Mengenali kejayaan sebuah negara

ORANG tua-tua ada berkata: ''Untuk mengenali seseorang, tanya pada musuh-musuhnya.'' Mungkin kata-kata hikmah itu boleh dipanjangkan dengan berkata: ''Untuk mengenali kejayaan sesebuah negara, tunggu sahaja bila ia dilanda krisis.'' Sejak Thailand, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan dilanda krisis yang merudum ekonomi negara masing-masing pelbagai ''kepincangan'' muncul daripada cerita-cerita kejayaan ekonomi ''harimau'' Asia ini.

Di Malaysia kita diberitahu betapa besarnya pergantungan kita terhadap barangan import. Kerana hidup senang, kita ambil jalan mudah dengan mengimport hampir segala-galanya. Kita juga diberitahu bagaimana peruntukan pinjaman diberikan kepada projek-projek yang tidak produktif. Kita juga diberitahu bagaimana institusi kewangan negara memberi kredit secara melebihi kuota kepada industri motor. Itu semua mungkin hanya sebahagian kecil daripada pelbagai ''masalah'' yang tersorok di dalam ekonomi negara.

Thailand baru-baru ini bertindak untuk membanteras gejala menentukan harga (price-fixing) di dalam kontrak awam sebagai sebahagian daripada usaha meluas memulihkan ekonomi dengan membersihkan politik dan bisnes. Kabinet Thailand dilaporkan bersetuju untuk merangka undang-undang yang membolehkan tindakan jenayah dikenakan ke atas mana-mana pegawai kerajaan dan ahli perniagaan yang bersekongkol menetapkan harga tawaran bagi sesebuah projek awam.

Sehubungan itu, kabinet Perdana Menteri Thailand, Chuan Leekpai bersetuju untuk mengumumkan harga-harga median (pertengahan) bagi projek-projek kerajaan sebelum membukanya untuk tender.

 Cara ini dapat mengelakkan usaha-usaha oleh sesetengah ahli perniagaan yang mempunyai ''hubungan'' yang rapat dengan orang-orang tertentu di dalam menentukan harga tawaran bagi sesuatu projek.

Chuan berkata, kaedah ini menjadi proses membuat tender bagi projek-projek awam lebih terbuka dan telus, sekali gus memastikan hasil negara tidak dibazirkan, atau kerajaan membayar harga yang terlalu tinggi bagi sesebuah projek. Katanya, Suruhanjaya Pencegah Rasuah (CCC), yang ditubuhkan di bawah perlembagaan negara yang baru berkuat kuasa Oktober lepas, telah mencadangkan harga-harga median diberitahu kepada umum.

Namun, Chuan mengakui, mengumumkan harga-harga median itu tidak cukup untuk menghalang gejala menentukan harga, dan ''kerana itulah kita merangka untuk menggubal undang-undang baru bagi mengenakan hukuman ke atas mereka yang bersubahat.''

 Undang-undang itu akan dibentangkan pada Parlimen dalam tempoh dua bulan lagi.

Perlembagaan baru diperkenalkan di Thailand sebagai usaha terpenting untuk membersihkan politik negara Gajah Putih itu. Di bawah perlembagaan baru itu, CCC diberi kuasa untuk mendedahkan harta, aset dan hasil pendapatan para menteri. Pendedahan dalam tempoh beberapa bulan lepas menunjukkan bekas menteri-menteri adalah antara mereka yang paling kaya di Thailand.

Korea Selatan pada Rabu lepas mengumumkan, lebihan akaun semasa yang paling besar dalam tempoh sembilan tahun dan berharap laporan tersebut akan meningkatkan kredibiliti kewangan negara itu. Lebihan pada Disember lepas mencatatkan jumlah AS$3.64 bilion berbanding defisit sebanyak AS$1.85 bilion yang dicatat setahun lalu. Dengan itu, menurut Bank Korea, defisit keseluruhan akaun semasa di dalam tahun 1997 berkurangan kepada AS$8.85 bilion dari AS$23.7 bilion setahun yang lalu.

Namun berita baik ini tidak memberi kesan positif kepada mata wang Korea Selatan, won kerana ia terus menyusut berbanding dolar Amerika. Seorang penganalisis di Seoul berkata: ''Kita semua tahu bahawa krisis kewangan ini bukan berpunca daripada hutang kerajaan. Ia berpunca daripada pinjaman berbilion-bilion oleh sektor swasta, tetapi kini mungkin tiada cara bagi kita untuk membezakan kedua-dua isu tersebut. Masalah hutang sektor swasta ini kini menjadi masalah awam, masalah rakyat.''

Jika Korea Selatan tidak dilanda krisis pastinya masalah meminjam _ bukan sahaja untuk membiayai projek-projek yang tidak produktif, tetapi juga sebagai ''bayaran khidmat'' kepada ahli-ahli politik tertentu di negara itu _ mungkin tidak terdedah. Kini bukan sahaja syarikat-syarikat swasta itu menanggung rugi, tetapi juga seluruh rakyat Korea Selatan, yang dilaporkan sudah berjaya mengumpulkan emas sebanyak 17 tan yang bernilai AS$170 juta bagi membantu kerajaan membayar balik pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF dan Amerika Syarikat mungkin musuh kita, tetapi mereka mungkin memberitahu kita perkara pahit tentang diri kita sendiri. Ubat memang pahit.