Dr. Abdul Rahim Md. Ghouse
No. 8 Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara, 50480
Kuala Lumpur, Malaysia.

Surat Terbuka Dr. Abdul Rahim Md. Ghouse
Exco Pemuda UMNO Yang Dipecat

15 Oktober 1998

Kepada
YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
Presiden UMNO Merangkap
Perdana Menteri Malaysia
Jabatan Perdana Menteri
Jalan Dato' Onn
Kuala Lumpur

Dato' Seri,

Didahulukan dengan doa semoga Dato' Seri diberikan taufik oleh Allah s.w.t. agar Dato' Seri sentiasa dalam keimanan dan diberikan pengampunan oleh Allah s.w.t.

Izinkan saya untuk terus kepada maksud dan tujuan saya mengutuskan surat saya ini. Walaupun agak berat tetapi inilah isi hati saya sebagai rakyat.

Pertamanya, saya ingin menyatakan rasa kecewa saya dengan tindakan Dato' Seri sejak kebelakangan ini yang jelas mengenepikan prinsip keadilan. Dato' Seri telah menghukum dan memalukan Dato' Seri Anwar dan keturunannya sebelum mahkamah membicarakan kes Dato' Seri Anwar.

Berbeza dengan kes Rahim Thamby Chik, Dato' Seri begitu mempertahankan prinsip keadilan dan keluhuran undang-undang tetapi dalam kes Dato' Seri Anwar, tindakan Dato' Seri seolah-olah mempunyai sebab lain yang lebih besar.

Keduanya, saya amat kesal dan sedih kerana sebagai pemimpin yang selama ini mengkritik semua orang tidak demokratik rupa-rupanya, semua sifat buruk yang Dato' Seri lemparkan kepada orang sebenarnya ada di dalam diri Dato' Seri.

Buktinya, dalam kes Dato' Seri Anwar, Dato' Seri telah menjadi polis, pendakwa dan hakim malah Dato' Seri juga dalam laporan akhbar menyebut Dato' Seri Anwar telah berdosa. Apakah ini bermakna Dato' Seri telah meletakkan diri sebagai Tuhan yang boleh menentukan hukuman berdosa atau tidak ke atas diri seseorang.

Saya ingin bertanya kepada Dato' Seri sejak bila Dato' Seri mengutamakan soal moral di kalangan ahli-ahli kabinet Dato' Seri. Malah di kalangan anak-anak Dato' Seri apakah moral mereka boleh dijadikan ikutan.

Kalangan Menteri Kabinet, saya boleh sebut siapa yang duduk di Jockey Club, Jalan Ampang berkepit dengan GRO, saya boleh beritahu Menteri mana yang kepit sampai dua orang perempuan di Hotel Grand Hyatt Jakarta, Menteri mana yang sanggup atur komplot bunuh Mustakizah, malah saya ingin mencabar Dato' Seri untuk menafikan pendedahan Puan Marina Yusof, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO bahawa Dato' Seri sendiri ada hubungan sulit dengan ahli keluarganya.

Saya cabar Dato' Seri jawab semua perkara ini, Janganlah guna alasan moral untuk menjatuhkan Dato' Seri Anwar sedangkan pada masa yang sama Dato' Seri sendiri bukan sahaja dikelilingi oleh kalangan Menteri yang kaki betina, kaki minum tetapi Dato' Seri sendiri dituduh punya skandal dengan ahli keluarganya Puan Marina Yusof.

Apa yang saya kesalkan kini ialah, Dato' Seri Anwar bukan sahaja dihukum tetapi dimalu dan diaibkan. Saya tidak tahulah sama ada Dato' Seri masih percaya kepada hukum Allah atau tidak. Jika Dato' Seri sudah merasakan diri Dato' Seri sama seperti Tuhan hingga boleh menjatuhkan hukum berdosa ke atas seorang yang belum dibuktikan bersalah, mungkin kerana itu Dato' Seri sanggup mengaibkan Dato' Seri Anwar. Malah para Menteri dan Menteri Besar seolah-olah mereka dijamin tidak akan berdosa jika mereka terus menyerang Dato' Seri Anwar.

Saya meminta maaf jika surat ini agak kasar tetapi saya rasa inilah cara yang paling layak untuk Dato' Seri buat masa ini.
Saya juga ingin menarik perhatian Dato' Seri terutama semasa Dato' Seri membelasah teruk Tunku Abdul Rahman semasa Almarhum menjadi Perdana Menteri. Dato' Seri kutuk Almarhum Tunku mengutamakan ahli-ahli perniagaan Cina.

Kini apa bezanya Dato' Seri dengan Almarhum Tunku. Siapa tidak kenal Tan Sri Eric Chia, Tan Sri Ting Pheik King, Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Lee Kim Yew, Tan Sri Lim Kok Wing, Tan Sri Tiong, Dato' Soh Chee Wen, Tan Sri Francis Yeoh, Tan Sri Ananda Krishnan dan Tan Sri Arumugam. Pergi dan balik dari luar negara, yang menunggu Dato' Seri ialah muka-muka tauke ini. Malah dalam lawatan ke luar negara negara, muka-muka ini juga yang ikut Dato' Seri. Ada yang jadi tukang bayar beli seluar, beli baju, kot dan tali leher serta kasut. Semua ini mereka ceritakan. Sebabnya tauke-tauke ini bangga kerana dapat belanja Dato' Seri di luar negara.

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, di mana maruah Dato' Seri sebagai pemimpin Melayu. Dato' Seri gunakan wang rakyat bantu Vincent Tan untuk teruskan projek monorelnya. Dato' Seri guna wang rakyat beri Tan Sri Tiong, tauke MEC sebanyak RM500 juta untuk bantu selesai hutangnya.

Apakah ini bagi Dato' Seri tidak salah dan berdosa? Begitu juga dalam kes Eric Chia, Mana pergi Eric Chia sekarang setelah runtuhnya Perwaja dan kerugian mencapai RM7 billion. Kenapa hingga hari ini susah sangat kes itu hendak dibawa ke muka pengadilan. Kes Dato' Seri Anwar cepat sangat di bawa tetapi kes Eric Chia simpan lama-lama dalam fail di meja Dato' Seri.

Rakyat tahu semua ini. Mereka bukanlah bodoh seperti yang Dato' Seri sangkakan. Walaupun Dato' Seri sejak 17 tahun memerintah berjaya dengan taktik politik menakutkan rakyat dengan gambaran akan berlaku huru-hara dan sebagainya tetapi kini rakyat Malaysia sudah celik dan mampu menilai mana yang baik dan mana yang buruk

Saya ingin bertanya kepada Dato' Seri akan runtuhkah Malaysia jika orang kritik Dato' Seri. Akan musnahkan Malaysia jika Dato' Seri sudah tiada. Malaysia milik kami rakyat Malaysia bukan harta keluarga Dato' Seri. Jangan takutkan rakyat dengan ancaman kononnya akan berlaku penjajahan bentuk baru dan ada agenda asing. Sebenarnya yang Dato' Seri cuba tanamkan dalam fikiran rakyat ialah ketakutan agar Dato' Seri dan keturunan Dato' Seri selamat.

Almarhum Tunku dulu hebat dikritik. Namun Almarhum tidak pecat orang sesuka hati, Almarhum Tunku tidak berlagak seperti seorang diktator malah Almarhum Tunku tahu masa untuk dia berundur bukan seperti Dato' Seri yang hendak terus menongkat langit.

Sebelum saya mengakhiri surat saya ini, izinkan saya mengimbas kembali sejarah peribadi Dato' Seri yang memang selama ini diketahui umum. Tujuan saya mencatatkan semula imbasan sejarah ini adalah dengan satu tujuan, iaitu agar Dato' Seri sedar akan perbuatan Dato' Seri dan jika Dato' Seri masih punya sifat seorang insan, InsyaAllah saya doakan Dato' Seri akan sedar.

Berikut saya catatkan secara ringkas dan tepat imbasan sejarah tersebut kerana saya tidak mahu imbasan sejarah ini dipengaruhi oleh emosi dan sentimen :-

1. Dato' Seri pernah dipecat dari UMNO;

2. Semasa Dato' Seri dipecat, Dato' Seri tidak diaibkan, maruah Dato' Seri tidak dihina, dicaci seperti yang Dato' Seri lakukan ke atas Dato' Seri Anwar;

3. Walaupun Dato' Seri mengecam hebat Almarhum Tunku, Dato' Seri tidak ditahan di bawah ISA;

4. Dato' Seri juga semasa dipecat menggunakan mahasiswa universiti untuk menunjuk perasaan menentang Almarhum Tunku dan Dato' Seri sendiri menggunakan Dato' Seri Anwar bagi memimpin gerakan pelajar tersebut.

5. Dato' Seri menggunakan platform PAS untuk mengecam Almarhum Tunku dan UMNO dalam ceramah-ceramah Dato' Seri;

6. Dato' Seri juga menulis surat terbuka kepada Almarhum Tunku yang cukup hebat hingga mendesak Almarhum Tunku meletakkan jawatan

7. Dato' Seri juga apabila dipecat menghasilkan sebuah buku yang mengkritik orang Melayu hingga buku itu diharamkan;

8. Dan akhirnya, Dato' Seri semasa dalam pemecatan telah `lari' ke London dan segala perbelanjaan Dato' Seri di London dibiayai oleh Tan Sri Ananda Krishnan yang menyebabkan sehingga hari ini Dato' Seri merasa amat terhutang budi dengan Ananda.

Berdasarkan kepada fakta ini, saya harap Dato' Seri insaf dan sedar. Saya berdoa agar catatan sejarah peribadi Dato' Seri tidak ditambah dan dicemari lagi dengan insiden yang boleh menghapuskan era kegemilangan Dato' Seri

Jadinya, Dato' Seri jangan tipu rakyat. Kami generasi muda Malaysia tidak buta sejarah. Kami kaji sejarah dan kami tahu apa yang telah Dato' Seri lakukan. Ingat umur Dato' Seri tinggal tak berapa hari saja lagi. Datin Seri dan anak-anak Dato' Seri akan tinggal. Jangan ingat mereka akan selamat. Mereka mungkin akan menerima balasan akibat perbuatan Dato' Seri hari ini.

Saya amat yakin, rakyat hanya menunggu masa dan ketika sahaja. Lainlah jika Dato' Seri sudah meninggalkan wasiat kepada anak-anak Dato' Seri supaya meninggalkan Malaysia setelah mengaut kekayaan dan harta rakyat.

Akhirnya, demi Allah kita akan bertemu di akhirat nanti. Rakyat akan bertemu dengan Dato' Seri di padang mahsyar. Rakyat tidak akan menghalalkan perbuatan Dato' Seri ke atas penganiayaan yang Dato' Seri lakukan.

Demi Allah, rakyat tidak akan berdiam diri untuk menyekat keangkuhan, bongkak, sombong dan takabur yang jelas ada pada sifat Dato' Seri. Bertaubatlah Dato' Seri sementara masa masih diberikan oleh Allah s.w.t. Banyakkanlah sembahyang di waktu malam. Duduklah lama sedikit atas tikar sembahyang semoga Dato' Seri diberikan hidayah oleh Allah.

Saya kasihankan Dato' Seri yang masih terus didodoi oleh Menteri-Menteri dan Menteri Besar dengan mimpi indah dan meletakkan Dato' Seri sebagai insan yang benar dalam semua tindakan.

Sekian, semoga Dato' Seri insaf dan bertaubat kepada Allah s.w.t.

Salam hormat dari saya,

ABDUL RAHIM MD. GHOUSE