Berita Minggu Online

 

McDonald's di UM gejala pengkorporatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Uiversiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMIUM) menyifatkan pembukaan restoran makanan segera McDonald's di UM sebagai gejala pengkorporatan universiti.

Sehubungan itu, kedua-dua persatuan itu yang mewakili hampir semua pelajar UM, mahu pihak berkenaan mengkaji semula dasar pengkorporatan universiti.

Bendahari Agung PMUM, Wan Shukri Wan Mustapha, berkata PMUM sejak awal lagi membantah dasar pengkorporatan UM kerana ia boleh memberi pelbagai kesan negatif.

"Restoran ini adalah satu penjelmaan kepada pengkorporatan kerana universiti memerlukan saraan sendiri untuk menguruskannya, sedangkan perbelanjaan universiti sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

"PMUM juga diberitahu pentadbir universiti turut bercadang memperluaskan lagi bentuk perniagaannya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan pengusaha restoran McDonald's menawarkan sewa tertinggi dalam tender, iaitu RM10,000 sebulan kepada universiti berbanding restoran lain yang mahu mendapatkan kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pembukaan restoran itu berhampiran pintu masuk UM dianggap tidak sesuai dengan kedudukan UM sebagai pusat pengajian tinggi tertua di negara ini.

Bekas pensyarah UM pada akhir 1950-an, JP Dulles, dari Tumbridge Wells England, turut dipetik me-nyuarakan kurang senangnya apabila melihat restoran makanan segera itu dibina berdekatan pintu masuk UM.

Menurut Dulles, kewujudan restoran itu begitu ketara dan menandakan wujudnya penjajahan budaya di universiti berkenaan. Ini bertentangan sama sekali dengan kritikan yang kerap dilaungkan pemimpin negara ini mengenai penjaja-han Barat.

Kelmarin, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Madya Dr Hamzah Abdul Rahman, mengumumkan penurunan papan iklan McDonald's berikutan desakan orang ramai.

McDonald's bagaimanapun masih menjadi penyewa utama bangunan itu yang terletak berhampiran Fakulti Undang-Undang.

Wan Shukri berkata, PMUM sudah berbincang dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Datuk Dr Zainal Kling, mengenai penyerahan restoran itu kepada McDonald's.

[ Home Page | News | Sports | Articles | Entertainment ]