Pendidikan: 2 akta baru dikuat kuasa 1 Januari

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Dua akta baru, iaitu Akta Pendidikan 1996 dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 telahpun dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, turut dikuatkuasakan pada tarikh yang sama ialah perluasan pemakaian Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 berkaitan dengan disiplin pelajar.

''Dengan terlaksananya kesemua akta berkenaan membolehkan kita menjalankan transformasi yang menyeluruh kepada sistem pendidikan negara selaras dengan wawasan negara dan tuntutan globalisasi dan zaman maklumat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan peringkat kementerian di sini, hari ini.

Najib menjelaskan, pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 membolehkan matlamat pendidikan diperluaskan dan disesuaikan dengan keperluan wawasan dan tuntutan-tuntutan tersebut.

Katanya, ini boleh dilaksanakan dengan memperkukuhkan lagi sistem pendidikan kebangsaan seperti yang diasaskan mengikut perakuan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960.

Najib berkata, pelaksanaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 pula selaras dengan hasrat hendak menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan.

Menurutnya, akta itu membolehkan negara menubuhkan universiti swasta, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara di samping membolehkan negara menaikkan taraf kolej kepada universiti.

''Melalui akta ini kita boleh menarik lebih banyak pelajar asing belajar di negara ini, di samping itu kita juga dalam proses mengurangkan penghantaran pelajar ke luar negara,'' katanya.

Mengenai Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976, beliau berkata, ia bertujuan mengawal tatatertib pelajar di institusi pendidikan selain daripada universiti di mana dulunya ia digubal untuk para pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) dan politeknik.

''Pindaan telah dibuat kepada tiga jadual dalam akta berkenaan supaya ia dapat diguna pakai di semua politeknik dan maktab perguruan,'' katanya.

Najib juga berkata, Peraturan-Peraturan (Pengakreditan Sijil, Diploma dan Ijazah) 1997 yang dibuat di bawah Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 telah mulai berkuat kuasa pada 1 Januari 1998.

''Dengan penguatkuasaan peraturan tersebut maka institusi pendidikan tinggi swasta boleh membuat permohonan untuk diakreditkan sijil, diploma atau ijazah mereka,'' ujarnya.

Beliau percaya penguatkuasaan akta dan peraturan tersebut penting bagi menyediakan negara untuk melangkah ke alaf baru dan menuju ke arah pencapaian wawasan negara.

''Pelaksanaan akta dan peraturan ini tidak memerlukan tambahan daripada segi peruntukan kewangan, malah tidak membebankan kerajaan dalam keadaan ekonomi sekarang,'' kata beliau.