Telefon selular dan kanser

KEMUDAHAN teknologi terkini, seperti penggunaan telefon selular sering dikaitkan dengan penyakit yang serius seperti kanser otak.

Andaian demi andaian yang dicetuskan berhubung kesan buruk telefon selular ini sedikit sebanyak menimbulkan kegelisahan pengguna.

Kenyataan ini disokong pula dengan beberapa data kes-kes kanser yang semakin meningkat di sesetengah negara yang banyak menggunakan telefon selular.

Baru-baru ini, Medical Journal Australia melaporkan terdapat kemungkinan bahawa pertambahan mendadak dalam kes ketumbuhan otak di negara itu mempunyai kaitan dengan penggunaan telefon selular yang kerap.

Menurut Pakar Kanser, Andrew Davidson dari Hospital Fremantle di Western Australia, daftar kes kanser di negeri itu menunjukkan kenaikan 50 peratus di kalangan lelaki, 62.5 peratus di kalangan wanita dalam tempoh 10 tahun sejak 1982.

Ini bermakna data tersebut menunjukkan kadar kes ketumbuhan otak ialah 6.4 bagi 100,000 lelaki dan 4.0 bagi 100,000 wanita.

Penggunaan telefon selular tidak hanya tertumpu di sesebuah negara, malah ia digunakan secara meluas di negara-negara yang kaya hasil minyak.

Penggunaan yang amat berleluasa ini, menimbulkan rasa kebimbangan pakar-pakar perubatan berhubung kesan sampingannya terhadap kesihatan.

Penolong Pengarah Pusat Kanser Hussein Mekki al-Jomaa, Dr. Hussein al-Jazzaf dari Kuwait, yang turut menyokong kenyataan di atas, memberi amaran bahawa penggunaan telefon selular boleh menyebabkan sakit kepala, hilang ingatan dan sakit telinga yang serius.

Beliau mendakwa, terdapat pengguna yang mengalami masalah sakit kepala, hilang ingatan, tidur tidak nyenyak dan masalah pendengaran kronik.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan telefon selular kecuali jika berada dalam kecemasan dan tidak menggunakannya melebihi 30 minit dalam satu-satu masa.

Beliau menjelaskan, pancaran gelombang mikro telefon selular ini memberi kesan sampingan terhadap sistem saraf pusat.

Bergantung kepada keadaan tubuh masing-masing, pengguna berkemungkinan menghadapi risiko seperti masalah jantung, peredaran darah, kesuburan, perubahan genetik, kecacatan pada kelahiran dan kanser otak.

Persoalannya sejauh manakah kebenarannya bahawa telefon selular yang memberi kemudahan kepada orang awam ini boleh menjejaskan status kesihatan seseorang? Adakah wajar hanya dengan mengaitkan peningkatan kes-kes kanser dengan penggunaan telefon selular yang semakin berleluasa tanpa kajian saintifik yang jelas merupakan satu alasan kukuh? Satu persatu teori terus dilontarkan menuduh telefon selular penyebab berlakunya kanser otak atau gangguan pada kesihatan. Desakan demi desakan diasak supaya kajian saintifik diteruskan bagi membuktikan bahawa penggunaan telefon selular benar-benar selamat.

Kajian saintifik ke atas tikus di makmal Kolej Perubatan Wisconsin, Milwaukee, Amerika Syarikat menunjukkan petanda bahawa penggunaan telefon selular boleh menyebabkan kanser walaupun ia tidak dapat dibuktikan.

Kajian yang mengambil masa 18 bulan itu mendedahkan tikus dengan pancaran gelombang radio sama seperti telefon selular. Hasilnya, kebarangkalian tikus diserang kanser adalah dua kali ganda. Ini merupakan bukti pertama di dunia yang mendapati frekuensi radio boleh menyebabkan kanser pada waktu-waktu tertentu.

Namun, kajian ini juga tidak mampu mengubah kenyataan bahawa telefon selular tidak berbahaya kepada kesihatan kerana masih belum ada bukti kukuh.

Beberapa penyelidik di University of Washington, Seattle yang membuat kajian ke atas haiwan-haiwan selain tikus di makmal juga gagal membuat sebarang kaitan antara isyarat gelombang radio dengan kanser.

Kenyataan yang selama ini digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu yang mendakwa telefon selular punca meningkatnya kes-kes kanser hanyalah satu andaian. Sehubungan itu, pakar-pakar perubatan menolak dakwaan yang mengatakan bahawa penggunaan telefon selular sebagai punca bertambahnya kes-kes kanser otak. Ini kerana peningkatan kes-kes tersebut hanya dikaitkan dengan penggunaan teknologi terkini tanpa satu bukti yang kukuh.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian yang bertanggungjawab untuk Orang-orang Tua, British Columbia, menjelaskan produk seperti selular telefon, gelombang mikro, kelui dan radar yang menggunakan tenaga elektromagnet hanya mengeluarkan tahap radiasi yang telah memenuhi standard kebangsaan dan antarabangsa.

Kajian yang dijalankan terhadap telefon selular menjelaskan standard keselamatan ini diperoleh selepas beratus-ratus analisis berhubung gelombang radio frekuensi dan gelombang mikro dijalankan.

Kajian Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT), mendapati penggunaan telefon selular tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia.

Ini kerana pengukuran kekuatan gelombang daripada telefon selular berada pada paras jauh lebih rendah daripada had yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Perlindungan Radiasi Tanpa Pengionan (ICNIRP). Kesan buruk atau bahaya radiasi ini bergantung kepada tenaga, frekuensi dan dos serta keupayaannya menembusi sel atau tisu manusia.

Pakar Bedah Saraf, Jabatan Surgeri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Krian, Dr. Jafri Malin Datuk Abdullah menyangkal dakwaan tersebut kerana kejadian kanser otak tidak mempunyai kaitan dengan penggunaan telefon selular.

Beliau memberitahu, kejadian kanser biasanya dikaitkan dengan pelbagai faktor (multifactorial) dan bukannya dengan satu faktor sahaja. Kejadian kanser otak tidak boleh berasaskan hanya kepada satu punca penyebab, sebaliknya banyak sebab lain yang menyebabkan berlakunya kanser otak.

Kajian menunjukkan kanser otak biasanya disebabkan oleh faktor genetik, mutasi atau perubahan pada sel-sel Deoxyribonucleic acid (DNA) seseorang seperti pencemaran udara atau air.

Malah, sekiranya seseorang itu kekurangan oksigen, atau jatuh yang mengakibatkan pendarahan juga boleh menyebabkan berlakunya kanser otak.

Justeru, katanya tuduhan yang mengatakan bahawa telefon selular mengakibatkan punca berlakunya kanser otak adalah tidak berasas.

Dr. Malin berkata, jika dibuat perbandingan telefon selular dengan penggunaan telefon biasa yang digunakan di pejabat-pejabat dan di rumah, ia juga mempunyai frekuensi yang tinggi.

Ramai menyangka alat-alat teknologi terkini seperti telefon selular, ketuhar mikro, televisyen, bateri kereta, rumah yang berhampiran kabel elektrik sering dikaitkan dengan kejadian kanser.

Namun, hingga kini tiada bukti kukuh yang dapat menjelaskan bahawa penggunaan alat-alat yang mengeluarkan frekuensi tinggi ini punca berlakunya kanser.

Sehubungan itu, katanya orang ramai tidak seharusnya meletakkan satu keyakinan berdasarkan pada satu kajian yang belum pasti kesahihannya.

Dr. Malin menambah, beberapa kajian yang telah dilakukan di Singapura yang mengatakan bahawa penggunaan telefon selular punca kanser otak juga tidak dapat dibuktikan dengan jelas.

Katanya lagi, jika telefon selular dikatakan penyebab kanser otak, penggunaan sakarin iaitu pemanis dan pewarna dalam makanan juga boleh dikaitkan sebagai punca berlakunya kanser otak.

Namun, kajian tersebut tidak mempunyai satu bukti yang jelas mengatakan bahawa sakarin yang didapati dalam tomato, air sirap, kicap dan lain-lain lagi penyebab kanser. Jelasnya, konsep penyakit kanser ini terlalu luas kerana terdapat kemungkinan, mereka yang menggunakan telefon selular ini meningkatkan risiko mendapat kanser.

Antara risiko yang meningkatkan seseorang itu mendapatkan kanser ialah kemungkinan mereka juga meminum minuman keras, merokok, tinggal di tempat yang mempunyai frekuensi yang tinggi dan tidak mengawal pemakanan mereka.

Pakar Perunding Neurologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Raymond Azman Ali turut menyangkal dakwaan tersebut kerana tidak ada satu bukti jelas mengatakan bahawa frekuensi gelombang telefon selular meningkatnya kanser otak.

Katanya, hingga kini, belum ada lagi keputusan muktamad dari pertubuhan kesihatan yang menyatakan bahawa telefon selular penyebab meningkatnya kanser otak. Beliau memberitahu, laporan tersebut hanya cuba mengaitkan data kejadian kanser yang meningkat tetapi ia bukanlah satu kajian.

''Data-data yang diperoleh juga berdasarkan daripada aduan pesakit yang mungkin secara kebetulan menggunakan telefon selular.

''Penggunaannya yang agak berleluasa dalam tempoh lima hingga enam tahun kebelakangan ini tidak dapat dipastikan sejauh manakah kebenarannya bahawa ia meningkatkan risiko kanser otak,'' katanya.

Sehubungan itu, pengguna tidak perlu panik dengan dakwaan sedemikian kerana ia hanyalah kaitan tanpa satu bukti kukuh. Kajian menyeluruh berhubung peningkatan ketumbuhan otak dengan telefon selular masih memerlukan kajian mendalam.

Meskipun, pelbagai andaian dan tuduhan yang dilontarkan pada telefon selular kerana menghasilkan haba sehingga menjejaskan sel manusia, namun hingga kini tiada sokongan saintifik.

Apa yang pasti, sehingga saat ini, belum ada saintis yang berani mengesahkan penggunaan telefon selular boleh menyebabkan kanser.