FUAD HASSAN.

Langkah bersepadu tangani setinggan

SEJAK dahulu, setinggan sering menjadi masalah utama di negara kita dan negara membangun lain di dunia. Ini kerana penempatan haram itu merupakan tumpuan utama bagi penduduk yang berpendapatan rendah untuk menetap dan bernafas di ibu kota.

Bagi Selangor dan Kuala Lumpur, setinggan adalah kawasan yang didiami hampir separuh tenaga kerjanya dan sukar dihapuskan begitu sahaja walaupun telah lama 'meresahkan pandangan mata' pihak berkuasa.

Bagaimanapun, ia tidak boleh dibiarkan kerana selain mencabul tanah milik kerajaan, setinggan juga dikatakan lubuk kepada masalah gejala sosial, jenayah dan tumpuan pendatang asing.

Dalam kata lain, penduduk setinggan juga ditakrifkan sebagai individu atau kelompok manusia yang tidak mempunyai hak dan kelulusan pihak berkuasa di bawah Kanun Tanah Negara tetapi telah menjalankan aktiviti di atas tanah di mana mereka tidak berhak.

Aktiviti-aktiviti itu termasuklah pembinaan penempatan, pertanian, kediaman, pengusaha bengkel, gerai haram dan sebagainya.

Sementara itu, kerajaan Selangor yang bakal menjadi negeri maju menjelang 2005 juga merancang beberapa langkah bersepadu menangani setinggan dalam usaha tidak mahu melihat masih ada unsur itu memburukkan proses mencapai status negeri maju.

Bagi tujuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Perbandaran dan Setinggan, Datuk Fuad Hassan berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan berhubung perkara itu. Antara tindakan itu, katanya, ialah mengadakan perbincangan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh 14 pemaju perumahan yang terlibat dengan program penempatan semula setinggan pada Julai lepas.

Selain itu, pihaknya juga akan mengadakan bengkel mengatasi masalah setinggan selain mesyuarat, sesi perbincangan dan mengadakan kerjasama dengan Institut Teknologi Mara (ITM) bagi membuat bancian mengenai jumlah penduduk setinggan di negeri ini.

Apa yang paling penting, kata Fuad, pihaknya juga telah menetapkan tarikh pemutus (cut off date) bagi menjayakan program kerajaan negeri kali ini dengan cara mengklasifikasikan antara setinggan baru dan setinggan lama.

Tarikh pemutus itu membezakan di antara setinggan baru dan lama dan telah ditetapkan iaitu 1 Januari 1998 dan ia bermakna setinggan yang dibina selepas tarikh itu akan diroboh serta-merta manakala setinggan lama akan ditangani dengan cara menyediakan mereka rumah yang lebih teratur.

Bagi setinggan lama, katanya, ia dibenarkan memohon rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui tapisan Sistem Pendaftaran Terbuka Pusat (SPTB).

Manakala, bagi penduduk setinggan lama yang benar-benar tidak layak mendapat rumah kos rendah atau sederhana rendah setelah melalui tapisan Sistem Komputer Berpusat ia akan ditawarkan membeli rumah harga sederhana jika ada kekosongan.

''Bagi penduduk setinggan yang tidak mampu mendapat rumah kos rendah pula hendaklah disediakan rumah sewa ataupun diberi secara sewa beli,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, katanya, kerajaan negeri juga menjalankan gerakan pendaftaran dan bancian setinggan bagi tujuan mendapatkan data dan maklumat yang tepat berhubung dengan setinggan.

''Laporan daripada bancian itu menunjukkan di negeri ini terdapat 243 kawasan setinggan terdiri dari 33,727 buah rumah yang mengandungi 35,250 orang keluarga,'' jelasnya sambil menambah Petaling merupakan daerah yang mempunyai bilangan setinggan tertinggi iaitu 16,686 buah rumah.

Daripada 33,727 rumah setinggan itu, katanya, 28,024 ataupun 83.1 peratus adalah warganegara manakala 5,703 ataupun 16.9 peratus pula terdiri dari bukan warganegara.

Menurut Fuad, berkenaan dengan usaha yang sama, pihaknya juga telah membentuk beberapa dasar baru bagi memudahkan tindakan penyelesaian seperti:

a) Dasar Agihan Rumah Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah yang memberi keutamaan kepada golongan setinggan yang berhampiran dengan sesebuah kawasan pembinaan terbabit seperti penentuan kuota yang dipakai selama ini.

b) Dasar Pembinaan Asrama Di Kawasan Kilang iaitu mewajibkan pihak industri menyediakan rumah bagi pekerja-pekerjanya.

c) Dasar Mengehadkan Pendapatan Keluarga dengan menetapkan jumlah pendapatan keluarga sebanyak RM1,500 sebulan bagi permohonan rumah kos rendah dan RM2,000 bagi permohonan rumah kos sederhana rendah.

d) Dasar Membina Rumah Untuk Disewa dengan melibatkan pihak berkuasa tempatan membina rumah murah ataupun membelinya dengan pihak swasta bagi disewa oleh orang bujang, golongan baru bekerja dan penduduk tetap (kad pengenalan merah).

e) Dasar Penempatan Setinggan Warganegara Asing iaitu seseorang pekerja asing yang sah perlu disediakan rumah manakala yang datang secara haram ia akan dihantar pulang.

f) Dasar Mengambil Balik Tanah Daripada Pemaju Ingkar Kepada Syarat iaitu memberi kebenaran kepada kerajaan menarik balik tanah jika pemaju gagal membina rumah murah.

g) Dasar Untuk Merampas Tanah Milik Yang Digunakan iaitu pendekatan baru merampas tanah milik persendirian yang didiami setinggan walaupun telah diberi notis dalam tempoh tertentu.

h) Dasar Melibatkan Projek Yang Mempunyai Komponen Rumah Murah iaitu bagi projek perumahan, jadual mesti didahului dengan pembinaan rumah murah sebelum membina rumah yang lebih mahal. i) Dasar Pengagihan Dari Sistem Komputer Berpusat iaitu agihan dari Sistem Komputer Berpusat bagi rumah murah dan ia mesti berasaskan kepada 50 peratus daripada senarai Sistem Komputer Kerajaan Negeri dan 50 peratus daripada senarai pejabat pejabat daerah.

Persoalannya, mampukah kerajaan negeri melaksanakan proses ini dalam masa tujuh tahun akan datang sedangkan ia telah mula berakar wujud sejak berdekad yang lalu.

Mampukah mereka, sedangkan dalam banyak perkara terutamanya melibatkan setinggan seperti menangani masalah 'hero setinggan' dan 'setinggan profesional' tidak dapat diatasi sepenuhnya buat sekian lama.

Bagaimanapun, teknik baru ini menuntut komitmen kerja yang kuat dan bersepadu di jabatan dan agensi kerajaan negeri yang terlibat dan jika ia berjaya-kaedah yang sama mungkin perlu dipraktikkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Malah kementerian terbabit wajar mengaplikasikannya di peringkat nasional dalam usaha menghapuskan setinggan di Malaysia yang akan menjadi negara maju menjelang 2020.