10.98 (Jumaat), pada pukul 9 malam dan berakhir pada pukul 11.15 mlm. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh saudara Zulkifli Bakar, merangkap Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian. Mesyuarat telah mencapai keputusan sebulat suara ( 18 exco hadir drp 21 orang exco
kesemuanya ) dan sdr Zulkifli Bakar telah membacakan keputusan mesyuarat khas tersebut di hadapan pemberita2 yang dijemput. Berikut disertakan transkrip penuh Kenyataan Rasmi dan Pendirian Pergerakan Pemuda Umno Bhg
Pmtg Pauh berhubung dgn isu pemecatan YB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.

KENYATAAN RASMI DAN PENDIRIAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN PERMATANG PAUH BERHUBUNG ISU PEMECATAN YAB DATO' SERI ANWAR BIN IBRAHIM DARIPADA JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI, MENTERI KEWANGAN, TIMBALAN PRESIDEN UMNO DAN KEAHLIAN UMNO.

Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih kepada pihak Polis Di Raja Malaysia khususnya Ketua Polis Daerah Bukit Mertajam serta anggota-anggota dan pegawai-pegawai polis Cawangan Khas yang telah berusaha memastikan ketenteraman dan keselamatan di dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh hasil daripada beberapa perbincangan dan
pertemuan yang telah diadakan dengan pihak Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh.

Bahawa Mesyuarat Khas Ahli-Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh yang diadakan pada hari ini, 2hb Oktober 1998, Jumaat jam 9.00 malam telah mengambil ketetapan seperti berikut :-

1. Hasil daripada maklumbalas yang diterima daripada ahli-ahli Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh di peringkat akar umbi, merumuskan bahawa tindakan yang diambil ke atas YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah tidak disokong oleh kerana bercanggah dengan  prinsip-prinsip keadilan.

2. Mendesak supaya keadilan ditegakkan dan ditunjukkan di sepanjang tempoh perbicaraan dijalankan ke atas semua dakwaan yang dibuat terhadap YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim.

3. Menggesa supaya semua ucapan-ucapan dan kenyataan-kenyataan yang dibuat berhubung isu ini, terutamanya yang berbentuk tuduhan dan mendahului keputusan Mahkamah hendaklah dihentikan segera oleh mana-mana pihak atau individu dan menyerahkan sepenuhnya perkara ini kepada Mahkamah untuk diadili dan ditentukan kebenarannya.

4. Sebagai Ketua Umno Bahagian dan  Timbalan Presiden Umno yang dipilih melalui perwakilan yang sah, Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh mendesak supaya YAB Dato' Seri Anwar dikembalikan keahliannya sebagai ahli Umno.

5. Menggesa supaya diwujudkan sebuah Suruhanjaya Di Raja yang bebas untuk menyiasat dakwaan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah dipukul dan disiksa oleh pihak polis semasa penahanan beliau dan jika
didapati benar dakwaan ini, pihak-pihak yang terlibat  hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya.

6. Memutuskan untuk tidak menerima dan supaya tidak diadakan sebarang Majlis Penerangan  berhubung dengan isu ini di kawasan Parlimen Permatang Pauh, memandangkan ianya akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu sebagai suatu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kegelisahan awam di kalangan rakyat di Parlimen Permatang
Pauh.

7. Merayu supaya semua tahanan ISA yang terbabit dengan isu ini dibebaskan dengan kadar segera.

8. Menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh tidak akan menyokong mana-mana pihak yang cuba membuat perkara-perkara yang melanggar undang-undang yang boleh menyebabkan huru-hara dan merumitkan lagi keadaan seperti merosakkan harta benda, rusuhan, perhimpunan haram dan lain-lain lagi.
 

Selaras dengan ini, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh berharap bahawa pendirian yang dibuat pada hari ini akan diberi keutamaan sebagai hasil perbincangan yang sah melalui saluran rasmi parti untuk dipanjangkan ke peringkat Majlis Kerja Tertinggi Umno Pusat.
 

DIPERSETUJUI SEBULAT SUARA .