PRESIDEN PRM SERU SUPAYA PEGUAM NEGARA LETAK JAWATAN

PRM perlu menyatakan rasa tidak puas hati yang amat sangat terhadap kenyataan Peguam Negara (PN) mengenai kemajuan penyiasatan ke atas kecederaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis. Setelah membenarkan penyiasatan ini berlanjutan selama empat bulan, kini pihak PN hanya mampu  melaporkan  bahawa penyiasatan tersebut masih belum selesai
lagi. Ini sangat memalukan.

Yang lebih membimbangkan ialah kenyataan beliau bahawa penyiasatan yang berlanjutan ini masih belum dapat mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab mengakibatkan kecederaan Anwar itu.  Selepas empat bulan penyiasatan dijalankan dan orang yang bertangungjawab tidak  dikenal pasti, jelas sekali tidak ada kemungkinan orang yang bertanggungjawab akhirnya akan dinyatakan. Barangkali kenyataan PN itu bertujuan untuk menyediakan pendapat umum tentang keputusan muktamad  serupa yang akan dibuat. Mungkin pihak berkuasa mengharapkan bahawa dengan hanya mengakui Polis Diraja Malaysia adalah "bertanggung jawab penuh" ke atas kecederaan Anwar, maka kemarahan orang ramai terhadap kejadian ini akan dapat diredakan .

Orang ramai tidak akan berpuas hati melainkan akauntabiliti sepenuhnya dibuktikan. Kami mendesak supaya pihak pemerintah mengumumkan laporan mengenai kecederaan  Anwar itu. Memang benar bahawa kami tidak pernah berpuas hati dengan cara pembentukan dan susunan badan penyiasatan itu dan sentiasa menuntut supaya dibentuk sebuah badan yang benar-benar bebas untuk menyiasat sepenuh-penuhnya  peristiwa yang berlaku. Oleh kerana PN, setelah  tidak mengambil hirau akan seruan  yang dibuat berkali-kali oleh berbagai-bagai pihak, gagal pula menjalankan apa yang pada peringkat akhir merupakan tanggung jawabnya sendiri, maka kami rasa langkah sesuai yang patut diambilnya ialah untuk meletakkan jawatan.

Apa yang tercabar ialah keseluruhan pentadbiran keadilan di negeri ini. Peguam Negara harus bersedia mengambil tanggung jawab moral terhadap keadaan yang sangat memalukan ini.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM                                                              6 Januari 1999