Penyeragaman status halal

KESANGSIAN orang ramai terhadap pengesahan label halal pada produk makanan dan minuman serta bahan gunaan terutama yang diimport dari negara anggota ASEAN dijangka berakhir apabila logo seragam yang disahkan bersama diperkenalkan mulai pertengahan tahun ini.

Langkah penyeragaman logo berkenaan bertujuan mengatasi masalah yang mungkin timbul di kalangan pengguna-pengguna Islam berkaitan status halal sesuatu produk yang dikeluarkan di dalam atau luar negara.

Di samping itu, langkah tersebut juga akan memudahkan usaha-usaha pengeksportan dan pengimportan yang memerlukan Sijil Pengesahan Halal.

Pengarah Bahagian Penyelidikan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdullah Fahim Abdul Rahman berkata, persetujuan bagi mewujudkan logo tanda halal seragam itu pada dasarnya dicapai pada mesyuarat pertama Menteri-Menteri Pertanian ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober 1996.

Ekoran daripada itu, sebuah jawatankuasa bertindak sementara ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh wakil dari Brunei Darussalam manakala Malaysia menjalankan urusan sekretariat.

Sekretariat jawatankuasa itu di Malaysia disertai tiga ahli iaitu Dr. Aziz Mangkat dari Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Dr. Alang Zainuddin dari Syarikat Perkhidmatan Halal dan Abdullah Fahim sendiri.

Jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat untuk kali kedua di Indonesia pada April tahun lalu, telah membincangkan secara lanjut langkah-langkah untuk menyeragamkan logo bersama itu.

Seterusnya pada pertemuan ketiga di Bangkok, November lalu, jawatankuasa berkenaan mencapai kata sepakat untuk melaksanakan persetujuan asal itu mulai tahun 1998.

Menurut Abdullah Fahim, mesyuarat pada April ini yang kemungkinan diadakan di Brunei atau Bangkok, dijangka menjadi pertemuan penting memilih dan menentukan logo yang sesuai digunakan oleh negara anggota ASEAN.

Sebelum ini, katanya, Majlis Agama Islam negara anggota iaitu Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia telah bersetuju mengiktiraf label halal yang dikeluarkan oleh setiap negara berkenaan. Bagaimanapun bagi pasaran dalam negara, beliau berkata, Malaysia masih mengambil pendirian mengiktiraf label halal yang dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dengan penyeragaman logo tanda halal ASEAN itu nanti, beliau yakin setiap negara anggota akan memastikan peraturan bagi menjamin barangan yang 100 peratus halal dikuatkuasakan.

Menurut Abdullah Fahim, satu perjanjian persefahaman mengenai penyeragaman logo halal bagi gagasan itu akan ditandatangani di bawah Jawatankuasa Menteri-Menteri Pertanian ASEAN berkenaan selepas persetujuan berhubung label yang akan digunakan dicapai.

''Langkah menandatangani perjanjian menerusi kerjasama itu adalah lebih berkesan kerana produk makanan terletak di bawah bidang kuasa menteri berkenaan,'' katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke kilang Nestle di Lipa, Filipina, baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Abdullah Fahim dan Profesor Madya Dr. Osman Hassan dari Unit Penyelidikan Kualiti Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan pemeriksaan sebelum memberi pengesahan halal terhadap produk Nestle yang dikeluarkan di kilang itu, coklat Fox's dan karamel Eclairs. Lawatan pemeriksaan ke kilang itu merupakan satu daripada prosedur Jakim sebelum sebarang sijil pengesahan halal dapat dikeluarkan.

Mengikut prosedur itu, satu lawatan pemeriksaan ke atas premis memproses barangan berkenaan akan dilakukan oleh dua ahli Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Makanan dan Bahan Gunaan Orang Islam Peringkat Kebangsaan sebelum sijil pengesahan halal dapat dikeluarkan. Perbelanjaan bagi lawatan berkenaan ditanggung sepenuhnya oleh pemohon iaitu, pengeluar.

Sijil pengesahan halal hanya dikeluarkan oleh Jakim setelah penelitian penuh ke atas bahan mentah, proses pengeluaran, produk dan kemudahan penyimpanan di premis berkaitan mendapati ia memenuhi kehendak peraturan halal mengikut hukum syarak.

''Sijil pengesahan itu boleh ditarik balik atau ditamatkan tempoh sahnya pada bila-bila masa apabila didapati menyalahi garis panduan yang ditetapkan atau terdapat cara pengendalian yang meragukan dari segi syarak,'' ujar beliau.

Nestle Products Sdn. Bhd., adalah antara pengeluar makanan dan minuman yang pertama menerima sijil pengesahan berkenaan daripada Jakim bagi rangkaian barangan keluarannya.

Jurucakap Nestle Malaysia berkata pihaknya tidak bertolak ansur dalam isu halal dan ini dibuktikan menerusi kesungguhan pengurusannya menubuhkan jawatankuasa dalam syarikat itu sendiri untuk menjamin penguatkuasaan piawaian halal dalam pengeluaran semua barangannya.

 Paling penting sekali, pengesahan halal itu tidak terhad kepada barangan makanan keluaran tempatan tetapi juga merangkumi produk Nestle yang diimport.

Untuk menjamin proses ini, Nestle Malaysia membawa pegawai-pegawai Jakim melawat dan melakukan pemeriksaan ke atas lebih 50 kilang Nestle di seluruh dunia. Antaranya di Australia, Denmark, Perancis, Jerman, Belanda, Hong Kong, Itali, Mexico, Afrika Selatan, Sepanyol, Switzerland, Taiwan, Britain, Amerika Syarikat dan negara anggota ASEAN.

Menurut Ketua Makmal Jaminan Kualiti Nestle di Lipa, Filipina, Peregrin M. Aclan, peraturan terperinci dikuatkuasakan dalam seluruh proses pengeluaran produk yang dikeluarkan di situ, daripada bahan mentah, pemerosesan dan peralatan, pengisian, pembungkusan, penyimpanan sehingga proses pengedaran dalam dan luar negara. Pihak pengurusan kilang Nestle di Filipina memperolehi garis panduan menguatkuasakan peraturan halal daripada Nestle Malaysia.

''Nestle berusaha mencari sumber ramuan berasaskan tumbuh-tumbuhan untuk mematuhi peraturan halal malah barangan konfeksi yang diimport juga dipastikan tidak mengandungi sebarang gelatin atau bahan pengemulsi yang tidak dibenarkan oleh Islam,'' katanya.

Menjelaskan prosedur menyediakan produk halal, Dr. Osman berkata, yang penting dalam proses tersebut ialah tiada tindakan sengaja oleh pembuat untuk memasukkan bahan yang diharamkan Islam ke dalam ramuan barangan berkenaan.

''Misalnya penggunaan alkohol ethanol, jika dengan sengaja dimasukkan ke dalam ramuan maka produk itu tidak halal. Bagaimanapun, jika bahan itu terhasil daripada proses penyediaan produk berkenaan antaranya ketika penapaian dan kehadirannya tidak dapat dielakkan, produk itu dikira halal,'' jelas Dr. Osman.

Dalam hal ini, Abdullah Fahim mengalu-alukan inisiatif Nestle menubuhkan jawatankuasa halal sebagai kawalan dalaman dan berharap lebih banyak syarikat pengeluar makanan, minuman dan bahan gunaan mengikut jejak langkah itu.

Menurutnya, kesedaran mengenai penggunaan logo halal yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam sesebuah negara semakin meluas di kalangan pengeluar terutama bagi pasaran barangan di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bagi Malaysia, kata beliau, Jakim tidak mewajibkan semua pengeluar makanan di negara ini mendapatkan pengiktirafan halal kerana tidak mahu membebankan pengeluar terbabit.

Bagaimanapun, tambahnya, berikutan permintaan masyarakat dan kesedaran pengeluar sendiri, banyak syarikat yang mengemukakan permohonan kepada Jakim supaya mengiktiraf produk makanan yang mereka keluarkan.

''Inisiatif mendapatkan pengesahan halal itu juga didorong oleh kesedaran mengenai permintaan pasaran barangan makanan dan minuman halal yang semakin meluas sehingga ke Timur Tengah,'' katanya.

Menurut beliau, langkah penyeragaman label halal yang dicapai oleh negara anggota ASEAN dianggap tepat pada masa rantau ini mengalami krisis ekonomi kerana ia berupaya menjimatkan kos pengeluaran.

''Kerja mencetak logo halal yang sebelum ini dilakukan beberapa kali mengikut tanda yang diiktiraf oleh sesebuah negara, hanya perlu dibuat sekali dan pasti menjimatkan kos termasuk bahan pembungkus,'' katanya. Yang lebih penting daripada penyeragaman label halal ASEAN itu, menurut Abdullah Fahim ialah langkah itu akan menamatkan kesangsian orang ramai terutama yang beragama Islam terhadap kewibawaan logo yang digunakan sebelum ini.

''Bagi seorang Islam, apabila musykil atau was-was, jalan sebaik-baiknya ialah mengelakkan daripada menggunakan barangan tersebut,'' katanya.

Logo bersama ASEAN itu merupakan jawapan terbaik kepada pelbagai tuduhan oleh kumpulan aktivis yang meragui status halal sesuatu produk itu. Pemakaian label halal bersama ASEAN itu memberi faedah yang seimbang kepada pengguna dan pengeluar. Bagi pengguna terutama yang beragama Islam, mereka dapat menggunakan produk berkenaan dengan tanpa was-was manakala bagi pengeluar, mereka dapat meneroka pasaran Islam secara yakin.