SURAT TERBUKA KEPADA DR MAHATHIR MOHAMAD SIKAP TERHADAP IMPERIALIS
AS: CAKAP TIDAK SERUPA BIKIN?

Daripada Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM
 

YAB Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad,

Sebagaimana yang ramai telah menduga, berikutan ucapan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Al Gore para pemimpin pemerintah serta media yang dikuasai parti-parti pemerintah berkokok kuat mengisytiharkan bahawa mereka menentang dan tidak mahu melutut kepada kuasa asing. Syabas! Selain itu, Datuk Seri dan anak buah serta media yang rapat dengan Datuk Seri telah mengambil kesempatan penuh daripada ucapan ini untuk mengutuk golongan reformasi di samping cuba menggembleng sokongan rakyat kepada pemerintah

Kami sering mendengar Datuk Seri bercakap di dalam dan luar negeri tentang bahaya penjajahan baru dari Barat, khususnya AS. Penjajahan baru ini menjelma dalam bentuk pengaruh kekuasaan ekonomi, ketenteraan dan budaya.  Ucapan-ucapan Datuk Seri menarik beberapa buah negara Dunia Ketiga.  Sebilangan rakyat negeri ini menganggap Datuk Seri sebagai wira. Saya sendiri pun tertarik dengan beberapa bahagian daripada ucapan Datuk Seri yang memberi amaran tentang bahaya imperialisme atau penjajahan bentuk baru. Bahkan PRM pun gembira kerana apa yang Datuk Seri ucapkan sekarang telah disuarakan PRM lebih awal lagi sejak 30-40 tahun dahulu. Cuma bezanya, ramai pemimpin kami telah ditahan di bawah ISA kerana menyuarakan pendirian anti-imperialis yang dituduh oleh pemerintah waktu itu sebagai pro-komunis.

Saya ingin tahu apakah hakikat sebenarnya. Mengapakah sering kali tindakan Datuk Seri tidak selari dengan ucapan?

Pada 24 April 1984 Datuk Seri, selaku Perdana Menteri Malaysia, dan Casper Weinberger, Setiausaha Pertahanan AS ketika itu, dilaporkan telah menandatangani satu perjanjian pertahanan antara AS-Malaysia. Datuk Seri tidak pernah mahu berterus terang tentang perjanjian ini atau menjelaskan kandungannya, walaupun dalam Parlimen. Sumber-sumber mengatakan bahawa dengan perjanjian ini Malaysia bersetuju, antara lain, untuk membenar penggunaan pangkalan laut serta udara negeri ini oleh kapal perang dan kapal terbang AS, dan untuk mengadakan latihan-latihan ketenteraan bersama dari semasa ke semasa.

Beberapa hari lalu, pada 25 November 1998, Utusan Malaysia dan beberapa akhbar lain telah menyiarkan berita tentang sebuah laporan daripada Pentagon, pusat pertahanan dan inteligens AS, yang menyatakan bahawa AS akan terus meletakkan 100,000 anggota tenteranya di Asia Pasifik. Laporan itu mengakui bahawa salah sebuah negara yang bekerjasama memberi kemudahan kepada tentera AS itu, yang bertujuan untuk mengelilingi China dan Korea Utara, ialah Malaysia. Apakah mainan Datuk Seri dan Malaysia sebenarnya? Di manakah letaknya hak moral pemimpin-pemimpin pemerintah untuk menuduh orang lain disokong AS? Pada hal dengan perjanjian ini pemerintahan Datuk Seri sendiri menyokong, disokong dan bekerjasama dengan imperialisme AS dalam percaturan ketenteraannya.

Pada tahun 1990, AS bersama-sama sekutunya telah melancarkan serangan ke atas Iraq. Sebelum itu AS cuba mendapatkan sokongan daripada Majlis Keselamatan PBB kepada sebuah resolusi anjurannya untuk membenarkan serangan tersebut. Pada mulanya wakil Malaysia kelihatan agak tegas mahu menentang. Akan tetapi pada hari resolusi itu diundi, beliau telah menyokong. Ertinya, Malaysia merestui supaya pencerobohan tentera ke atas Iraq itu dilakukan. Apa yang berlaku? Benarkah bahawa Datuk Seri telah mengarahkan wakil Malaysia membuat pendirian tersebut selepas Presiden AS George Bush menelefon Datuk Seri secara peribadi?

Sejak pencerobohan AS itu sehingga hari ini, ramai rakyat Iraq yang tidak berdosa, khususnya kanak-kanak, telah kematian, kebuluran dan menanggung berbagai-bagai penyakit akibat kekurangan makanan dan ubat-ubatan.  Mengapakah Datuk Seri sanggup meletakkan Malaysia bersekongkol dengan AS dalam hal pencerobohan itu? Inikah caranya menentang imperialisme baru AS?  Sekarang ini ada sedikit tanda menunjukkan Datuk Seri menyesali tindakan yang silap ini. Akan tetapi nasi sudah menjadi basi. Sepatutnya Datuk Seri sekarang ini meminta maaf kepada semua keluarga kanak-kanak dan rakyat tidak bersalah, yang telah menjadi korban kepada pencerobohan imperialis AS itu.

Kini, akibat krisis ekonomi yang sedang kita hadapi, Datuk Seri acap kali menuduh bahawa puncanya ialah spekulator asing yang tamakkan untung besar, seperti George Soros, yang Datuk Seri sebut ialah seorang keturunan Yahudi.  Bukankah selama-lamanya dasar Malaysia ialah untuk menarik modal asing ke dalam negeri ini? Sesuai dengan dasar ini, Malaysia sanggup membebaskan cukai kepada perusahaan perintis milik asing, menyekat pekerja dalam sektor elektronik menubuh kesatuan, dan menawarkan buruh bergaji rendah kepada pelabur luar. Datuk Seri telah memperkukuh lagi dasar ini.

Tidak dinafikan kita memerlukan pinjaman langsung jangka panjang dari luar untuk mendirikan industri dan meningkatkan peluang
pekerjaan. Seperti yang Datuk Seri ketahui, antara pelabur yang terbesar di negeri ini ialah AS, Taiwan dan Jepun. Mulai awal
1990an, Malaysia telah menggalakkan kemasukan banyak modal jangka pendek dan modal portfolio dari luar ke dalam negeri ini, untuk melaksanakan projek-projek mega dan juga untuk mengembangkan pasaran saham. Sebelum pilihan raya 1995, ramai pemimpin tertinggi BN pernah menyatakan kebanggaan bahawa Pasaran Saham Kuala Lumpur telah berkembang begitu pesat sekali, lebih pesat daripada Wall Street.

Mengapakah pada masa itu Datuk Seri begitu gembira sekali menerima modal portfolio luar, termasuk dari AS? Adakah kerana suku sakat Datuk Seri telah berkesempatan mendapat keuntungan besar daripada spekulasi di pasaran saham? Kedatangan modal portfolio luar serta spekulasi dalam pasaran saham itu adalah penjelmaan daripada kegiatan ekonomi negara-negara yang menjadi pusat kapitalis global, khususnya AS. Mengapakah pada ketika itu cukup ghairah Datuk Seri menggalak serta menerimanya? Mengapakah Datuk Seri sama ghairah juga menerima globalisasi dan pasaran bebas yang merupakan lanjutan daripada perkembangan imperialisme itu? Mengapa sekarang baru marah-marah kepada spekulator asing? Datuk Seri mengatakan krisis
ekonomi sekarang berpunca daripada aktiviti spekulator ini. Tetapi siapakah dan dasar siapakah yang menggalakkan mereka datang dan berspekulasi di sini pada mula-mulanya?

Sekarang ini kita semua merasa bimbang tentang masalah keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak muda terutamanya . Mereka tidak mempunyai role model yang unggul di kalangan pemimpin yang kini terlalu kebendaan, tamak, rasuah dan bermoral rendah dan suka menayangkan kekayaan mereka. Salah satu punca masalah keruntuhan akhlak ini ialah meluasnya pengaruh negatif budaya imperialis yang merosakkan, disalurkan terutama melalui television, dan kekurangan pendidikan berasaskan nilai-nilai agama, moral dan etika yang baik. Siapakah yang membenarkan ini berlaku? Adakah pemerintah berusaha memberikan rancangan-rancangan alternatif yang lebih baik, progresif serta menggalak nilai-nilai seni budaya yang bermutu dan luhur? Mengapakah Datuk Seri seolah-olah tidak mengambil hirau terhadap pengaruh buruk budaya imperialis yang membanjiri negeri kita?

Banyak negara dan ramai orang mudah tertarik dengan cakap-cakap Datuk Seri yang menentang penjajah serta imperialisme baru. Tetapi adakah cakap serupa dengan bikin? Saya dan PRM memang sudah lama menentang imperialisme dan kami telah membayar harganya dengan ditahan dan diburuk-burukkan. Kami sanggup menyokong pendirian Datuk Seri menentang imperialisme AS, sekiranya ia dilakukan benar-benar secara ikhlas dan tulen. Namun demikian, kami tidak mungkin akan dapat menyokong pemerintahan yang Datuk Seri pimpin dan dasar-dasar yang dijalankan, sekiranya mencabuli keadilan, demokrasi, hak asasi serta kebebasan media, dan terus mengamalkan salah guna kuasa, rasuah, pilih bulu dan pilih kasih. Kami akan terus mengkritik sebarang langkah oleh pemerintah untuk menggunakan simpanan awam atau swasta guna menyelamatkan syarikat-syarikat dan tokoh-tokoh yang rapat dengan golongan berkuasa.

Akhirnya, sebelum melanjutkan tuduhan bahawa orang atau golongan lain diperalatkan oleh atau melutut kepada kuasa asing, baiklah Datuk Seri menasihati anak buah serta media yang dikuasai supaya mencermin diri sendiri dan menilai kembali segala tindakan yang telah diambil, terutama sebagaimana yang dihuraikan di atas. Kami memohon agar Datuk Seri bersikap adil kepada diri sendiri dan apatah lagi kepada orang lain.

Yang benar,

Dr Syed Husin Ali

30 November 1998