YANG TERNAMA BOLEH MEMBELI MARUAHNYA, YANG BAWAHAN TERUS TERTINDAS

Hati saya begitu tersentuh apabila membaca majalah MUSLIMAH isu Desember1998 berkenaan kes seorang nenek yang cuba untuk menebus maruah cucunya.Hampir seakan tak mempercayai dengan apa yang dipaparkan bahawa kezaliman, penindasan seperti itu benar-benar berlaku dibumi Malaysia ini.  Sebelum ini semasa kes tersebut hangat diperkatakan, pihak media massa telah memberi gambaran seolah-olah gadis tersebut yang bersalah dan kes tersebut dilenyapkan begitu sahaja setelah gadis malang itu menerima hukuman.  Dimanakah keadilan jika kesalahan tersebut diletakkan 100% dibahu seorang gadis yang masih dibawah umur iaitu berusia hanya 15 tahun dan apa yang lebih mengecewakan lagi dia telah dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan sebagai seorang gadis yang tidak bermoral bila pemuda-pemuda telah diupah untuk membuat dakwaan pernah melakukan hubungan dengan gadis malang tersebut.

Orang ternama yang sepatutnya disabitkan kesalahan dan didakwa tidak terusik sedikit pun dan masih terbang bebas -sebebasnya.  Jika sebelum ini banyak kes yang membabitkan hubungan dengan gadis dibawah umur diselesaikan oleh pihak mahkamah dan mereka yang disabitkan kesalahan telah menerima hukuman seperti contoh kes salah seorang artis lelaki yang melakukan hubungan dengan gadis bawah umur, walaupun hubungan tersebut berdasarkan atas suka sama suka tetapi artis tersebut telah menerima hukuman kerana gadis itu masih dibawah umur.  Di sini jelas menggambarkan bahawa mereka yang berpengaruh, mempunyai kedudukan, mempunyai kuasa dan wang boleh melakukan apa sahaja kepada rakyat biasa.

Anak yang lahir hasil hubungan gadis tersebut dengan orang ternama itu kini telahpun berusia empat tahun dan didalam penjagaan moyangnya, nenek kepada gadis tersebut yang sudah terlalu tua bagi saya untuk membesarkan kanak-kanak tersebut.  Bagaimanakah masa depan kanak-kanak tersebut? Jika benar mereka yang bertanggungjawab ingin menjalankan keadilan,  ujian DNA harus dijalankan keatas kanak-kanak malang itu dan orang ternama yang disabit kesalahan.  Jika benar dia tidak melakukan kesalahan mengapa takut untuk melakukan ujian DNA tersebut.  Saya begitu sedih, malu dan terharu kerana orang bukan Islam iaitu wakil Parlimen DAP, Mr. Lim Guan Eng yang bersusah payah untuk menyelesaikan kes ini dimahkamah hingga beliau ditahan di bawah ISA.  Di manakah orang Islam yang lain yang berkemampuan untuk menolong spt. Wakil-wakil rakyat Islam, badan-badan atau pertubuhan yang bertanggungjawab melindungi hak wanita dll.  Jaminan keselamatan dan keadilan pada kita rakyat jelata nampaknya masih kelam dan suram selagi tampok pemerintah diterajui oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan hanya menjaga kepentingan kroni-kroninya.