Tragedi TS Yahaya - Rahsia Dibongkar

Telah berlalu 20 bulan tragedi yang telah mengemparkan negara dimana Pengerusi Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Yahaya Ahmad (TSYA)  terbunuh bersama isterinya dan juruterbang helikopter peribadi beliau.  Berita pilu yang diterima di awal pagi bulan Mac 1996 oleh rakyat Malaysia disambut dengan rasa tidak percaya.

Cerita bagaimana seorang usahawan yang terkenal dengan kegigihannya disingkatkan kecemerlangan kerjayanya masih dirasai terutama oleh syarikat-syarikat Kumpulan DRB-Hicom dan kakitangannya.  Ketangkasan dan wawasan beliau lebih-lebih lagi dirindukan di dalam suasana kumpulan yang diasas beliau lemas tersempit oleh kegawatan ekonomi.

Ramai yang masih ingat akan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatannya.  Dengan menunggang sendiri motosikal "cub" beliau meredah di celah-celah kesibukan kenderaan KL tanpa mengira di awal pagi sebelum matahari terbit ataupun sewaktu panas yang terik.  Tiada protokol yang dipentingkan beliau.

Yang lebih menyayatkan hati orang ramai ialah kerana beliau terbunuh ketika dalam menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat (dan meninggal beberapa ketika selepas itu).  Betapa di dalam kesibukan beliau mengejarkan jadual yang ketat dengan pelbagai perkara yang riuh bermain di dalam kepala, beliau masih sanggup terbang pada waktu larut malam demi menunaikan kesetiaan sebagai anak yang ingin membalas jasa ibu.

Siasatan tragedi memakan masa lebih setahun untuk siap.  Selepas siap, laporan tersebut mengambil masa yang lama pula untuk diumumkan.

Pesawat Agusta-109P yang mempunyai 6-tempat duduk itu menjunam 2,900 meter ke celah-celah pokok getah berdekatan dengan sebuah kampung dekat Kuala Lipis. Pesawat yang dengan rasminya dimiliki oleh syarikat TSYA, Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd, adalah sebuah pesawat yang baru dibeli dan adalah model tercanggih yang dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.  Syarikat pembuat telah menghantar jurutera mereka untuk menyiasat punca kemalangan tersebut.

Pelbagai andaian telah dibuat tentang punca kemalangan.  Laporan rasmi kerajaan menyatakan TSYA sendiri yang memandu pesawat tersebut dan akibat ketidakcekapan beliau memandu di waktu malam menyebabkan pesawat tersebut jatuh menjunam. Namun tidak ramai yang tahu rahsia yang terselindung disebalik tragedi tersebut.

Yang amat jelas di mata masyarakat ialah TSYA amat disenangi oleh PM DrM.  Hampir setiap bulan kalau akhbar menceritakan pelbagai projek yang diusahakan dan juga diperolehi hasil hubungan rapat beliau dengan Dr. M.

Tetapi beliau turut juga rapat dengan DS Anwar Ibrahim. Telah diketahui ramai juga bahawa TSYA, sebelum berlepas ke Kuala Terengganu, telah menhadiri majlis jamuan di rumah DSAI.  Jamuan yang dihadiri oleh rakan sedarjah MCKK berlarutan melampaui jam 10.00 malam.  TSYA meninggalkan majlis tersebut menuju ke Helipad Segambut untuk menaiki pesawat yang malang dan berlepas pada jam 10.45 malam.

Memang benar, TSYA selalu memandu pesawat tersebut, tetapi pada malam tersebut beliau telah keletihan dan tidak bersedia untuk memandu kerana inginkan untuk berehat dalam perjalanan satu jam ke rumahnya di Marang.

Agenda beliau pada hari tersebut adalah antara yang tersibuk di hari-hari akhir beliau hidup dimuka bumi ini.  Dalam seminggu tersebut beliau telah berulangkali terbang di antara KL-KT kerana ingin berbakti dengan ibu beliau di saat-saat akhir hayat ibunya dan menyempurnakan tugas perniagaan yang makin berkembang.

Siasatan yang dikumpul dan laporan yang dibuat menyatakan bahawa pesawat tersebut berlegar kerana masalah teknikal sebelum terhempas.  Dan bukannya menjunam kerana kegagalan pemandu memandu dalam suasana gelap. Pesawat telah meletup sebelum jatuh ke bumi.  Kalau seseorang yang cekap pun pasti tidak dapat berbuat apa-apa apabila injin pesawat berhenti dan meletup di udara walaupun kalau ianya dipandu oleh komputer sepenuhnya. Pesawat Augusta 109 turut dilengkapi dengan sistem instrumentasi ILS yang membolehkannya terbang dengan mudah di waktu malam.

Ingin saya bahawa pemerhatian pembaca ke beberapa perkara untuk difikirkan bersama:

1. TSYA tidak memandu pesawat tersebut pada masa tersebut (suatu percanggahan dengan laporan rasmi kerajaan).  Beliau dilihat menaiki pintu penumpang dan bukan pintu pemandu.  Beliau amat keletihan dan memerlukan kerehatan.

2. Pemandu pada masa itu adalah Mej Azlizan.  Di kalangan rakan beliau semasa di TUDM, Mej Azlizan memang terkenal dengan kecekapannya dan pengalamannya.  Sebab itu lebih mudah untuk mempersalahkan TSYA yang memandu ketika itu kerana "track record" kemahiran Mej. Azlizan.

3. Pesawat tersebut berlabuh dan di simpan di Segambut dan diservis oleh sebuah syarikat yang miliknya dikaitkan dengan tokoh ternama di Malaysia.  (Saya ingin membiarkan pembaca mencari maklumat ini)l  Tempat tersebut memang dikawal rapi - dan hanya perkeja di situ sahaja yang dibenarkan keluar masuk.

4. Suatu yang tidak dihebohkan sebelum ini ialah - Pada 4hb Mac DSAI dan TSYA dijadualkan terbang bersama di dalam pesawat yang malang tersebut. Nasib menyebelahi DSAI kerana pesawat tersebut jatuh sebelumnya.  Pada malam yang malang itu, ketika di rumah DSAI, DSAI bersungguh merayu TSYA agar tidak terbang pada malam itu kerana terpaksa pulang ke KL untuk jadual mereka bersama keesokkannya.  (Perbualan itu didengari oleh beberapa orang pada malam tersebut malah dilaporkan di dalam akhbar-akhbar tempatan.

5. Masih ramai yang ingat akan peristiwa pesawat VIP TUDM yang dalam perjalanan untuk mengambil DSAI dari lawatan ke utara terhempas di Kepala Batas membunuh beberapa kakitangan TUDM.  Ajal belum tiba untuk DSAI pada ketika itu (yang pada ketika itu telah menjawat sebagai TPM hampir nyata bahawa beliau akan mengambil alih tapuk pemerintahan negara).
 

Kesimpulan:

Kalaulah benar bahawa DSAI memang tidak dikehendaki sejak sekian lama, saya tidak dapat menyangkal bahawa telah ramai korban yang digugurkan demi untuk menjaga kepentingan beberapa kerat manusia di Tanah Air yang tercinta.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah Azzawajala agar bala dijauhkan dari kita dan bersembahyang hajat beramai-ramai (jika dihalang buat  sendirian di masjid mahupun di rumah).