ramadan : nuzul quran

SATU perkara penting yang perlu menjadi peringatan kepada kita pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini ialah peristiwa nuzul al-Quran (diturunkan al-Quran) yang mana al-Quran itu menjadi mukjizat kepada Rasulullah s.a.w. yang kekal hingga hari kiamat.

Al-Quran bukan sahaja satu mukjizat dari segi susunan ayat-ayat yang sebegitu indah dan menakjubkan sehingga tidak dapat disanggah dan disahut cabaran oleh Allah SWT supaya dibawa satu surah yang sama dengannya oleh para bijak pandai dari seluruh dunia di sepanjang zaman sehingga hari kiamat, tetapi di sana juga ada lagi mukjizat al-Quran al-Karim iaitu yang berupa pengajaran dan petunjuk kepada manusia sebagaimana firman Allah SWT (Surah Al-Isra' ayat: 9) yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling betul.Al-Quran merupakan petunjuk yang paling betul supaya setiap urusan hidup umat Islam yang dilaksanakan berpandukan kepada al-Quran dengan cara beramal dengan seluruh ajarannya di dalam diri perseorangan, keluarga, masyarakat dan negara".

Allah SWT telah membuktikan kemukjizatan al-Quran yang melemahkan akal fikiran manusia apabila telah dilaksanakan seluruh pengajarannya oleh Rasullullah s.a.w. di dalam masyarakat Arab jahiliyyah dan buta huruf serta berhati keras lebih keras daripada batu bukit di padang pasir.

Masyarakat Arab yang sebegitu rupa telah berjaya dibentuk oleh al-Quran menjadi umat yang menjadi contoh teladan kepada umat manusia yang lain sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu merupakan sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk umat manusia, kamu menyuruh kepada perkara kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, serta kamu beriman kepada Allah".(Surah Ali-Imran ayat: 110)

Setiap orang para sahabat Rasulullah s.a.w. menerima al-Quran al-Karim bukan sahaja mulut-mulut mereka membaca dan telinga-telinga mereka mendengar bacaannya malah hati-hati mereka beriman kepada al-Quran dan menerima supaya setiap ayat diterima dan diamalkan di dalam hidup mereka.

Oleh itu Rasulullah s.a.w. berjaya membina negara Islam pertama yang masyhur dengan keadilan dan kebenaran daripada Allah SWT yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.Allah SWT memberi kemuliaan kepada umat Islam selagi mereka berpegang dengan al-Quran dengan mengikut cara yang dihuraikan oleh sunnah Rasulullah s.a.w. dan para ulama yang menerima ilmu al-Quran daripada Rasullullah s.a.w. dengan penuh amanah.

Kita mendapati umat Islam kini menerima kehinaan apabila merka meninggalkan al-Quran.

Tambahan pula sebahagian besar pemimpin-pemimpin mereka hingga hari ini masih degil tidak mahu menerima hukum-hukum al-Quran walaupun telah diajar oleh Allah SWT dengan berbagai-bagai masalah yang menimpa mereka seperti keruntuhan akhlak, politk dan ekonomi.

Betapa degilnya manusia yang tidak mahu menerima al-Quran apabila kita mengetahui bahawa semua makhluk mengaku serta menerima kehebatan al-Quran.

Allah SWT menceritakannya di dalam al-Quran al-Karim surah (Al-Hasyr ayat: 21) yang bermaksud: "Jika sekiranya kami turunkan al-Quran kepada bukit-bukau, nescaya engkau akan dapatinya gerun serta pecah kerana takutkan Allah".

Allah SWT juga menceritakan bagaimana makhluk jin juga menerima al-Quran yang dibacakan kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. di dalam firman-Nya yang bermaksud : "Ingatlah (wahai Muhammad) ketika Kami palingkan kepada kamu sekumpulan dari jin mendengar al-Quran. Apabila mereka datang mereka berkata diamlah kamu. Setelah selesai dibacakan al-Quran mereka berpaling menuju kepada kaum mereka untuk memberi peringatan. Mereka berkata, "Wahai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengar satu kitab (al-Quran) yang diturunkan selepas Nabi Musa yang membenarkan (kitab) yang berada di hadapannya (taurah) dan memimpin manusia kepada kebenaran dan jalan yang lurus. "Wahai kaum kami sahutlah penyeru Allah dan berimanlah kepada-Nya nescaya Ia mengampuni dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab (neraka) yang pedih." (Surah Al-Ahqaf ayat 29-31)

Mari kita menyeru kepada orang yang yakin kepada al-Quran supaya menerima al-Quran dan kita menyeru kepada orang-orang yang degil supaya berhenti dari kedegilan mereka.

Tidak guna kedegilan mereka bahkan hanyalah akan membawa penderitaan kepada diri mereka sendiri.Janganlah mereka sangka bahawa golongan yang mengajak kepada al-Quran sebagai golongan yang mementingkan isi perut.

Ingatlah mereka yang berjuang untuk mendapat kepentingan dunia, walaupun memperolehi dunia sekalipun tetapi akan membakar diri mereka sendiri di dunia dan di akhirat.

Hanya golongan yang mengajak kepada al-Quran sahaja golongan yang ikhlas kepada Allah SWT. Mereka tidak mendapat apa-apa upah daripada manusia sebagaimana sikap yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul a.s.

Marilah kita kembali kepada al-Quran sebagaimana yang diseru oleh Allah SWT kepada Rasulullah s.a.w. melalui surah An-Nisa' ayat: 105 yang bermaksud:"Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada engkau kitab (al-Quran) dengan kebenaran supaya engkau berhukum di kalangan manusia dan apa yang telah ditunjukkan oleh Allah, dan janganlah kamu menjadi penolong kepada orang-orang yang khianat."