TEKS ucapan Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Umno, di majlis pembukaan persidangan Pemuda dan Wanita Umno di Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur Khamis 23 November 1995.

[Text of speech by ANWAR IBRAHIM, Malaysia's Deputy Prime Minister and Deputy President of the United Malays National Organisation (UMNO), at the joint opening of the party's Youth and Women's Wings annual delegates conference, Kuala Lumpur, Thursday, 23 November 1995]


Keluhuran budi memperkukuh perjuangan

SAYA memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi berkesempatan bersama dengan kedua-dua sayap Umno. Pergerakan Pemuda dan Wanita mencerminkan keluasan medan dan garapan Umno di kalangan umat Melayu. Pemuda dan Wanita menjamin Umno tidak kehilangan keceriaan dan dinamisma, bahkan mendorong Umno bersikap mansang dan progresif untuk menggembleng potensi membina masyarakat adil dan penyayang.

 Umno adalah sebuah parti politik yang diasaskan kepada perjuangan rakyat. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan bahawa Umno sentiasa berada di landasan itu. Pencapaian amat cemerlang bagi Pilihan Raya Umum 1995 lalu adalah bukti dokongan padu rakyat dan mercu tanda baru bagi Umno dan Barisan Nasional. Pilihan raya itu adalah pencapaian tergemilang Barisan Nasional dalam sejarah. Kejayaan yang begitu hebat tercapai kerana ada perpaduan kental dalam Umno, sokongan padu daripada parti komponen dan lebih-lebih lagi adalah kerana ketokohan pemimpin tercinta kita, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

 Walaupun begitu, ada juga golongan-golongan pinggiran yang sentiasa cemburu dengan kejayaan kita. Golongan begini berada di mana-mana; di dalam dan di luar negara. Semakin kecewa mereka, semakin jelas pula kesungguhan mereka untuk mencuba mengganggu-gugat kestabilan politik Umno mahupun negara. Justeru akhir- akhir ini ada kembiri politik yang menabur dakyah kononnya berlaku keretakan hubungan di kalangan pimpinan negara. Mereka membuat andaian bahawa keadaan yang berlaku pada tahun 1987 itu akan berulang. Kesumat mereka amat bercita- cita dan berharap agar perkara ini terjadi. Petualang-petualang ini sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan saluran media asing untuk mencanangkan hasrat mereka. Media asing pula memang ghairah sekali dengan cerita-cerita perpecahan dan kehancuran kerana pada faham mereka kebebasan dan demokrasi harus ditandai dengan pergelutan dan pergolakan yang tidak berkesudahan. Mereka pasti akan kecewa kerana kita tidak akan terjebak oleh perangkap usang mereka itu.

 Kesetiaan saya kepada Presiden tidak perlu dipersoal lagi. Usahlah sesiapapun cuba mengadu-domba atau membuang masa mencalonkan saya untuk jawatan Presiden untuk tujuan menguji atau menyinggung. Semua ini laksana menjaring angin, akan sia-sia belaka. Pendirian saya mengenai perkara itu adalah tegas. Perpaduan dan tradisi perjuangan harus diutamakan dan saya tidak akan berganjak dari pendirian itu. Janganlah mata kita mudah menjadi rabun dan terpedaya oleh ahli- ahli nujum lapuk yang bergentayangan laksana kelawar di dalam gua. Namun, kita harus awas dengan sikap peniaga tamak atau politikus kecundang yang terus menyebar cerita rekaan. Kita juga sewajarnya tidak mudah gelabah, mudah diheret untuk melayani fitnah gerombolan itu.

 Kepada tukang-tukang fitnah ini, ingin kita beri peringatan, kerana kita sedang memerhatikan setiap gerak-geri mereka. "Dalam sudah keajukan, dangkal sudah keseberangan." Belajarlah dari kisah Si Kitul, iaitu seorang budak suruhan saudagar pada zaman Sultan Mahmud Shah. Beliaulah yang memulakan fitnah yang menyebabkan beberapa orang besar negeri teraniaya dan dihukum bunuh oleh Sultan. Tetapi akhirnya apabila Sultan sedar akan kesilapan baginda dan menyesal, maka Si Kitul disula dan "tanah bekas kaki tiang rumahnya pun disuruh cangkul dibuangkan ke laut."

 Tahun hadapan parti kita akan menyambut ulang tahun ke-50. Yakni, kita bukan saja matang dari segi usia, tetapi lebih daripada itu, kita juga telah lebih perkasa kerana pengalaman. Kita tidak akan membenarkan walaupun siapapun, untuk memecahkan perpaduan erat yang telah terjalin di kalangan pucuk pimpinan Umno. Kita perkasa kerana kita bersatu. Kita bersatu kerana Pergerakan Pemuda dan Wanita sentiasa menjadi benteng setia di belakang pucuk pimpinan parti.

 Pemuda dan Wanita harus menjadikan kesempatan menyambut setengah abad Umno untuk menyingkap kembali kekuatan semangat perjuangan menentang penjajah yang disusuli dengan usaha membangun negara. Yang juga ketara ialah Umno telah mencetuskan revolusi akliah. Ini berjaya dilakukan kerana Umno pantas mengadun dan menjana tenaga antara generasi; generasi terdahulu dengan generasi baru. Revolusi akliah ini lebih menonjol di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Mahathir. Beliau berusaha mengubah sikap rakyat, terutama masyarakat Melayu supaya lebih dinamik dan positif untuk mengatasi tradisi kolot dan jumud. Wawasan beliau disambut oleh generasi terdahulu yang berpengalaman dan generasi baru Umno yang lebih berpendidikan dan rasional.

 Pergerakan Pemuda dan Wanita kini turut diterajui oleh generasi terpelajar dan profesional baru yang lebih yakin dan bersikap positif dalam menangani permasalahan masyarakat dan umat. Mereka juga memiliki kefahaman agama yang lebih mantap justeru menjadikan nilai-nilai sejagat Islam sebagai sumber kekuatan untuk memerangi kebatilan dan kejumudan. Kesemua ini mengangkat pemikiran Umno ke tahap yang lebih tinggi dan canggih. Berbekalkan perubahan sikap yang dicetuskan dan kekuatan akliah kita mampu menggarap persoalan besar baik setempat sifatnya mahupun sejagat. Justeru kita telah memiliki keyakinan merumuskan konsep masyarakat madani; mempelopori dialog peradaban dan melontarkan gagasan nahdah Asia atau Asian renaissance.

 Dialog peradaban Islam dan Konfucianisme, persidangan mengingati Jose Rizal mencerminkan kemampuan kita untuk menggarap perjuangan sejagat dan mengambil sumber kekuatan dari mana sahaja. Ini sudah tentu berbeza dengan golongan yang menamakan diri mereka sebagai parti Melayu yang telah kehabisan penyokong. Mereka ini muflis intelek justeru itu gerun untuk berdialog secara rasional. Tidak terdaya mereka untuk keluar dari tempurung pemikiran sempit dan berdepan dengan pemikiran serantau dan sejagat. Yang mampu mereka lakukan hanyalah meniup sentimen perkauman sempit. Kepada mereka perlu kita ingatkan tentang sabda Nabi Muhammad SAW:

Hikmah itu adalah barang hilang orang mukmin, bila ditemui beliau yang paling berhak memilikinya.
Kalau kenyataan ini hakiki, iaitu perjuangan Umno telah bertambah matang, pemikiran kita lebih jitu dan berisi maka Pergerakan Pemuda dan Wanita harus bersedia untuk menangani cabaran yang lebih besar. Kita tidak sewajarnya bertikam lidah mengenai persoalan picisan dan remeh-temeh.

 Sebagai pemimpin masyarakat amnya, kita tidak boleh terlalu taksub dengan adicita politik demi pangkat dan kekuasaan peribadi semata-mata sehingga boleh melalaikan kita daripada tugas yang afdal iaitu membina generasi ampuh dan memupuk masyarakat madani.

 Obor idealisme semestinya terus menyala. Kita perlu bersungguh-sungguh memimpin dan membentuk golongan muda, gologan pelapis yang sempurna akhlak dan akal budinya untuk memikul tanggungjawab sebagai pewaris zaman. Justeru kita perlu melihat kembali kepada proses penjanaan kekuatan baru di kalangan mereka yakni penjituan tenaga dalaman.

 Filasuf dan pemikir sejarah Ibn Khaldun yang mengamati bangun dan jatuhnya kerajaan dan dinasti menegaskan bahawa kebangkitan sesuatu golongan pembina tamadun adalah diasaskan oleh suatu semangat yang beliau sebut sebagai asabiyah iaitu perpaduan dan semangat kekitaan. Dan yang mencernakan asabiyah itu adalah kekuatan dalaman, dan kekuatan dalaman bangsa kita sudah tentu datangnya dari nilai dan kebudayaan. Tetapi apabila kita bercakap mengenai kebudayaan, selalu ada kecenderungan untuk melihat ke belakang kepada tradisi, adat istiadat lama, sejarah dan akal bangsa pada zaman lampau. Terutama bagi yang berputus asa menghadapi kemelut dan krisis masa kini, mereka cuba kembali dengan penuh nostalgia pada kegemilangan zaman silam sebagai penawar duka lara sosial. Dengan tidak melupakan akar tradisi dan sejarah sebagai asas jati diri bangsa Malaysia, kita tidak pula boleh terlalu taksub kepada bayangan dan impian zaman lalu itu sekiranya kita hendak menjiwai cabaran-cabaran zaman pasca moden ini. Kita harus melakukan muhasabah (introspeksi) dan analisis diri untuk mengamati andaian-andaian fikiran dan amalan-amalan sosial di dalam budaya kita. Kita perlu menegaskan bahawa Umno adalah sebuah parti Melayu yang mempertahankan nilai hidup dan kebudayaan Melayu. Yang kita perjuangkan bukanlah fahaman yang sempit, jumud dan beku tetapi yang positif dan mansang kerana kebudayaan bukanlah sekadar warisan lama yang semuanya perlu dipertahankan. Kerana seperti kata pepatah adat bersendikan syarak dan syarak bersendirikan kitabullah. Pada akhirnya yang menentukan kesinambungan sesuatu kebudayaan adalah kesesuaiannya dengan prinsip-prinsip Ilahi iaitu keluhuran budi, ketinggian akal, keadilan dan kesaksamaan.

 Begitulah sikap kita terhadap tradisi atau warisan leluhur bangsa. Apabila kita menganjurkan membaca Hikayat Hang Tuah yang perlu menjadi ikutan ialah kesungguhan menimba ilmu dan menguasai bahasa-bahasa, baik dari lebai Keling, lebai Siam, lebai China atau lebai Jawa. Bukanlah maksud kita untuk menghidupkan kembali minda feudal dan sikap setia membuta tuli. Ceteklah pemikiran kita sekiranya yang mahu kita ikuti ialah kezaliman dan pembaziran: membina jambatan perak dan emas, melapah hati gajah, mengumpul hati nyamuk dan air mata perawan sekadar untuk mengikut nafsu Sultan mendapatkan Puteri Gunung Ledang.

 Saya ingin mengajak sekalian pemimpin Pemuda dan Wanita mewujudkan suatu sikap budaya baru, yakni dalam sikap dan tindakan kita, bukan hanya dipengaruhi oleh pertimbangan masa lalu, oleh tradisi dan sejarah, tetapi juga oleh konteks hari ini dan kesannya pada masa depan. Memang ada kebudayaan dan bangsa yang hanya dipengaruhi oleh tradisi dan keunggulan sejarah silam semata-mata, dan ada pula yang lebih banyak melihat kepada kesan masa depan tanpa mempedulikan ciri-ciri dan nilai-nilai tradisinya, asalkan kekuatan material dan politiknya terus terjamin.

 Kita sebaliknya harus melihat kelangsungan hidup bangsa dan negara kita dalam satu kesinambungan yang dinamik, yang membawa teras estetika dan etika positif zaman lalu untuk menjadi tunjang pergelutan hari ini, supaya kita tidak akan kehilangan wajah dan watak.

 Peranan bahasa sebagai alat komunikasi sangat penting dalam pembinaan sesuatu tamadun. Untuk memastikan kedaulatan Bahasa Malaysia itu terus mantap dan terjamin, kita akan lebih tegas melaksanakan peraturan yang memerlukan semua pusat pengajian tinggi swasta menjadikan Bahasa Malaysia mata pelajaran wajib di semua fakultinya. Tujuannya ialah supaya akan terbina kemampuan penggunaan bahasa itu pada peringkat tinggi. Tidak bermakna sama sekali Bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan seandainya golongan profesional di kalangan rakyat kita tidak fasih menggunakan Bahasa Malaysia di bidang mereka.

 Keinsafan budaya yang luas dan terbuka terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa- bahasa moden dunia ini akan memberikan kesan yang jauh dan mendalam pada zaman depan. Kita tidak menutup fikiran bangsa terhadap ilmu dan kita tidak juga mengkerdilkan Bahasa Malaysia dalam keghairahan kita untuk menjadi negara industri.

 Dalam rangka mewujudkan sikap baru, kebudayaan kita harus menanamkan pemikiran yang selalu bersifat rasional dan cerakin supaya sesuatu isu dapat dilihat dari pelbagai perspektif. Harus juga ada sikap positif yang segera ingin menyelesaikan masalah secara jitu. Dengan demikian kita dapat menghindarkan mentaliti bangsa yang mudah dirundung duka dan sesak fikiran.

 Biar apapun masalah yang khusus di kalangan belia, dalam mana-mana sejarahpun, angkatan pemudalah yang membawa perubahan positif seperti yang diungkapkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi:

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.
Inilah dia pengukur angkatan pemuda yang menggerakkan islah dan tajdid, reformasi dan pembaharuan, bukan pemuda yang jumud, lemah keyakinan dan idealisma, muflis akal dan ilmu, dibuai khayalan atau dicengkam hawa nafsu ataupun cuma didorongi kesibukan mengumpul kekayaan.

 Sebagai parti yang diasaskan pada perjuangan rakyat Umno perlu sentiasa jelas dengan matlamat perjuangan dan peranannya sebagai pelindungan kepentingan umat. Kita perlu menilai sejauh mana pelaksanaan dasar-dasar parti dan kerajaan mencapai matlamat keadilan, pengagihan dan kesejahteraan rakyat keseluruhan. Dasar kita bukannya untuk menimbun kekayaan kepada golongan tertentu mempamerkan keangkuhan dan membiarkan penyalahgunaan kuasa.

 Kita perlu memperjelaskan landasan perjuangan justeru kerana Umno hari ini bergerak pada zaman yang didorong oleh angin pembaharuan dan dipukul oleh taufan perubahan. Zaman beralih, musim bertukar. Kekuatan ekonomi dan perdagangan yang menjadi taring dominasi Barat di benua Asia dan Afrika mulai goyah dan tumpul. Sebaliknya ekonomi Asia terus bangun dan kian tangkas. Ia akan menjulang Asia sebagai kuasa baru dunia. Kenyataan itu menuntut pengisian, iaitu usaha gigih menjamin pertumbuhan mampan dan pengagihan saksama, menegak keadilan, menghormati kebebasan dan memperkasa budaya. Agenda itu sudah tentu mengatasi cita-cita awal perjuangan kemerdekaan dan kemajuan ekonomi.

 Gelombang sejagat pendemokrasian pula semakin kuat. Sesungguhnya kita boleh berbangga bahawa Umno merupakan badan siasah yang paling demokratik di antara parti-parti politik di negara-negara membangun. Bahkan ada kalanya lebih demokratik dari parti-parti politik di negara-negara industri. Demokrasi merupakan amalan yang mencabut feudalisma dari akar umbinya. Demokrasi memberikan hak kepada setiap ahli Umno secara bersama menentukan arah perjuangan. Justeru Umno tidak membezakan ahli berdasarkan keturunan, status sosial atau kekayaan. Setiap ahli bebas bersuara dan parti akan menerima sesuatu pandangan berdasarkan kebenaran dan kejituannya.

 Amalan demokrasi jugalah yang menjadikan Umno sentiasa bersama rakyat, mengetahui penderitaan dan harapan mereka. Inilah rahsia kekuatan kita. Umno bukan sekadar didukung oleh ahli-ahlinya. Yang menjadikan Umno kebal ialah kekuatannya terbit dari sokongan rakyat. Apabila Umno tidak lagi dapat memahami denyut nadi umat ketika itu pudarlah masa depan Umno. Justeru itu prinsip ulung perjuangan Umno adalah menjaga kepentingan rakyat terbanyak. Apa sahaja dasar yang dirumuskan oleh Umno dan perlaksanaannya oleh Kerajaan ia harus diukur dari kepentingan rakyat terbanyak. Begitu juga dengan usaha membuat pembaharuan, ia harus difahami oleh rakyat. Umno sudah tentu mendukung sebarang usaha untuk merangsang pertumbuhan ekonomi tetapi yang perlu kita pastikan ialah pertumbuhan perlulah menjamin keadilan sosial melalui pengagihan kekayaan yang saksama di kalangan rakyat. Umno sudah tentu akan terus mempertahankan reformasi ekonomi dan sosial. Akan tetapi perubahan dilaksanakan berdasarkan ketulusan dan kesaksamaan dalam pengagihan. Ia juga perlu boleh membantu mempertingkat tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

 Keberkesanan demokrasi pula bergantung kepada disiplin dan prinsip moral. Demokrasi adalah untuk menggembleng kekuatan untuk rakyat dan bukan untuk menimbulkan porak peranda yang menghakis kekuatan parti. Maknanya, demokrasi juga perlu menjadi benteng moral yang kuat dalam usaha kita menangani pelbagai bentuk rasuah politik. Semangat demokrasi sepertimana juga dalam prinsip syura ialah memberikan kepercayaan kepada keupayaaan dan kebijaksanaan rakyat berdasarkan prinsip keluhuran budi dan dalam lingkungan perlembagaan.

 Oleh itu sementara kita berpegang kepada prinsip demokrasi kita juga perlu mengingat diri kita supaya jangan terlalu gelojoh dalam mengejar pangkat, darjat dan kedudukan terutama dalam parti. Demokrasi menjadi unggul kerana ia memberikan peluang adil kepada semua ahli untuk berbakti. Sebaliknya demokrasi akan cacat dan tempang jika prinsipnya digunakan untuk jatuh menjatuhkan, menabur fitnah dan menyebarkan dakyah-dakyah jahat bagi memecahbelahkan kepimpinan parti demi kepentingan politik peribadi.

 Sebagai pemimpin kita perlu mengasuh dan mendidik golongan muda, lelaki dan wanita, agar menghayati prinsip keluhuran budi dan nilai murni budaya timur yang sentiasa tahu menilai dan menghormati status golongan tua. Meskipun peredaran zaman dan taufan perubahan menuntut agar kita sentiasa peka dan bergerak mengikut arus dan dinamika semasa, janganlah sampai golongan muda menjadi Si Tanggang atau Si Malim Kundang yang dicela sejarah kerana derhaka kepada ibu bapa dan keperibadian bangsa. Dalam semua hal kita perlu menjaga tatasusila murni bangsa timur yang beradab. Sementara golongan muda perlu menjaga tatasusila dan perilaku terhadap gologan tua selaras dengan ketinggian peradaban bangsa, kita yang lebih dewasa perlulah membimbing dengan kasih sayang anak-anak muda yang pintar dan berkebolehan. Janganlah tragedi fitnah terhadap Hang Nadim seperti dalam kisah Singapura dilanggar todak berulang semula. Umno perlu menggabungkan kekuatan generasi tua dan muda dan bukannya melagakan antara keduanya.

 Umno tidak akan berjaya dan mendapat tempat di hati rakyat, dari desa ke bandar tanpa sumbangan Pergerakan Wanita. Wanita telah membawa Umno sebagai sebahagian dari kehidupan keluarga masyarakat kita. Wanita Malaysia telah mencapai satu taraf yang tinggi dalam semua lapangan: politik, pendidikan, ekonomi dan budaya. Di kalangan negara-negara Islam dan negara-negara membangun kedudukan wanita Melayu adalah di antara yang paling progresif dan ke hadapan. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa perjuangan Wanita Umno. Sebenarnya Wanita Umno sebagai pengasas perjuangan Wanita di Malaysia telah mempelopori satu aliran perjuangan wanita yang mempunyai sifat yang tersendiri, iaitu perjuangan yang berlandaskan prinsip keadilan, kemuliaan darjat insan dan peri pentingnya institusi keluarga; bersikap terbuka terhadap pembaharuan positif ketika yang sama mempertahankan nilai-nilai agama, kebudayaan Melayu dan masyarakat Asia. Berdasarkan rekod itu kita yakin Pergerakan Wanita mempunyai peranan yang amat besar untuk melahirkan masyarakat baru Malaysia yang mengimbangi antara dinamisme dan sifat penyayang.

 Perjuangan Umno sebenarnya bernafaskan roh Islam. Kepercayaan kepada Islam mendorong kita untuk sentiasa prihatin kepada kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat dan masyarakat. Justeru itu kita memberi tekanan kepada usaha meningkatkan taraf kehidupan melalui pembangunan ekonomi, membasmi kefakiran, mengagihkan kekayaan negara secara adil dan saksama, mengatur ketertiban pasaran supaya tidak ada penipuan dan penyelewengan.

 Jika Umno ingin terus unggul di abad ke-21 dan alaf yang baru maka perjuangan kita perlu menampilkan sifat keilmuan:

Sesungguhnya Allah mengangkat orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.
Hikmah bangsa juga mengingatkan jika ilmu dan akal dihalai balai, itulah orang yang lalai. Jangan bertindak dengan tidak berfikir seperti ilmu katak, serta teringat serta terlompat. Sebaliknya Umno perlu merangsang gerakan akliah yang baru sebagaimana Hamzah Fansuri dan Nurudin al-Raniri, Raja Ali Haji dan Za'ba mencetuskan revolusi pemikiran untuk zaman masing-masing. Revolusi akliah juga menjadi prasyarat kepada pembentukan masyarakat madani iaitu masyarakat yang diasaskan pada keadilan dan ihsan dan perjuangan membanteras kezaliman dan kepura-puraan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

 Akhirul kalam, saya ucapkan selamat bersidang kepada saudara-saudari sekalian. Sesuai dengan tradisi demokrasi Umno kita bebas berbicara. Tetapi gunakanlah kebijaksanaan, jangan sampai menjual bedil kepada lawan. Prinsip kita dalam bermusyawarah telah digariskan oleh leluhur yang bijaksana:

Pertama kata Allah
Kedua kata Rasul
Ketiga kata Pesaka
Keempat kata Muafakat

Sekiranya kita bersungguh-sungguh berjihad dengan keimanan dan keyakinan, ilmu dan amal, kebijaksanaan dan musyawarah nescaya Allah SWT akan memberikan kita petunjuk.