Sejarah
Sekolah Tun Perak

Sekolah Tun Perak bermula pada 10 Januari 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah XIX, Jasin. Pada masa itu Pengetuanya ialah Encik Sulaiman Md. Atan. Peringkat permulaannya bilangan muridnya seramai 245 orang yang terdiri dari 5 aliran Tingkatan 1, 1 aliran Tingkatan 2 dan 1 aliran Tingkatan 3. SMR XIX merupakan sekolah menengah aliran kebangsaan yang memulakan sejarah persekolahannya dengan menumpang di Sekolah Kebangsaan Jasin di sebelah petang. Bagaimanapun pada awal tahun 1966, pentadbiran dan pengajarannya berpindah pula ke Sekolah Menengah Kebangsaan Jasin iaitu di tapak yang ada sekarang. Pada waktu itu pentadbiran didukung oleh 14 orang kakitangan akedemik dan beberapa orang kakitangan lain.

        Apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Jasin berpindah ke Klubi pada awal tahun 1967; bangunan, peralatan serta kemudahan yang ada telah diserahkan keseluruhannya bagi kegunaan SMR XIX. Ini bermakna SMR XIX mulai tahun itu telah punya bangunan sendiri dan tidak menumpang lagi. Pada tahun itu juga proses pembinaan dua blok bangunan tambahan iaitu Blok C dan Blok D. Pada 1 Oktober, 1967 SMR XIX telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Berhormat Menteri Pelajaran Encik Mohd Khir Johari. Mulai tarikh tersebut SMR XIX dikenali sebagai Sekolah Tun Perak.

        Bagi maksud memberikan kemudahan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Daerah Jasin Darat iaitu Sekolah Iskandar Shah, Sekolah Datu’ Bendahara, Sekolah Menengah Jasin dan Sekolah Tun Perak sendiri; sebuah asrama telah ditubuhkan pada tahun itu juga di bawah pentadbiran Sekolah Tun Perak. Asrama tersebut dikenali dengan nama Asrama Putera Jasin. Bagi memenuhi maksud tersebut 7 bilik darjah dari bangunan D telah digunakan dan boleh menampung 130 orang murid. Namun begitu jumlah penghuninya sentiasa turun naik dari setahun ke setahun.

        Memandangkan kebanyakan murid di sekolah ini pada waktu itu mempunyai latar belakang ekonomi yang kurang menggalakkan , sebuah tabung yang dikenali sebagai ‘Badan Kebajikan Murid Miskin’ telah ditubuhkan pada tahun yang sama. Matlamatnya dapat difahami dari namanya dan punca kewangan diperolehi dari kegiatan-kegiatan yang dirancangkan dari masa ke semasa.

        Peringkat permulaannya, STP hanya menyediakan calon-calon SRP yang pelajar-pelajarnya datang dari sekolah kebangsaan kawasan persekitaran. Mulai tahun 1970, STP mula menyediakan kelas Peralihan bagi menampung murid-murid yang datang dari SRJK(C) dan SRJK(T). Buat permulaannya sebuah kelas disediakan. Waktu itu pelajar-pelajar yang lulus SRP dihantar melanjutkan pelajaran ke Sekolah Iskandar Shah.

        Hanya pada tahun 1977, kelas Tingkatan 4 dimulakan dengan jumlah murid seramai 222 orang. Pelajar-pelajar ini ditempatkan dalam 5 kelas. Ini bermakna sekolah hanya mula mengemukakan caln SPM pada tahun 1978 dan kesemuanya dalam jurusan Sastera.

        Memandangkan sebahagian besar pelajar sekolah dan majoriti asramawan beragama Islam. Pada tahun 1980 telah ditubuhkan sebuah jawatankuasa yang bertanggungjawab merancang serta melaksanakan pembinaan surau untuk kegunaan semua pihak yang beragama Islam. Jawatankuasa ini telah merancang kegiatan-kegiatan bagi mengisi ‘Tabung Surau’. Hasil pungutan derma dari pelajar-pelajar, guru-guru dan kakitangan, ibubapa, orang ramai dan sumbangan kerajaan negeri; pembinaannya telah dimulakan pada tahun 1980 dan siap pada tahun berikutnya. YB Encik Mohd Aris bin Hj. Konil, ADUN Kawasan Air Panas telah merasmikan surau tersebut pada tahun 1981.

        Dengan kebenaran Jabatan Pelajaran, sekolah memulakan Tingkatan 4 sains pada tahun 1984. Calon jurusan sains yang pertama mengambil peperiksaan SPM ialah pada tahun 1985. Bilangan mereka seramai 32 orang.

        Pada Tahun 1986, pembinaan asrama 3 tingkat yang boleh memuatkan 200 katil telah dimulakan bagi menggantikan asrama yang menggunakan bilik darjah sebagai dom asrama. Di samping sebuah asrama, sebuah dewan makan juga didirikan. Berhampiran dengan asrama itu juga telah dibina 3 unit rumah kakitangan secara usaha gotong-royong. Pada tahun 1992 kerajaan telah membina 2 unit rumah guru. Pada tahun 1994 2 unit lagi rumah guru telah dibina dan telah siap pada tahun itu juga.

         Pelajar-pelajar asrama yang tinggal di blok D telah dipindahkan ke bangunan baru asrama pada tahun 1988 yang telah menempatkan 130 orang pelajar. Pada tahun 1994 sebanyak 4 buah rumah guru telah disiapkan.

 

TUN PERAK

         Tun Perak ialah anak Bendahara Seriwa Raja, Bendahara Melaka semasa pemerintahan Seri Parameswara Dewa Shah. Apabila raja dibunuh, bendahara telah membunuh diri. Dengan tipu muslihat puak Tamil Muslim, Tun Ali dilantik menjadi Bendahara, Tun Perak dihantar ke Kelang menjadi penghulu.

Nama Tun Perak menjadi masyhur di kalangan rakyat Melaka kerana berjaya mematahkan serangan Siam ke atas Melaka pada tahun 1445 dan 1456.

Tun Ali tidak disukai oleh rakyat Melaka. Beliau telah dirujuk oleh Sultan Muzzaffar Syah supaya meletakkan jawatan dan melantik Tun Perak sebagai Bendahara Melaka pada 1456.

Tun Perak telah memperluaskan empayar Melaka dengan menakluk Pahang, Terengganu, Kedah, Johor, Bungkalis dan Kepulauan Karimon. Memperluaskan empayar Melaka hingga ke Sumatera dengan menakluk Rokan, Siak, Jambi, Kampar, Indiagiri dan Aru. Oleh itu, beliau digelar pembina empayar Melaka.

Melalui penaklukkan beliau berjaya menyebarkan Agama Islam. Biasanya negeri taklukan akan memeluk Agama Islam dengan cara mengikut agama di Melaka. Beliau juga menggalakkan perkahwinan diantara rakyat negeri jajahan dengan rakyat Melaka. Dengan cara ini ramai rakyat tanah jajahan seperti Kedah, Bruas dan Patani memeluk Islam.

Beliau juga terkenal sebagai pelatih raja kerana telah melantik Sultan Mansur Syah, Sultan Alauddin Riayat Syah dan Sultan Mahmud Syah.

Tun Perak meninggal dunia pada 1498 setelah menjadi Bendahara Melaka selama 42 tahun. Beliau telah berjaya meluaskan empayar Melaka dan menjadikan Melaka sebagai pusat perkembangan serta pusat penyelarasan Agama Islam dirantau Asia Tenggara.

 
PENGETUA-PENGETUA
SEK.MEN.KEB.TUN PERAK
 
NAMA PENGETUA
1. ENCIK SULAIMAN BIN MD ATAN
10/01/1965 HINGGA 31/11/1969
2. ENCIK ABD. AZIZ BIN TAPA
01/12/1969 HINGGA 31/12/1972
3. ENCIK JAMADI BIN ALIAS
01/01/1973 HINGGA 31/12/1977
4. TUAN HJ. ABU HASHIM BIN MANAF
01/01/1978 HINGGA 30/09/1979
5. ENCIK AMAT BIN ABSAH
01/01/1979 HINGGA 15/04/1986
6. TUAN HJ. ROKHANI BIN MANGI
16/04/`986 HINGGA 16/08/1989
7. TUAN HJ. OTHMAN BIN HJ. HASSAN
17/08/1989 HINGGA 01/12/1993
8. TUAN HJ. MAHMOR BIN OSMAN
02/12/1993 HINGGA SEKARANG