Ujian Klon manusia dibantah

KUALA LUMPUR 8 Jan. _ Pakar-pakar perubatan hari ini membantah eksperimen saintis Chicago yang dijangka melakukan pengklonkan manusia untuk menghasilkan bayi bagi pasangan mandul.

Mereka menyifatkan tindakan mengklonkan manusia ini adalah sebagai satu yang tidak beretika dan tidak wajar.

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM), Dr. Hatta Ramli memberitahu Malaysia telah memutuskan untuk menolak segala cadangan menggunakan manusia bagi tujuan pengklonan.

Katanya, walaupun eksperimen tersebut bertujuan untuk mengatasi masalah kemandulan, isu mengklon manusia disifatkan suatu tindakan yang tidak beretika.

''Dalam etika perubatan, pengklonan manusia adalah tidak beretika kerana ia menimbulkan pelbagai kesan sampingan terutamanya dari segi sosial dan agama,'' katanya.

Semalam, laporan National Public Radio (NPR) memberitahu saintis di Chicago dijangka memulakan eksperimen mengenai pengklonan manusia untuk menghasilkan bayi bagi pasangan mandul.

Menurut NPR, seorang ahli fizik Richard Seed, yang pernah menjalankan kajian mengenai kesuburan telah bercadang untuk membuka sebuah klinik yang akan mengklon bayi untuk pasangan mandul.

Bagaimanapun, Seed enggan meneruskan uji kaji itu melainkan mendapatkan kelulusan dari American Society of Reproductive Medicine.

Dr. Hatta menjelaskan, dari aspek agama, pelbagai masalah akan timbul seperti isu waris, aurat dan bermacam-macam lagi yang terlalu rumit untuk diselesaikan.

 Sementara dari segi perubatan, amat jelas sekali bahawa proses kejadian dan kelahiran manusia menerusi pengklonan ini melangkaui fitrah manusia atau hukum alam.

Pakar Perunding Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang enggan namanya disiarkan menjelaskan sekiranya pengklonan ini dibenarkan ia hanya akan membuka lebih banyak menimbulkan isu kontroversi yang berkaitan dengan hak milik.

Tambahnya lagi, lebih banyak lagi kaedah atau usaha lain yang boleh dilakukan untuk mendapatkan zuriat.

''Islam sendiri mempunyai pendekatan yang lebih jelas untuk seseorang itu mendapat zuriat.

''Justeru, selagi ia tidak jelas dari hukum syarak, menimbulkan banyak kekeliruan dan merumitkan, ia haruslah ditinggalkan,'' jelasnya.

Bekas Presiden PPIM, Dr. Lokman Saim, juga membantah pengklonan manusia ini dan ia boleh dijatuhkan hukum sebagai haram sekiranya ia diteruskan.

 Beliau tidak menafikan, secara umumnya pengklonan ini mempunyai kelebihan tersendiri dalam kes-kes tertentu, namun ia adalah tidak berasas sama sekali sekiranya dilakukan terhadap manusia.

''Contohnya, pengklonan organ seperti hepar (hati) mungkin dibolehkan kerana ia dapat digunakan oleh individu terbabit dalam mengatasi masalah yang dihadapinya.

''Sebaliknya, apa yang nyata pengklonan manusia ini menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, oleh itu sebaiknya ia dielakkan,'' jelas beliau.

 

Tambahnya lagi, mereka yang masih tidak dikurniakan zuriat tidak seharusnya berputus asa hingga sanggup menggunakan kaedah yang tidak dihalalkan.

''Sebagai manusia kita digalakkan berusaha sedaya upaya, tetapi ia tidaklah sampai ke satu peringkat melangkaui fitrah manusia.

''Kita seharusnya menerima qada' dan qadar Allah, sekiranya usaha yang dilakukan tidak berjaya kerana itu sudah ditakdirkan oleh Allah s.w.t,'' jelasnya.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginakologi, Hospital Besar Seremban, Dr. Noraihan Nordin, menyifatkan pengklonan manusia jelas sekali melanggar hak asasi manusia.

Sehubungan itu, undang-undang membantah pengklonannya haruslah diperketatkan supaya ia tidak disalah gunakan.