Kemerosotan beragama

KOTA London lengang pada Hari Krismas. Perkhidmatan bas dan tren bawah tanah bercuti sehari. Juga boleh dibilang orang yang mundar-mandir di Oxford Street yang beberapa hari sebelum itu penuh sesak dengan mereka yang berbelanja untuk Krismas.

Sama sahaja seperti Kuala Lumpur pada Aidilfitri yang akan tiba kira-kira tiga minggu lagi. Barangkali mulai minggu depan Jalan Tuanku Abdul Rahman juga akan sibuk seperti Oxford Street, walaupun semua orang disuruh berjimat cermat kerana kemelesetan ekonomi kini.

Bukan mudah untuk mengikis sifat boros yang sudah sebati dengan jiwa rakyat Malaysia. Belanja pada bulan puasa lazimnya meningkat berbanding bukan bulan puasa. Tidak banyak yang mahu menimba pengajaran daripada ibadat puasa. Mudah-mudahan kali ini kita insaf. Bukan untuk setahun atau dua tahun, tetapi untuk selama-lamanya.

Di London, penduduknya juga berbelanja mewah. Ini musim jualan murah. Apatah lagi kesan kemelesetan ekonomi Asia belum berjangkit ke Eropah, tetapi diramalkan lambat-laun akan tiba juga sebagai kesan urusan perdagangan dan kewangan antarabangsa yang saling kait-mengait.

Hari Krismas adalah hari untuk bersuka ria. "Merry Christmas" adalah ucap selamat bergembira. Santa Claus dan pokok krismas yang tiada kena mengena dengan asal-usul perayaan Krismas terus kekal sebagai nilai tradisi yang menyemarakkan semangat perayaan. Krismas disambut sebagai hari kelahiran Nabi Isa a.s. penerima wahyu kitab Injil.

Tetapi sudah ada yang menyoal dalam akhbar apakah Jesus (Nabi Isa) benar-benar lahir pada tarikh perayaan Krismas? Juga ada yang berani bertanya apakah benar-benar wujud manusia yang bernama Jesus yang dilahirkan oleh seorang gadis bernama Mary (Mariam) tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki.

Seorang wartawan pelancongan menulis dalam majalah sisipan The Sunday Times tentang pengalamannya mengunjungi sebuah biara di Jerusalem (Baitulmaqdis) dua minggu sebelum Krismas.

 Biara itu dikatakan adalah tempat Nabi Isa ketika masih bayi dikunjungi oleh tiga lelaki yang mengenali tanda-tanda kenabiannya. Penulis rencana yang dibesarkan dalam agama Kristian itu berpeluang mengunjungi biara itu atas tajaan sebuah syarikat pelancongan. Walaupun biara itu merupakan tempat suci bagi orang Kristian, penulis itu membuat kesimpulan bahawa baginya ia hanyalah satu destinasi pelancongan.

Di Malaysia, tiada siapa yang menganggap Mekah dan Madinah sebagai destinasi pelacongan. Agama bukan gelanggang momokan. Kita tidak boleh sinis, apatah lagi memomokkan agama. Di Britain, agama dimomokkan kerana pegangan agama semakin hakis.

Satu rencana dalam akhbar Financial Times pada 20 Disember lalu memaparkan satu pandangan yang menarik daripada seorang penulis berusia 50-an, Joe Rogaly, tentang sebab-sebab pegangan agama di Britain terhakis pada hari ini. "Di Britain, keadaan sungguh mendukacitakan. Dalam satu kaji selidik bagi Perancangan Sosial dan Kemasyarakatan yang terbaru, 43 peratus mereka yang ditanya menjawab bahawa mereka kini tidak menganut sebarang agama. Kajian pada tahun 1983 mendapati hanya 31 peratus yang menjawab begitu.

"Keadaan di lain-lain negara Eropah adalah sama, kecuali di Itali. Kita tahu kenapa. Nilai-nilai ibadat sudah terhakis. Ini zaman pemujaan kejayaan individu yang bertunjangkan sains dan kapitalisme. Semangat kekeluargaan tiada lagi. Manusia tidak lagi hidup berkeluarga besar serumpun.

"Nilai-nilai kebajikan semakin terhakis. Kejayaan peribadi adalah matlamat hidup kita. Keusahawanan, daya saing, daya berdikari adalah slogan kehidupan. Amal jariah tiada lagi. Sifat mementingkan diri sendiri sungguh ketara. Lanun-lanun berkeliaran.

"Sains mengajar kita bahawa biologi keturunan adalah faktor penting dalam membentuk masyarakat. Kita menjadi boneka kepada DNA, dihubungkan hanya oleh komunikasi teknologi digital dan talian elektronik. Atas nama yang gagah akan berjaya, kita mewahkan mereka yang semakin gemuk."

Begitulah antara lain pandangan Rogaly dalam kata-kata yang mungkin kabur untuk difahami oleh sesetengah orang. Sebenarnya pandangan yang sama juga sudah lama dilontarkan daripada mimbar-mimbar khutbah Jumaat di Malaysia, malah dalam bahasa yang lebih mudah. Cuma banyak orang kini sudah jemu mendengar khutbah yang saban minggu asyik memperingatkan manusia tentang apa yang boleh menyebabkan mereka dilontar ke neraka atau ditempatkan di syurga.

"Counter productive" kononnya. Atas nama 'modenisme' dan 'dinamisme', mereka mahukan khutbah yang boleh mendorongkan kemewahan duniawi kepada semua orang. Rogaly menyudahkan rencananya dengan kesimpulan begini: "Jangan salah faham terhadap saya. Saya bukan penganut fahaman Karl Marx (guru komunisme). Dia bukanlah penegak peranan agama.

"Ekonomi pasaran bebas adalah cara terburuk yang telah kita gunakan, cuma baik sedikit daripada cara pilihan sebelum ini (komunisme). Jika dirangkumkan dengan kemahiran sains pada hari ini (kejuruteraan genetik?), ia boleh memusnahkan kepercayaan kepada kuasa ghaib yang membezakan antara manusia dan haiwan.

 "Sebab itulah kita perlu menyelamatkan agama. Tanpa agama manusia hanyalah android (robot berupa manusia)." Rogaly melahirkan pengamatannya ini sebagai seorang penganut agama Kristian, tetapi tidaklah dia mempertahankan Kristian sebagai agama yang wajar dianuti oleh semua orang.

Beliau hanya melahirkan kebimbangan terhadap kehakisan pegangan agama di Britain disebabkan oleh arus pemburuan material.

Sebaliknya, Persatuan Penyelidikan Kristian melaporkan hasil kaji selidik yang menunjukkan kehakisan pegangan agama lebih teruk berlaku di kalangan penganut Kristian. Kajian itu yang dilaporkan oleh akhbar The Sunday Times pada awal tahun ini mengunjurkan bahawa bilangan orang Islam yang mengunjungi masjid di Britain akan lebih ramai daripada orang Kristian yang mengunjungi gereja-gereja Church of England pada tahun 2002.

Menurut kajian itu, bilangan pengunjung tetap gereja Church of England pada tahun 1995 ialah 854,000 orang berbanding 536,000 pengunjung masjid. Dengan berasaskan kadar kemerosotan pengunjung gereja, laporan kajian itu menjangka jumlah pengunjung masjid akan melebihi pengunjung gereja sebanyak 4,000 orang pada tahun 2002. Perbandingan ini amat menarik kerana bilangan orang Islam di Britain kini adalah kira-kira 3 juta daripada kira-kira 59 juta jumlah penduduknya.

Ada sekolah rendah kerajaan di London kini yang kira-kira 60 peratus muridnya beragama Islam dan hanya menyediakan makanan yang halal di kantin. Pertambahan orang Islam di Britain mungkin dipandang sebagai satu fenomena yang tidak disenangi, tetapi turut melahirkan kesedaran baru tentang perlunya kehidupan yang harmoni antara masyarakat pelbagai agama.

 Akhbar Financial Times pada 24 Disember lalu, menyiarkan rencana pengarang berjudul The faith of Abraham (Kepercayaan Ibrahim). Rencana itu disiarkan sempena Krismas kerana semua akhbar di Britain tidak diterbitkan pada hari perayaan itu keesokannya. Rencana itu menganjurkan supaya para penganut agama Kristian dan Islam berganding bahu untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan sejagat dengan membuang perasaan saling membenci.

Akhbar itu menyebut bahawa kedua-dua agama berkongsi akar yang sama daripada agama (Nabi) Ibrahim a.s. dan mengakui bahawa permusuhan lahir daripada perbezaan akidah. Bagaimanapun, ia menekankan bahawa "Islam dan Kristian adalah agama akhlak, dalam mana kepercayaan mestilah dizahirkan dengan akhlak yang baik." Menurut akhbar itu, permusuhan selama dua abad telah menyebabkan golongan minoriti Kristian di negara- negara Islam dibenci.

Sebaliknya, melalui penghijrahan kini penduduk Islam semakin bertambah di negara-negara Barat. Kata akhbar itu, mereka ini juga dibenci oleh orang-orang Kristian di Barat. Di kalangan orang-orang Islam di Eropah, kebimbangan terhadap mereka ini dilabel sebagai Islamophobia. Tetapi ia bukanlah satu perkara baru, malah sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad s.a.w lebih 1,400 tahun lalu. Apa yang baru kini ialah bertambahnya golongan yang tidak beragama di Eropah. Mereka ini turut merayakan Krismas sebagai satu budaya tradisi warisan, bukan lagi perayaan keagamaan.

Di Malaysia, adakah juga semakin ramai yang menyambut Aidilfitri sekadar perayaan warisan? Semoga pada Ramadan kali ini kita manfaatkannya untuk menilai dan memperkukuh tahap keimanan kita. - Utusan.

Oleh: HAMZAH SIDEK