Berita Harian Online
Selasa 16 Disember 1997 16 Syaaban 1418
Senyum Itu Sedekah

Menangani penjajahan bentuk baru

Minda Pengarang

HAMPIR AS$100 bilion disediakan oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) kepada tiga negara di Asia bagi membantu menangani kemelut ekonominya. Namun, belum pun sempat dakwat kering pada dokumen perjanjian bantuan termasuk yang terbaru kepada Korea, dana yang diterima nampaknya tidak banyak memberi kesan pemulihan. Sebaliknya, nilai mata wang di negara Asia terus merosot walaupun asas ekonomi hampir semua negara serantau sudah diperbetulkan sebagaimana yang didesak IMF. Lebih merunsingkan bukan saja mata wang Korea, Thailand dan Indonesia - tiga negara yang menerima bantuan IMF terus lemah berbanding dolar Amerika, negara jiran juga mengalami nasib yang sama. Lantas, ramai yang melihat dana IMF lebih kepada menyelamatkan institusi kewangan milik asing di negara terbabit yang terjerat dengan jumlah pinjaman berbanding suasana ekonomi secara keseluruhan.

Jelasnya, IMF hanya berfungsi untuk membantu sektor ekonomi tertentu saja. Pemberian dana tidak begitu menjurus kepada soal membantu tetapi lebih bertumpu kepada meningkatkan keupayaan sesebuah negara membayar semula hutang kepada bank dan institusi kewangan asing. Lantas, syarat utama iaitu negara penerima membuka pasaran kewangannya, meningkatkan keperluan faedah dan cukai menyebabkan negara dan rakyatnya terus dicengkam sengsara. Walaupun bukan sepenuhnya hasrat IMF mahu memastikan institusi asing berupaya mendapat wang mereka tetapi itulah kesan tindakan mereka.

Sudah kerap rasa tidak puas hati dinyatakan kepada IMF supaya menilai semula fungsi dan keberkesanan tanggungjawabnya membantu negara yang terbelenggu dalam kepayahan ekonomi sekarang. Kita tidak menyatakan IMF tidak berguna langsung tetapi bantuannya banyak mengikat dan membebankan kepentingan negara peminjam. Malah, tidak keterlaluan jika kita katakan IMF melihat masalah ekonomi yang melanda negara di rantau ini sebagai peluang untuk mengenakan syarat mengikut telunjuknya seterusnya menjerat negara terbabit membuka pasaran untuk diambil kesempatan oleh pelabur negara ekonomi besar. Meminta bantuan IMF sama seperti menyerahkan sesebuah negara kepada orang asing untuk menentukan dasar dalam membentuk semula ekonomi yang jatuh. Apabila pihak lain menentukan apa yang tidak dan boleh dibuat, ia seperti satu reformasi penjajahan masa kini tetapi pendekatannya bentuk baru.

Sesungguhnya atas kesedaran inilah pemimpin Asean yang sedang menghadiri sidang kemuncak dengan tiga negara Asia lain di sini, mengeluarkan kenyataan bersama pertama mereka mengenai krisis kewangan di Asia. Semalam mereka menggesa IMF bertindak lebih realistik untuk menstabilkan mata wang rantau ini. Mereka berpendapat usaha sejagat juga perlu segera diambil termasuk menilai semula peranan utama IMF. Inilah luahan rasa kecewa yang berulang kali dinyatakan oleh Asean. Bagi Asean, kesimpulannya, bantuan IMF hanyalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur dan bukan mengatasi kerugian besar mereka yang berpunca daripada krisis kewangan yang melanda rantau ini. Barangkali dalam hal ini, IMF masih belum terlambat untuk membuat pelbagai ubah suai sejajar dengan kehendak Asean. Kita percaya IMF boleh melakukannya terutama jika kuasa besar ekonomi terutamanya Amerika Syarikat yang pengaruhnya amat kuat dalam badan itu, komited untuk menjadi pejuang kepada kestabilan ekonomi sejagat.

Ketika gesaan dan saranan dibuat agar IMF melakukan perubahan kepada beberapa syaratnya, rantau ini juga perlu mencari jalan sampingan bagaimana keluar daripada kemelut ini. Selain meningkatkan perdagangan intra Asean, cadangan terbaru iaitu mengemukakan satu mekanisme yang membolehkan mereka membeli barangan serantau dalam mata wang tempatan, wajar diusahakan kejayaannya. Cara pelaksanaan mesti segera difikirkan. Cuma kita tidak mahu timbul pula tuduhan dan diikuti dengan ancaman diskriminasi oleh negara kuasa besar apabila langkah sebegini diketengahkan.

Bagi Malaysia, tindakan drastik sebegini bukan kerana kita antinegara tertentu tetapi semua ini dilakukan kerana rantau ini tidak sanggup lagi mengharungi kepayahan berterusan. Kita percaya hanya semangat kerjasama dan kesepakatan sajalah pakej terbaik untuk menyelesaikan masalah dan bukan seperti badan tertentu yang terbukti bersifat menekan di samping menyambar kesempatan.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]