Berita Minggu Online

 

Ke mana perginya PMUM, PMBUM, PMIUM?

KEHADIRAN restoran makanan segera McDonald's di kampus Universiti Malaya (UM) bukanlah suatu isu. Yang menjadi isu ialah apabila restoran itu yang melambangkan budaya makanan popular Amerika ditempatkan di tempat yang strategik - di hadapan bangunan baru Fakulti Undang-Undang - seolah-olah menjadi pintu gerbang masuk ke fakulti itu. Ramai rakan alumni UM terkejut dengan keputusan pentadbiran UM membenarkan sebuah restoran makanan segera ditempatkan di kawasan itu.

Itu pun bukanlah satu isu yang besar. Isu besar yang terselindung di sebalik restoran McDonald's itu ialah maruah dan tanggungjawab mahasiswa universiti itu. Kalau dulu pihak pentadbiran universiti akan berfikir berkali-kali sebelum melakukan sesuatu yang boleh menaikkan kemarahan mahasiswa, kini terbukti mahasiswa UM tidak lagi menggugat seperti 1970-an. Mahasiswa sudah hilang taringnya sebagai generasi penggerak zaman, pembela maruah negara. Mahasiswa bukan lagi anak-anak muda yang kental semangat perjuangannya. Mereka sudah bertukar menjadi pelajar sekolah tinggi yang boleh ditarik hidungnya.

Kalau dulu seluruh mahasiswa UM bangun memperjuangkan ketidakadilan ekonomi, ketempangan sosial, membela maruah petani, maruah bahasa Melayu sehingga seluruh papan tanda kampus yang bertulisan Inggeris dicat, kini semangat mahasiswa era 70-an sudah terkubur. Mahasiswa UM era 90-an yang barangkali hidup dalam suasana mewah sudah bertukar menjadi manusia individualistik, manusia yang tidak mengambil kisah apa yang berlaku di sekelilingnya. Maka kita ingin bertanya ke manakah perginya PMUM, PBMUM, PMIUM yang dulunya terkenal dengan suaranya yang lantang dan semangat yang kental?

Kita juga ingin bertanya kenapakah Persatuan Kakitangan Akademik UM (ASA) berdiam seribu bahasa. Ke manakah hilangnya suara yang dulunya lantang mengkritik pentadbiran UM? Apakah mereka hanya bersemangat dalam soal kenaikan pangkat dan gaji sahaja dan menjadi tidak bermaya dalam soal budaya dan maruah? Sebenarnya isu yang kecil ini menceritakan banyak isu besar lain yang tersembunyi di kampus tertua di negara ini. Barangkali seluruh nadi di UM perlu disuntik dengan pil penyegar kerana kebanyakannya sudah lali atau separuh lali dan ramai juga yang terus tidur.

Restoran McDonald's tidak bersalah dalam hal ini. Yang bersalah ialah manusia yang membuat keputusan mengizinkan restoran itu ditempatkan di situ. Penjelasan Naib Canselor Pembangunan Prof Madya Dr Hamzah Abdul Rahman gagal menyakinkan kita tentang kewajaran menempatkan restoran seperti itu di hadapan fakulti yang baru. Dari jalan raya atau dari belakang Masjid Ar-Rahman, restoran itu kelihatan berdiri megah seolah-olah menjadi mercu tanda Fakulti Undang-Undang dan pintu masuk ke UM. Dr Hamzah memberi alasan tapak restoran segera itu asalnya tapak kantin, tetapi kerana kantin mencacatkan pemandangan di situ, maka sebuah restoran dipilih sebagai ganti. Apabila tawaran tender dilakukan, McDonald's dipilih bukan kerana makanannya sedap, tetapi kerana mampu menawarkan kadar sewa yang mahal.

[ Hompej | Berita | Sukan | Artikel | Hiburan ]