Kawal penyebaran maklumat bercanggah ajaran Islam

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) meminta kerajaan bertindak lebih serius bagi mengawal maklumat yang bercanggah dengan Islam yang disebarkan melalui Internet.

Presiden PKPIM, Amidi Abdul Manan melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, tindakan tegas daripada kerajaan perlu bagi menangani isu tersebut sebelum ia menjadi lebih sensitif.

''Penyelewengan terhadap agama sangat bahaya terutama bagi mereka yang kurang memahami Islam kerana ia boleh menyelewengkan aqidah secara tidak langsung,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian penyebaran beberapa surah palsu melalui Internet yang berlaku baru-baru ini.

Antara surah yang didakwa sebagai sebahagian daripada Al-quran itu termasuklah surah Al-Iman, Al-Tajassud, Al-Muslimun, dan surah Al-Wasoya.

Sementara itu, Presiden PKPIM, Zaharuddin Ab Rahman berkata, Pusat Islam perlu memainkan peranannya bagi mengurangkan penyelewengan yang berterusan ke atas agama Islam.

''Penyelewengan yang cuba dibuat oleh golongan anti-Islam itu bukannya penyelewengan biasa tetapi mencabar kehormatan kitab Al-Quran yang sememangnya dijamin kesucian dan ketulinannya,'' ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru seluruh umat Islam agar lebih prihatin dengan perancangan musuh Islam dan bangkit untuk berjuang menghapuskan rekaan palsu mengenai Islam yang cuba dibawa oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.