From: TerusBergerak <Gerak@yahoo.com> Subject: PENGISYTIHARAN GERAK Date: Monday, September 28, 1998 3:49 PM

Pengisytiharan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK)

Menyedari fenomena keadilan sedang dicabuli dan rakyat kini sudah mula mempersoalkan kebebasan kehakiman dalam proses keadilan negara,

Menyedari gejala penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa untuk menyekat kebebasan bersuara dan mempertahankan diri melalui hak yang dijamin oleh undang-undang kini cukup berleluasa sehingga penangkapan yang dibuat secara tidak bertamaddun,

Menyedari krisis dan kegawatan politik negara kini sedang dilanda secara paling serius sehingga menafikan hak menyuara dan mendengar dari kalangan rakyat, dan

Menyedari pemerintah hari ini menuju kepada kezaliman dan ketidakadilan, menyedari bahawa krisis ekonomi kini menimbulkan krisis politik dan krisis sosial/moral yang sangat serius.

Maka kami yang tersenarai di bawah ini bersetuju membentuk satu Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) dengan objektif berikut:

1. Mengembeling seluruh tenaga rakyat untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman

2. Memastikan agar institusi pemerintahan terutama mahkamah, polis dan media tidak diperalatkan untuk menekan serta menakutkan rakyat dan menyebar fitnah

3. Menggerakkan potensi rakyat untuk mengembalikan keadilan yang asasi

Bagi mencapai objektif-objektif tersebut :

a) GERAK menuntut kerajaan khususnya instrumen perundangan agar tidak disalahgunakan bagi menghalalkan segala tindakan ke atas mereka-mereka yang tidak sealiran dengan pemerintah.

b) GERAK juga menyesali unsur dan gejala fitnah yang berleluasa berlaku dalam percaturan politik sekarang ini sehingga mengakibatkan maruah agama dan adab kesusilaan rakyat Malaysia terjejas.

c) GERAK menuntut supaya mereka yang ditahan di bawah ISA dibebaskan tanpa syarat atau pun dihadapkan ke mahkamah terbuka.

d) GERAK menegaskan serta mendesak dengan sekeras-kerasnya agar ISA segera dihapuskan memandangkan akta ini sedang berleluasa menindas hak rakyat untuk mendapat keadilan.

e) GERAK mendesak pihak kerajaan agar memastikan semua tahanan ISA tidak dianiaya melalui penggunaan apa-apa kaedah yang melibatkan seksaan fizikal, tekanan saikologi, mahu pun bahan kimia yang boleh mendera tahanan untuk membuat pengakuan secara paksa atau dalam keadaan yang tidak disedari.

f) GERAK mrnuntut supaya kerajaan memberhentikan serta merta operasi menahan individu rakyat di bawah ISA.

g) GERAK mendesak supaya badan kehakiman dan media dijamin kebebasannya agar tidak diperalatkan oleh mana-mana pihak yang boleh mencabuli perlaksanaan prinsip perundangan dan keadilan untuk semua.

h) GERAK menggesa pihak polis menjalankan tugas secara prfessional, beretika dan sera tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam melaksanakan tugasnya.

DATO HAJI FADZIL MOHD NOOR Pengerusi GERAK

GERAK diwakili oleh :

PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS) PARTI RAKYAT MALAYSIA (PRM) PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK (DAP) PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA (PUM) ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) JAMAAH ISLAH MALAYSIA (JIM) SUARA RAKYAT MALAYSIA (SUARAM) PERUBATAN PERUBATAN MALAYSIA (PPIM) IKATAN SISWAZAH MUSLIM (ISM) PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP) TERAS PENGUPAYAAN MELAYU (TERAS) PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

INDIVIDU :

TAN SRI ABDUL SAMAD ISMAIL – SASTERAWAN NEGARA PROF EMERITUS DATO' SHAHNON AHMAD – SASTERAWAN NEGARA DR ABDUL AZIZ BARI