Berita Harian Online
Jumaat 19 Disember 1997 19 Syaaban 1418
Ilmu Panduan Hidup

Samak henti beroperasi

AYER HITAM (Kedah), Khamis - Syarikat penternakan udang harimau dengan modal berbayar RM65 juta, Samak Aquaculture Sdn Bhd (Samak), hari ini menghentikan operasi dan menamatkan perkhidmatan 186 pekerjanya.

Keputusan itu dicapai pengurusan Samak semalam dengan alasan keselamatan pekerja Samak terancam. Mengikut cadangan awal sebelum ini, syarikat itu berhasrat menghentikan operasinya akhir bulan ini.

Bagaimanapun, Samak bersedia memulakan semula operasi dan mengambil semula pekerja terbabit jika polis mampu memastikan kerja pemasangan pagar di Fasa 1B projek itu dapat disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Selain itu, Samak juga akan membayar gaji bulan ini, pampasan sebulan bonus dan sebulan ganjaran keuntungan syarikat yang dibahagikan sebagai menghargai sumbangan pekerja.

Pengarah Urusannya, Haydar Hassan al-Sahtout, berkata Samak terpaksa mengambil keputusan itu bagi memastikan keselamatan 169 pekerja tempatan dan 17 pekerja asingnya, berikutan kejadian beliau dan dua pegawai Samak dicederakan seorang lelaki ketika meninjau kawasan pemasangan pagar, Isnin lalu.

Ditanya sama ada keputusan itu sudah dimaklumkan kepada Kerajaan Kedah dan ahli lembaga pengarahnya, Haydar berkata:

"Saya sudah maklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Sanusi Junid dan ahli lembaga pengarah untuk menghentikan operasi pada pagi Selasa lalu... pegawai di peringkat eksekutif syarikat berkuasa membuat keputusan.

"Segala perkembangan di sini sentiasa dimaklumkan kepada syarikat induk kami, Kumpulan Saudi Ben Ladin di Arab Saudi. Mereka amat memahami perkembangan di sini.

"Bagaimanapun, ahli lembaga pengarah akan mengadakan mesyuarat hujung bulan ini dan kami tetap dengan keputusan, operasi akan hanya disambung semula selepas kerja pemasangan pagar selesai," katanya selepas bermesyuarat dengan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Nik Ismail Datuk Nik Yusof, di pejabat Samak, di sini lewat petang ini.

Semalam, Haydar dilaporkan berkata, Samak bercadang menghentikan operasi akhir bulan ini jika polis gagal memastikan keselamatan pekerjanya berikutan kejadian seorang penduduk kampung yang mencederakan beliau; Pengurus Besar, Khazali Din dan Pengurus Keselamatan, Radzi Ahmad.

Samak meletakkan syarat untuk memastikan pentadbiran syarikat tidak menghentikan operasi iaitu meminta polis mendakwa beberapa individu dipercayai penduduk kampung yang menceroboh dan menyerang pekerja Samak, selain kerja pemasangan pagar yang harus dipastikan berjalan lancar.

Sementara itu, Nik Ismail berkata, polis akan menyediakan anggotanya bagi memastikan kerja pemasangan pagar terbabit berjalan lancar.

"Saya menerangkan kepada pengurusan Samak mengenai prosedur undang-undang yang harus diambil bagi mendakwa mereka yang disyaki melanggar undang-undang. Polis akan menyediakan pasukan petugas memastikan kerja pemasangan pagar mampu disiapkan dalam tempoh dua bulan," katanya.

Projek itu diluluskan pada Mei 1993, manakala pengambilan tanah sawah seluas kira-kira 400 hektar membabitkan beratus-ratus keluarga mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, diwartakan pada September tahun yang sama.

Projek yang membabitkan usahasama Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Diperbadankan dengan Kumpulan Saudi Ben Ladin itu dimulakan pada Januari 1994. Kerajaan negeri memegang 40 peratus ekuiti saham, manakala bakinya dimiliki oleh syarikat Arab Saudi itu menerusi Samak.

Ahli lembaga pengarah bagi pihak kerajaan negeri ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Shafie; Pengerusi Samak yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Hanafi Ramli; bekas Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Shahrom Abdul Majid dan Ketua Penerangan Pas kawasan Yan, Khasim Daud.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]