a.r.t.i.c.l.e.s







Mengenang P. Ramlee

DI MANA KAN KUCARI GANTI, SERUPA DENGANMU... TAK SANGGUP KU BERPISAH DAN BERHATI PATAH HIDUP GELISAH...

Masihkah anda ingat lirik lagu yang tertulis di atas? Sebenarnya lagu berkenaan sudah dicipta dan dinyanyikan kira-kira 30 tahun lalu.

Namun setiap kali lagu itu berkumandang dan adakalanya Siti menyanyikannya sendiri, ia pasti akan membuat kita tersentuh.

Hari ini, tanpa kita sedar, sudah hampir 25 tahun pemergian seniman agung yang kita kagumi iaitu Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Begitu pun, barangkali kita sedar bahawa beliau sebenarnya masih hidup dalam jiwa setiap insan hari ini.

Dan... dalam kita mengingati tarikh pemergiannya pada setiap 29 Mei, apa salahnya kita turut memperingati hari kelahiran Allahyarham iaitu hari ini, 22 Mac.

Jika Allahyarham masih hidup hari ini, usia beliau sudah menjangkau 70 tahun.

Dalam usia sebegini, tentunya beliau akan berbangga melihat hasil karyanya masih diminati, lagu-lagunya menjadi siulan ramai dan lakonannya menjadi ilham kepada seniman hari ini.

Apatah lagi dalam perkembangan arus muzik hari ini, kehadiran begitu ramai penyanyi dan pelakon baru menjadikan Allahyarham sebagai idola masing-masing.

Barangkali Allahyarham turut berbangga dengan pencapaian golongan artis tanahair hari ini...

Sebagai salah seorang daripada berjuta-juta peminat Allahyarham, tentunya pada hari ini Siti amat terasa kehilangan sebutir bintang yang menghiasi persada seni tempatan.

Sebenarnya terlalu banyak kupasan yang cuba disampaikan oleh Allahyarham kepada kita melalui karya-karyanya. Jasa dan peninggalannya dalam dunia seni akan terus dikenang sehingga ke hari ini. Allahyarham masih tiada tolok bandingnya.

Tahun lalu, Siti berpeluang muncul dalam Konsert Getaran Jiwa II anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal... Siti begitu terharu dengan undangan berkenaan.

Pada konsert berkenaan, Siti berpeluang menyampaikan beberapa rangkaian lagu Allahyarham seperti Jeritan Batinku, Putus Sudah Kasih Sayang, Jangan Tinggal Daku, Di Manakan Ku Cari Ganti dan juga Alunan Biola.

Konsert berkenaan merupakan salah satu sambutan, acara atau tanda memperingati Allahyarham yang dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta.

Sebenarnya terlalu banyak acara atau program yang diaturkan sebagai memperingati Allahyarham termasuklah mengadakan peraduan menulis esei, pertandingan tiru gaya P Ramlee, pertandingan menyanyi dan banyak lagi.

Hari ini, jika tidak ada aral melintang, Siti akan berada di Matic, Jalan Ampang bagi memeriahkan satu acara sambutan hari kelahiran Allahyarham P ramlee bersama-sama beberapa artis lain.

Esok, Siti akan muncul sebagai artis undangan dalam program Lihatlah... Pandanglah... anjuran Arkib Negara yang bertempat di Memorial Tunku Abdul Rahman, Jalan Datuk Onn.

Program ini juga bersempena dengan tarikh kelahiran Allahyarham.

Siti berharap agar program seumpama ini akan mendapat sambutan khususnya daripada peminat Allahyarham sendiri. Insya-Allah, kita akan bertemu di sana nanti.

Sekian dulu catatan Siti kali ini.

Semoga bertemu lagi pada lain masa.

Wassalam.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|