Berita Harian Online

Berhati-hati membudayakan IT

MEMBUDAYAKAN IT mungkin bukan cara yang terbaik ke arah Wawasan 2020 jika kita sendiri terkapai-kapai dalam budaya sendiri terutama apabila kita seolah-olah terlupa yang IT adalah alat atau cara dan bukan cara hidup. Benarkah? Pengurus IT Mega TV, MOHD FUDZAIL MOHD NOR memberikan pendapatnya.

PERUBAHAN adalah sebahagian daripada evolusi kehidupan. Perubahan adalah perlu dan kadang-kadang kemestian untuk memberikan kehidupan lebih baik. Hari ini, antara perubahan paling menonjol ialah kedatangan IT (teknologi maklumat) sebagai satu agenda besar negara dan dunia untuk alaf mendatang. Kempen membudayakan IT dalam pelbagai bentuk dan cara berjalan ke serata negara dan projek MSC menjadi pemangkin ke arah Wawasan 2020.

Memang kanak-kanak hari ini adalah permulaan sebenar ke arah revolusi maklumat, permulaan sifar ke dunia digital. Mereka adalah aset utama kita untuk membina, memahami dan meneruskan perjuangan ke arah wawasan yang kita perakui serta rancang, terutama dalam menghadapi cabaran dunia digital yang sedang dalam proses pembinaan.

Dunia digital yang mungkin dikembangkan melalui sekolah bestari bukan saja akan mengubah idea kanak-kanak mengenai budaya, literasi dan kerjaya, malah menghubungkan mereka sesama mereka dalam dimensi baru dan seterusnya mengubah wajah senario politik seluruhnya.

Kanak-kanak akan menjadi semakin menonjol dalam dunia digital dan bakal menguasai ruang dan bentuk baru budaya yang mungkin tidak pernah terfikir oleh ibu bapa mereka. Mereka adalah warga peralihan baru, peneroka negara dan dunia digital.

Kanak-kanak memang ejen perubahan yang utama dalam sejarah. Oleh kerana itu, pendidikan yang sentiasa menjadi agenda penting negara dan perubahan dalam sistem pendidikan akan mempengaruhi banyak perkara dalam pembangunan negara. Kanak-kanak akan sentiasa menjadi ejen perubahan mengikut pembuat dasar atau senario politik yang kadang-kadang lebih memikirkan kepentingan survival diri, puak atau imej.

Malah, sesuatu yang berbentuk jangka pendek akan menimbulkan kesan mendalam pada jangka waktu yang panjang. Apa yang baik menurut pemimpin hari ini tidak semestinya begitu apabila ada pemimpin baru menerajui, akhirnya kita tidak juga ke mana dalam banyak aspek kemajuan yang dilaung-laungkan dan dicanangkan. Lihatlah sekeliling kita terutama orang Melayu yang terus ketinggalan dalam banyak bidang.

Sekolah bestari misalnya bukanlah jawapan utama dalam kemelut pendidikan, tidak juga cara terbaik mengatasi gejala sosial yang melanda remaja kita hari ini. Begitupun, perubahan adalah perlu dan sekolah bestari kelihatan sebagai 'alat' yang boleh memberikan kita ruang baru dalam pendidikan negara. Sebagai alat seperti yang pernah dijanjikan oleh kedatangan telefon, radio, TV, video dan komputer sebagai alat pembelajaran mungkin membawa kesan negatif yang sama banyak dengan kesan positif kalau tidak dilaksanakan dengan betul dan berhemah.

Komputer adalah mesin seperti peralatan lain dan bukanlah dunia sebenar yang menjadikan ia lebih penting daripada yang lain. Ia adalah dunia maya dan sekadar memproses data serta tidak boleh berfikir, merasa dan terlalu jauh walau sekadar bayangan primitif dari minda manusia. Komputer dikawal oleh manusia dan bukan sebaliknya.

Melalui komputer dan dunia digital, kanak-kanak akan perlahan-perlahan keluar dari kawalan nilai semasa (sama ada baik atau tidak) dan bergerak cepat melalui Internet. Bersama komunikasi digital yang bergerak secepat kilat menembusi segala sempadan budaya, agama, nilai dan pemikiran tempatan, malah tembok keras penapisan kerajaan, maka dengan sendirinya mereka sudah melepasi ruang yang selama ini menjadi rantai kebebasan ibu bapa mereka ketika dalam usia sebaya.

Dengan Internet, alam siber memungkinkan mereka melangkaui alam komunikasi tanpa sempadan. Menerima maklumat dari sentuhan jari dan membuka minda kepada segala yang boleh dijangkaui siber. IT sudah dan terus mengubah sedikit sebanyak kehidupan kita, terutama apabila sudah dibudayakan oleh IT.

Selama ini kanak-kanak akan sentiasa berada di bawah bayangan ibu bapa mereka dan dikawal oleh sistem pendidikan, maka ia tidaklah benar lagi di dunia digital. Mereka bukan lagi kita pada zaman kanak-kanak yang sentiasa dilingkungi nilai budaya tempatan, apa yang baik dan tidak baik mengikut pandangan ibu bapa dan guru. Sesungguhnya kanak-kanak tidak akan sama lagi seperti kita sebagai ibu bapa pada zaman revolusi teknologi maklumat yang turut sama berubah.

Kita tidak boleh menolak perubahan tetapi kita perlu menjangka, mengkaji dan seterusnya mengawal perubahan kerana kita masih dalam peringkat awal perubahan. Perubahan tanpa kawalan akan lebih banyak membawa kerosakan dan kita tidak boleh membiarkan generasi mendatang kehilangan arah disebabkan kita sama tenggelam dalam arus perubahan semasa.

Idea mengenai kemungkinan anak-anak kita semakin jauh daripada kawalan penuh ibu bapa adalah pil pahit untuk ditelan dalam menghadapi dunia digital. Begitupun, dalam dunia yang semakin berdaya saing iaitu taraf pendidikan yang memungkinkan kedua ibu bapa lebih banyak berada di luar rumah atas nama kerjaya, kita melihat banyak gejala sosial di kalangan remaja. Ia adalah kesan sistem pendidikan dan peralihan prioriti.

Dengan memindahkan pendidikan (sekolah bestari) berpusatkan kepada komputer atau mendemokrasikan pendidikan, maka tidak dapat tidak, kanak-kanak mempunyai lebih banyak ruang dan hak untuk mengembangkan nilai sejagat dalam diri mereka. Nilai yang bersumberkan pendapat majoriti semasa sama ada baik atau tidak.

Misalnya, apabila majoriti menjadikan pengguguran sebagai halal atau perkahwinan sesama jenis adalah sah, maka nilai yang dikembangkan melalui dunia Internet dan digital ini akan terus saja berpindah ke sekolah bestari, kalau tidak ke rumah kita ke minda kanak-kanak yang lebih cepat terpengaruh, terutama tanpa asas agama yang kuat.

Salah faham mengenai istilah atau takrif sekolah bestari apabila kebanyakan ibu bapa menganggap komputer sebagai pembelajaran utama, bukan kurikulum dan pengisian daripada perisiannya sendiri menunjukkan alamat yang menakutkan. Ibu bapa tergesa-gesa mengalihkan perhatian kepada komputer apabila hampir semua pihak masih belum bersedia dengan pengisian, seperti kita masih belum banyak perisian tempatan yang boleh mengisi keperluan pendidikan.

Suara kritik mengenai penggunaan komputer di sekolah di Amerika Syarikat yang tersasar daripada matlamat seharusnya menjadi panduan kita. Perubahan secara mendadak, seperti banyak projek mega yang tidak perlu dibuat tergesa-gesa akan menimbulkan banyak kesan sampingan pada negara seluruhnya. Kanak-kanak adalah aset masa depan kita yang lebih penting daripada dasar atau senario politik semasa. Maka seharusnya pelaksanaan sekolah bestari lebih telus dan dibahaskan oleh rakyat sebelum kepincangan akan menjadi lebih terserlah daripada kegemilangan yang tidak seberapa.

Apakah yang boleh kita sebagai ibu bapa lakukan apabila demokrasi pendidikan tidak lagi berasaskan pembinaan insan yang syumul dengan kekukuhan agama sebagai akar kepada semua pendidikan dan perubahan.

Membudayakan IT mungkin bukan cara yang terbaik ke arah Wawasan 2020 jika kita sendiri terkapai-kapai dalam budaya sendiri terutama apabila kita seolah-olah terlupa yang IT adalah alat atau cara dan bukan cara hidup.

Sebagai alat seperti telefon, radio, TV, faksimili, TV kabel/satelit, telefon selular atau fesyen pakaian, kemeriahannya bermusim. Kalau hari ini adalah hari untuk komputer, maka kita tidak pasti, dengan cepatnya perkembangan teknologi, apakah alat terkini yang bakal mengisi kehidupan kita. Maka perlukah kita menukar 'budaya'?

Maka benarlah hadis Nabi yang mengatakan umat Islam pada akhir zaman tidak lebih daripada buih-buih di pantai. Buih-buih yang bukan saja mudah untuk pecah malah zahirnya semakin juga kotor oleh pencemaran alam. Tepuk dada, tanya selera.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]