Kenyataan Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM

PENANGKAPAN PEMIMPIN KURDIS, ABDULLAH OCALAN MENGAPA BENDERA MALAYSIA PADA PESAWAT YANG MEMBAWANYA?

Mengikut sebuah laporan dalam akhbar British, The Observer (21/2/1999),agen-agen rahsia Turki yang menangkap pemimpin Kurdis, Abdullah Ocalan, di Kenya telah  menerbangkannya pulang dalam kapal terbang Jet Falcon 900B. Mengikut laporan yang sama, dalam apa yang kelihatan sebagai percubaan untuk menyamar, kapal terbang ini "telah dicat biru dan semua tanda
Turki telah digantikan dengan bendera Malaysia"! Laporan ini menimbulkan beberapa soalan yang serius serta merunsingkan.

Adakah pihak berkuasa Turki telah merundingi Kerajaan Malaysia tentang penggunaan bendera kebangsaan kita itu? Jika ya, adakah Kerajaan BN telah memberi kebenaran kepada Kerajaan Turki untuk menggunakan bendera kebangsaan kita dalam operasi  keji ini? Sekiranya kerajaan BN telah membenarkan  negara dan bendera kita terlibat dengan peristiwa yang membabitkan CIA dan mungkin Mossad ini, maka  ia mesti dikutuk oleh semua pihak.  Sebaliknya, jikalau kerajaan BN tidak mengetahui sama sekali tentang salah guna bendera kebangsaan  kita ini, maka berkewajipanlah ia menghantar sekuat-kuat bantahan kepada kerajaan Turki. Jika perlu kita mesti memanggil pulang duta kita di Turki sebagai membantah  kelakuan
pihak berkuasa Turki yang tidak boleh diterima itu. Mereka tidak ada hak meibatkan negara kita dengan perang kotor mereka terhadap rakyat Kurdis. Kerajaan BN mesti menjelaskan bahawa negara dan rakyat kita tidak ingin sama sekali mengambil bahagian dalam perang Turki yang memalukan itu ke atas rakyat Kurdis.

Tindakan Turki menyalah guna bendera kita adalah suatu pencabulan terhadap kedaulatan negara kita. Ia juga merupakan satu tindakan  tidak bertanggungjawab yang membahayakan kakitangan kedutaan kita di luar negeri. Seperti kita ketahui, penunjuk perasaan Kurdis telah mengepung semua kedutaan yang terlibat dengan penangkapan Ocalan. Dengan melibatkan Malaysia dengan peristiwa yang memalukan ini, pihak berkuasa Turki telah meletakkan kakitangan kedutaan kita dalam keadaan bahaya.

Oleh itu PRM menyeru kepada kerajaan BN supaya segera bertindak terhadap laporan mengenai apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Turki itu. Jikalau kerajan gagal atau enggan mengambil tindakan, berertilah ia cuai menjalankan tanggungjawabnya untuk mempertahan kehormatan serta maruah negara kita.
 

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

23 Februari 1999