Perdebatan sengit yang sedang berlaku menunjukkan betapa
pembentukan masyarakat dunia berdepan dengan kesulitan yang
asasi. Kesejagatan telah meruntuhkan segala tembok-tembok budaya,
dan pertembungan kebudayaan tanpa mengenal batas kini merupakan
kenyataan harian. Namun luka daripada pertembungan Asia dengan
Barat belum pulih sepenuhnya sementara Barat, meskinpun kuasa dan
pengaruhnya telah banyak merosot, masih menyimpan keangkuhan lama
tetapi menzahirkannya dalam bentuk yang lebih canggih dan halus.
Kita dapat menangkap sikap angkuh Barat apabila ia menggesa Asia
menyegerakan reformasi politik. Adakah mereka terlupa bahawa
Amerika Syarikat mengambil masa hampir 100 tahun, dari tarikh
pengisytiharan kemerdekaannya, untuk menghapuskan sistem
perhambaan? Sesudah itu ia memerlukan hampir 100 tahun lagi untuk
menghapuskan pemisahan mengikut warna kulit di sekolah-sekolah,
melalui keputusan mahkamah agung dalam kes Brown lawan Board of
Education tahun 1954. Maka mudah saja untuk dimengerti apabila
Asia menuduh Barat sebagai munafik, angkuh dan buta sejarah
apabila ia menuntut Asia segera melaksanakan demokrasi dan
menegakkan hak asasi manusia. Setelah berjuang lebih daripada
satu abad untuk kemerdekaan dan memperoleh kembali harga diri,
sudah tentu bangsa Asia tidak memiliki kesabaran untuk mendengar
khutbah tentang kebebasan dan hak asasi manusia daripada mereka
yang pernah menjajah dan merobek hak asasi mereka. Khutbah
tersebut sebenarnya satu penghinaan kepada Asia. Sementara
reformasi politik itu suatu yang baik dan memang diperlukan oleh
Asia, cara dan masa ia dikemukakan menampakkan sifat talam dua
muka. Demokrasi dan hak asasi manusia hanyalah alat Barat untuk
menekan Asia kerana Barat telah menunjukkan keghairahannya
mempertahankan pelbagai bentuk pemerintahan kuku besi.
Sementara sikap curiga Asia terhadap slogan demokrasi dan hak
asasi dari Barat adalah wajar, namun Asia juga perlu merenung ke
dalam dirinya. Apabila ia dapat melepaskan diri daripada
prasangka dan lebih memandang ke hadapan daripada kepedihan
pengalaman penjajahan, ia terpaksa akur bahawa apa yang dikritik
oleh Barat -- apapun tujuannya -- tidak semuanya salah.
Di sebahagian negara Asia tanda keruntuhan akhlak begitu ketara,
sementara rasuah, nepotisme dan pelbagai keterlaluan dan
keterlanjuran berleluasa. Kita harus insaf bahawa jauh sebelum
Barat mengkritik kejelekan ini pemimpin Asia sendiri telah
mengkritiknya dengan lebih tajam. Umpamanya di ambang
kemerkdekaannya pemimpin besar Pakistan, Muhamad Ali Jinnah
mengingatkan para pemimpin negara tersebut perlu berdepan dengan
"racun" yang berupa rasuah dan nepotisme, dan perlu
berusaha tanpa jemu untuk mengikisnya.
Justeru itu, Asia jangan mudah jadi sombong dan lupa daratan
dengan kejayaan ekonominya yang luar biasa. Kejayaan ekonomi
telah memberikan keyakinan terhadap keupayaan sendiri. Tetapi
terdapat bibit-bibit yang menunjukkan bahawa keyakinan diri boleh
bertukar menjadi keangkuhan. Malang sekali bagi Asia dan juga
dunia jika ini berlaku. Pertama ia merupakan pengkhianatan kepada
satu nilai Asia yang disanjung tinggi, iaitu prinsip
tawadhu. Kedua ia akan membantutkan usaha yang lebih gigih
ke arah reformasi dan islah yang merupakan prasyarat untuk
menjamin pertumbuhan ekonomi dan masyarakat yang mampan. Untuk
ketahanannya, kemajuan dalam bidang sosial dan politik mesti
setara dengan kejayaan ekonomi. Keghairahan yang keterlaluan
kepada petunjuk ekonomi saja akan menyebabkan kita alpa akan
wujudnya kemiskinan dan kemelaratan yang parah di tengah-tengah
masyarakat. Pedih dan sengsara yang dialami buruh yang ditindas,
termasuk wanita dan kanak-kanak, merupakan kenyataan pahit yang
tidak dapat disangkal. Kesenjagan dalam masyarakat, rasuah,
penafian kebebasan dan hak asasi serta kekejaman, begitu meluas.
Kenyataan ini perlu menyedarkan kita bahawa tradisi Asia
memerlukan pembaharuan dan nafas baru. Sebahagian daripada
warisannya jelas tidak sesuai dengan masa kini dan norma-norma
sejagat. Lebih penting daripada itu ia perlu dibebaskan dari
cengkaman kuku besi, penindasan dan feudalisme zaman lampau.
Kesejagatan dan ledakan maklumat mendorong ke arah pembentukan
umat dunia yang satu, yang tidak diasaskan kepada dominasi
mana-mana budaya. Justeru itu masyarakat dunia berhadapan dengan
cabaran menjalin kesefahaman dan mengikis prasangka dan curiga.
Hanya dengan kejujuran intelektual dan keyakinan moral kita dapat
menggantikan prasangka lama dengan sikap baru yang dibina di atas
kesatuan nilai-nilai sejagat dan kefahaman bahawa setiap
kebudayaan memiliki keistimewaan yang tersendiri yang menjadi
asas membentuk peribadinya. Kelainan dan keistimewaan ini perlu
dihormati kerana ia merupakan asas kepada jamak budaya.
***
Dari Anwar Ibrahim, Gelombang Kebangkitan Asia, DBP
1997 ms.33-35