KENAPA TELEKOM DISERBU DAN STAFF SERTA PEGAWAI KAMI DITAHAN PIHAK POLIS?

Pada 30hb September jam 9.30 pagi sepasukan polis cawangan khas telah menyerbu masuk ke salah sebuah pejabat kawalan Telekom di Kuala Lumpur.  Pejabat tersebut digeledah dan beberapa orang pegawai dan telefonis telah disoal siasat dan ditahan.

Kini kesabaran kami sudah sampai tahap maksimum.  Kami ingin menyatakan bahawa kami bukannya lembu yang boleh dicucuk hidung.  Apakah dengan bocornya rakaman telefon di antara Dr Mahathir dengan IGP Tan Sri Rahim Noor maka kami terus diugut dan ditakut-takutkan? Kami adalah manusia, ada hati, ada perasaan dan ada pendirian.  Kami tidak akan gentar dengan ancaman pihak polis atau sesiapa sahaja.

Tuan-tuan

Jika di mana-mana sahaja surat ini tuan-tuan baca, maka kami pekerja TELEKOM Malaysia ingin menegaskan bahawa kami adalah pekerja yang ada maruah dan harga diri.  Kami menulis dan membongkar rahsia dan arahan ini demi keadilan dan kebenaran.

Memang kami sering menerima arahan dari semasa ke semasa untuk melakukan intipan dan merakam (tab) perbualan orang-orang tertentu khususnya VIP dan VVP.  Selepas merakamnya, maka kami diarah menyerahkan kepada pegawai dan seterusnya kepada pihak polis Bukit Aman.  Ini bukan perkara baru dan bukan rahsia lagi.  Kami telah merakam perbualan sesiapa sahaja yang membuat panggilan masuk ke rumah Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak 3 tahun dulu dan lebih intensif lagi sejak 1 tahun kebelakangan ini atas arahan pegawai atasan.

Namun kami bukannya dungu dan bodoh seperti lembu dicucuk hidung.  Dalam masa yang sama kami juga secara sukarela membuat rakaman telefon terhadap panggilan keluar masuk pembesar lain seperti Dr Mahathir sendiri, Ketua Polis Negara dan beberapa orang besar Bukit Aman.  Dato’ Megat Junid, Dato’ Sanusi Junid, Dato’ Sri Mohd Najib, Tun Daim Zainuddin, Abdullah Badawi dan ramai lagi termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Samad serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.  Perlu diingat, tidak ketinggalan juga rakaman untuk Peguam Negara dan anak-anak buahnya yang sedang mengendalikan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Tuan-tuan,

Kami ingin memberi ingatan kepada Dato’ Seri Dr Mahathir bahawa kami akan lepaskan satu persatu rakaman perbualan itu apabila tiba masa yang sesuai.  Kami harap rakaman perbualan itu nanti akan dapat membantu penyiasatan dan perbicaraaan demi untuk kebenaran dan keadilan.

Tuan-tuan,

Dr Mahathir harus faham bahawa bukan sahaja kami yang bersimpati kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim malah melalui rakaman-rakaman yang dibuat ternyata 90% Pegawai Kanan Kerajaan, ahli korporat, Pegawai Tinggi Polis, tentera malah orang-orang di Bhg. Penyelidikan JPM dan MKN juga turut bersimpati.  Malah dalam pejabat YAB Dato’ Seri sendiri pun ramai yang tidak memihak kepada Dato’ Seri.

YAB Dato’ Seri,

Semua ini tidak akan kami bongkar sekiranya tidak ada pegawai-pegawai polis yang bodoh lagi tolol yang membuat serbuan sedemikian rupa.  Mereka ini langsung tidak tahu psikologi manusia seperti kami.  Fahamlah sikit kerja macam kami ini, setiap saat melayan kerenah pelanggan, kerja ikut shift, sering dipermainkan, masalah tekanan hidup di KL dan berbagai lagi.  Oleh itu fikirlah masalah kami sama.  Jangan nak ikut kepala biul polis sahaja.  Sudahlah orang berkumpul dan tak buat apa-apa keganasan pun polis pukul dan ketuk.  Macamlah mereka itu anjing gila, takkan kami yang selama ini ikut sahaja perintah pun polis lanyak semacam sahaja…..mana boleh.

Kami pun tahu penyokong DS Anwar amat ramai, cuma mereka itu tidak berani cakap sekarang.  Sampai masa mereka akan tentukan siapa.  Kami pun sama juga, kami pun dapat fikir siapa yang benar dan siapa yang mendapat sokongan.  Kami yakin sokongan kami pada DS Anwar sebagai tindakan tepat dan diredhai.  Kepada DS Anwar, Kak Wan dan keluarga dan pendukung reformasi, jangan bimbang, urusan Telekom kami jaga.  Yang lain-lain, kawan-kawan kita akan jaga sampai masa kami tahu apa kami akan buat.  Yang pastinya Reformasi pasti kami dan kita akan jayakan.