WARKAH UNTUK DS ANWAR

Assalamualaikum....

Semoga sahabatku Anwar dalam lindungan kesejahteraan hendaknya, dan terus mendapat kekuatan meneruskan perjuangan dengan bantuan dan izin dari Allah jua.

Setelah sekian hal dan peristiwa yang dialami, serta tidak dapat dinafikan, saudara terus-terusan akan diuji oleh Allah, demi membuktikan bahawa sunnah Rasullah, itulah sunnah seorang pejuang yang penuh dengan kekentalan semangat dan kekuatannya masih tetap bergema suaranya biar dipelusuk manapun ia dipenjara.

Sirah Nabawi dan kisah-kisah perjuangan seperti As-Syahid Hassan AlBanna, As-Syahid Syed Qutb dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa nama) yang sama-sama kita agungkan, kini sudah ada mulut-mulut celupar yang bertopengkan kuasa taghut, menghina mereka-mereka ini. Bukan sekadar mereka-mereka yang Syahid ini sahaja diperlekeh dan ditelanjangkan dengan segala bentuk keaiban, malah ulama'-ulama' muktabar seperti As-Syeikh Dr. Yusuf Qardawi juga menjadi mangsa angkara dendam kesumat yang bertahta dan dengki khianat yang bermaharajalela.

Lihatlah Saudaraku Anwar. Walaupun dirimu semakin terbelenggu dengan seribu macam tohmahan, fitnah dan kata nista, maka sekian itu julah suara-suara keadilan dan kebenaran bersamamu. Allah pasti bersama bersama kita. Allah tetap akan menghantarkan tentera-tenteranya yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar, namun hari demi hari tentera-tentera Allah ini tetap bertugas memberi bantuan. Percayalah!!

Ribuan sudah surah Yassin dibacakan, puluhan ribu ummat bersembahyang hajat, semata-mata mengharapkan bantuan dari Allah jua agar ditegakkan akan keadilan dan kebenaran. Apakah antara puluhan ribu ummat ini tidak ada hamba yang soleh, yang bangun dimalam hari dengan dingin subuh dinihari, tunduk, sujud dan bertasbih memuji Allah, memohonkan bantuan?
Apakah antara puluhan ribu ummat yang menghayati setiap makna dan tuturkata dari ayat-ayat suci Al-Quran ini, tidak mampu untuk menumbangkan sebuah kerajaan?

Yaqinlah wahai saudaraku Anwar, Allah tetap bersama kita. Selagi kita tetap kekal bersamaNya.

Sempena sambutan Isra' wal Mi'raj ini, sudah tentunya saudaraku Anwar tidak dapat lagi mendengar ceramah atau peringatan-peringatan tentang peristiwa yang di alami oleh baginda Rasulullah sewaktu dibawa berjalan-jalan oleh Jibril.

Mungkin saudara masih ingat akan peristiwa di mana Rasulullah telah tercium akan bauan yang sangat harum dari sebuah kubur. Itulah kubur tukang sikat anak Firaun yang bernama Masyitah.Diringkaskan cerita ketika Masyitah sedang menyikat rambut anak Firaun Laknatullah ini, tanpa disengajakan, sikat itu jatuh dan terlepaslah dari mulut Masyitah akan nama Allah. Anak Firaun hairan dan bertanya apakah ada tuhan lain selain dari bapanya yang mengaku tuhan itu.Masyitahpun berkata, Ya, Allah Tuhanku, Tuhan kamu, Tuhan bapa kamu dan Tuhan sekelian alam. Maka mengadulah anak si Firaun laknatullah ini kepada bapanya.............(stop)orang yang mula-mula membuat lapuran sesuatu kebenaran menjadi fitnah adalah anak Firaun. Maka barangsiapa yang berkelakuan seperti itu, maka ia adalah umpama anak Firaun itulah juga. Terutama mereka-mereka yang suka membuat lapuran palsu terhadap ulama'......(sambung) dipendekkan cerita maka Masyitahpun matilah bersama-sama anaknya dalam satu kawah yang besar.

Saudara Anwar yang diingati, Kisah dan tauladan dari secebis peristiwa Isra' dan Mi'raj ini, saya temui dalam siri usrah yang saya sertai. Rasanya lama juga kita tidak berusrah. Rindu rasanya.

Oh ya, pada 28 dan 29 Nov ini akan diadakan satu keramaian tahunan di Sungai Pusu, Gombak. Nampaknya saudara tak dapatlah lagi nak jenguk-jenguk kami di sini. Mungkin agaknya jika saudara dibebaskan kelak pembangunan di sini masih belum siap. Begitulah adanya...duit dah banyak habis tapi......kami makan asap lori 'Anak Rantau' dan debu yang tak pernah miss.

Untuk makluman saudara anak-anak buah saudara di sini dah ramai yang ditahan. Tak kiralah ditahan dalam apa jenis sekalipun. Isa ke Osa ke dan entah apa-apa lagi...Ada juga yang sudah dibebaskan dan masih ada juga lagi yang belum dibebaskan.

Saudaraku yang dikasihi, Di Sungai Pusu ini, terdapat beberapa orang yang seronok dengan penangkapan saudara. Kata mereka saudara telah mendiskriminasikan mereka. Saudara lebih utamakan orang dari luar. Manjakan mereka dengan berbagai-bagai imbuhan. Entahlah... saya pun tak tahu. Tapi yang pasti ada seorang pensyarah sudah halau sahabat kita keluar
kerana pakai reben putih kat baju.......nampaknya berpatah arang mereka dengan saudara.

Rasanya sampai disini dahulu warkah saya untuk saudara. Mungkin agaknya ada antara anak-anak Firaun diluar sana tu sedang memantau catatan saya ini. Maka kalau ada lagi sorang yang terbaru dari Sungai Pusu ini dipenjarakan maka itulah saya.

Sekian dahulu dari saya.

Jazakallah hu khairan kasira

Wassalam
Askar Pencen