Berita Harian Online
Jumaat 26 Disember 1997 26 Syaaban 1418
Ilmu Panduan Hidup


Batal kontrak pengusaha kantin tamak

KUALA LUMPUR, Khamis - Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan hari ini mendesak kerajaan menamatkan kontrak mana-mana pengusaha kantin sekolah dan asrama yang menaikkan harga makanan.

Pengerusinya, Prof Madya Mohd Ali Hassan, berkata pengusaha kantin dan asrama terbabit juga wajar dikenakan tindakan undang-undang mengikut bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna.

Menurutnya, sebarang tindakan menaikkan harga makanan dianggap melampau dan tidak prihatin ketika rakyat menghadapi pelbagai masalah berikutan kesan kejatuhan nilai ringgit sejak Julai lalu.

"Tindakan itu memang tidak wajar dalam kegawatan ekonomi, manakala kerajaan menggalakkan rakyat berjimat. Sebarang kenaikan akan menambahkan beban kewangan ibu bapa yang berpendapatan rendah.

"Oleh itu, Jabatan Pendidikan daerah harus melakukan siasatan semua kantin sekolah dan jika ada pengusaha yang menaikkan harga makanan, mereka harus dipecat serta-merta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Persatuan Penyelenggara Kantin Sekolah Malaysia (Ascom) bahawa 10,000 ahli persatuan itu bersetuju menaikkan harga semua jenis makanan di kantin sekolah sehingga 100 peratus.

Sebaliknya, Prof Madya Mohd Ali mencadangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diberi peluang menyelenggarakan operasi kantin sekolah masing-masing jika didapati berupaya daripada segi tenaga dan kewangan.

Presiden Cuepacs, Mohamad Mat Jid, turut membidas tindakan Ascom yang disifatkan keterlaluan dan mendesak Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, campurtangan segera bagi memastikan harga makanan di kantin stabil.

Beliau juga meminta ibu bapa menyediakan makanan dari rumah kerana cara itu makanan yang dimakan oleh anak mereka dijamin bersih dan bermutu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Hal-Ehwal Pengguna Kebangsaan, Datuk Lee Lam Thye, turut kesal dengan cadangan kenaikan harga makanan oleh Ascom yang disifatkan keterlaluan.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]