Berita Harian Online

Perniagaan kontemporari berpenyakit

PADA zaman yang kaya dengan sains dan teknologi ini, perniagaan menghidap penyakit tidak beretika dan tiada tanggungjawab sosial. Fenomena ini amnya disebabkan oleh lima perkara.

Pertama, ia akibat daripada persaingan yang sengit. Kedua, iklim organisasi yang bertuhankan wang ringgit. Ketiga, nilai akhlak personaliti yang disebabkan kurang didikan kerohanian. Keempat, sikap tamak dan kelima, sikap seseorang yang merasionalkan kebenaran kepada sesuatu yang salah.

Boleh dikatakan terlalu banyak penyakit berlaku dalam perniagaan moden, tetapi apa yang ingin saya fokuskan hanyalah kepada tiga kes khusus yang berkaitan soalan etika dan akhlak masa kini iaitu monopoli bentuk baru, rasuah yang berleluasa dan pinjaman wang dikenakan kadar faedah tinggi.

Elok kita perhatikan kes pertama. Negara industri dan maju memonopoli barang tertentu untuk memaksa negara membangun dan miskin melutut di bawah kekuasaan mereka sehiggakan mereka sanggup membakar berjuta-juta tan metrik gandum semata-mata untuk menstabilkan harganya di pasaran dunia sedangkan berjuta-juta manusia mati kebuluran di benua Afrika (Sumber: Perniagaan Menurut Islam, Mustafa Daud, 1994.)

Menurut konteks Islam, perkara ini memang tidak akan berlaku iaitu bukan saja pembaziran, penindasan dan penyeksaan juga tidak akan menjadi. Memang tidak dapat dinafikan monopoli dan sorok barang akan meninggalkan kesan yang amat buruk dalam kegiatan ekonomi. Malahan ia juga menghancurkan prinsip untuk membasmi jurang antara golongan kaya dengan miskin dan peluang yang sama. Perbuatan zalim ini menghancurkan persaingan yang sihat dalam perniagaan, menghancurkan kawalan mutu barang, menindas masyarakat membeli barang dengan harga yang amat tinggi (tidak berpatutan), dan mewujudkan satu keadaan yang terdesak serta tiada pilihan. Lama-kelamaan, perbuatan ini akan menimbulkan perasaan benci dan menghancurkan perasaan murni seperti kasih sayang, belas kasihan, perpaduan, kerjasama dan sebagainya. Apa yang timbul hanyalah perasaan permusuhan dan dendam.

Oleh itu, penerapan nilai Islam dalam amalan perniagaan diperlukan iaitu pihak pemerintah wajib mengenakan kawalan harga dalam perniagaan (al hisbah ditubuhkan). Kadar bunga maksimum yang ditentukan haruslah menjaga kebajikan masyarakat dan kadar harga yang minimum ditetapkan adalah untuk menjaga kepentingan peniaga bagi memastikan tidak wujud sebarang kerugian bagi kedua-dua pihak.

Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Daud: "Seorang sahabat datang kepada Rasulullah dan merayu: Hai Rasulullah, letakkanlah kawalan ke atas harga. Kemudian seorang lain juga merayu perkara yang sama katanya: Hai Rasulullah, letakkanlah kawalan ke atas harga. Kali ini baginda dengan tegas menjawab: Oh tidak, Allah saja yang menaik dan menurunkan. Saya lebih suka menemui Allah dengan tidak seorang pun mengadu kerana melukainya."

Mari kita lihat kes kedua pula. Amalan rasuah yang berlaku secara berleluasa akan menyebabkan sesebuah negara mundur dan kucar-kacir. Kakitangan kerajaan yang mengamalkan rasuah adalah individu yang tidak mengutamakan tugas dan tanggungjawab (Sumber: Rasuah Mencemar Negara, Asnim Bakeri, 1992).

Amalan rasuah berlaku disebabkan keruntuhan moral di kalangan masyarakat. Amalan ini mencabar keunggulan undang-undang dan melahirkan manusia yang bersikap materialistik. Walaupun cuba dibanteras oleh sebuah badan khas iaitu Badan Pencegah Rasuah, ia tetap tidak dapat ditangani.

Amalan rasuah akan menjadi barah yang bakal menghentikan urat nadi negara serta menunggu masa kemusnahan.

Disebabkan itu, adalah perlu penerapan nilai Islam dalam menangani masalah tidak beretika ini. Dengan hadirnya nilai dan prinsip Islam, satu keseimbangan akan berlaku iaitu wujud peluang yang sama untuk berniaga (tanpa rasuah juga dapat berniaga). Dari awal lagi diterangkan penerapan nilai Islam ke dalam perniagaan akan berfungsi sebagai satu alat membimbing dan mengasuh nilai kerohanian kepada pihak yang terbabit dalamnya. Antaranya, nilai keikhlasan, kejujuran dan beramanah tentu sekali akan dipupuk supaya keadaan keadilan dalam perniagaan tercapai.

Cuba kita lihat kes ketiga. Kejadian bunuh diri berlaku pada 23 November 1997 di Kuantan, Pahang disebabkan perniagaan yang terlarang iaitu perniagaan mengandungi unsur riba. Kes bunuh diri ini membabitkan sepasang suami isteri yang masing-masing berumur 35 tahun dan 34 tahun serta dua anaknya yang berumur tiga tahun dan satu tahun. Kes ini dipercayai berpunca daripada tekanan beban hutang yang melampau akibat faedah tinggi dikenakan (Sumber: Nanyang Siang Pau, 24 November 1997).

Pinjaman untuk memulakan perniagaan daripada sebuah institusi kewangan swasta menyebabkan kematian empat nyawa lebih-lebih lagi dua nyawa yang tidak berdosa (anak mereka). Dalam kes ini, menurut Islam, al-Qardh sudah wujud yang mana dilarang sama sekali oleh Islam dalam perniagaan. Imam al-Razi menjelaskan riba itu satu alat mengeksploitasi dan menindas ketika mereka benar-benar susah seperti yang dialami oleh sekeluarga ini. Jadi, adalah benar Islam mengharamkan riba bagi menjamin kebajikan dan kemakmuran sejagat.

Allah berfirman: "Riba yang kamu berikan dengan tujuan menambahkan harta manusia, sebenarnya ia tidak menambah pada sisi Allah (tetapi) zakat yang kamu keluarkan dengan maksud mendapat keredaan Allah adalah mereka yang mendapat pahala berlipat ganda." (Surah al-Rum: 30-39)

Abu al A'la al Maududi memberikan ciri perbezaan antara riba dengan perniagaan.

Perniagaan:

  • Penjual dan pembeli bertukar barang atau dengan wang. Wujud persamaan dan sama-sama mendapat keuntungan;
  • Keuntungan hanya sekali dalam satu peristiwa;
  • Penjual terbabit secara aktif dalam perniagaan dan bertanggungjawab terhadap untung atau rugi;
  • Wujud akhlak seperti tolong-menolong, timbang rasa, belas kasihan dan sebagainya.

Riba:

  • Tidak wujud persamaan. Pemberi untung dan peminjam rugi;
  • Riba membawa keuntungan berganda dan berterusan selagi tidak dijelaskan;
  • Pemberi riba tidak terbabit dengan kerja dan tidak bertanggungjawab jika berlaku kerugian atau terbengkalainya sesuatu projek;
  • Tiada perikemanusiaan sebaliknya meningkatkan ego, tamak, degil.

(Sumber: Perniagaan Menurut Pandangan Islam, Sobri Salamon, 1988.)

Jadi, sekiranya awal-awal lagi perniagaan Islam diamalkan, peristiwa itu tidak akan berlaku dan di sini menunjukkan betapa pentingnya mulai sekarang penerapan nilai Islam ke dalam amalan perniagaan diamalkan tanpa berlengah lagi.

Belum ada agama yang dapat mengatasi Islam dalam memberikan kedudukan dan keistimewaan pada perniagaan sehingga menyamakannya dengan ibadat sembahyang dan haji asalkan lunas akidah, syarak dan akhlak. Semua ini bukan saja satu teori, malah ia benar-benar diamalkan pada zaman Rasulullah dan mencapai kegemilangan seperti dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Maksudnya: "Orang yang terbaik adalah generasiku, kemudian pengikut mereka. Selepas mereka akan tampil orang memberi pengakuan (menjadi saksi) tanpa dipinta, menjalankan kejahatan dan tidak amanah, membuat janji tanpa menepati dan banyak pula yang gemuk semula."

Melalui bukti sejarah seperti di atas, memang tiada alasan untuk menolak penerapan nilai Islam dalam amalan perniagaan kontemporari yang sesak dengan pelbagai masalah akhlak, etika dan tanggungjawab sosial. Perniagaan Islam yang menekankan pencapaian kebajikan dan kesejahteraan sejagat melahirkan prinsip atau nilai yang dapat membentuk pembeli dan penjual bersikap ikhlas, jujur, amanah, berbudi bahasa, bertolak ansur, saling memaafkan dan sebagainya, yang akan memelihara dan mengukuhkan silaturahim.

Perniagaan yang membabitkan unsur seperti riba, barang najis, perjudian, monopoli, paksaan atau peras ugut, rasuah dan lain-lain diharamkan sama sekali. Oleh itu, dalam perniagaan berbentuk Islam yang menekankan kebajikan masyarakat tidak akan berlaku bentuk perniagaan seperti yang dinyatakan tadi.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]