Berita Harian Online
Sabtu 17 Januari 1998  18 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Malaysia tidak perlu IMF: Camdessus

MESRA... Dr Mahathir bersalaman dengan Camdessus yang mengadakan pertemuan dengan beliau di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar Bernama

 

KUALA LUMPUR, Jumaat - Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Michel Camdessus, tertarik dengan dasar fiskal Malaysia terutama rancangan penyusunan semula sektor kewangan dan menyifatkan Malaysia tidak memerlukan program IMF.

 Beliau berkata, Malaysia perlu terus mengukuhkan dasar kewangannya bagi mencapai adunan dasar yang lebih baik dalam usaha memulihkan keyakinan pasaran berikutan kemudahruapan pasaran mata wang dan tukaran asing.

 "Kedudukan kewangan Malaysia kukuh dan cukai tidak perlu dinaikkan. Kedudukan fiskal negara ini juga cukup teguh," katanya pada sidang akhbar selepas mengakhiri lawatan dua hari ke sini, petang ini.

 Camdessus tiba di sini semalam untuk lawatan dua hari. Beliau mengadakan kunjungan ke beberapa negara Asia termasuk Korea Selatan dalam usaha mengurangkan krisis ekonomi yang dihadapi rantau ini.

 Semalam, beliau menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan hari ini mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Beliau juga berbincang dengan pegawai kanan Bank Negara.

 Camdessus berkata, sistem kewangan Malaysia perlu diawasi dengan berhati-hati oleh Bank Negara dan pihak berkuasa bagi menjamin ia sentiasa mematuhi kecairan modal dan dengan itu pinjaman tidak berbayar boleh dikekalkan pada tahap rendah.

 Menurutnya, cadangan penggabungan institusi kewangan tempatan amat dialu-alukan kerana ia akan mengukuhkan kedudukan mereka dan meningkatkan kelebihan daya saing apabila pasaran kewangan tempatan terus dilonggarkan nanti. 

Bagaimanapun, katanya, IMF berasakan pertumbuhan kredit di negara ini terlalu pesat terutama sejak dua tahun lalu dan kerana itu, mahu melihat pengurangan pertumbuhan itu.

 "Pertumbuhan kredit agak keterlaluan, sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun lalu. Ada kemungkinan tekanan inflasi berikutan nilai ringgit yang susut. Bank Negara nampaknya bersedia mengurangkan pertumbuhan kredit bagi mengurangkan tekanan," katanya. 

Beliau berpendapat, berbeza dengan negara lain, Malaysia terjejas oleh krisis mata wang dan pasaran yang lebih disebabkan oleh kesan jangkitan.

 Mengenai pembaharuan struktur yang boleh dilaksanakan oleh Malaysia, beliau berkata sistem kawalan harga barangan serta campur tangan kerajaan dalam beberapa bidang ekonomi, yang sudahpun berjaya apda masa lalu, 'memang perlu dianalisis semula dan mungkin perlu dibatalkan'.

 Pasukan IMF yang berada di sini untuk berunding akan kembali semula pada Mac depan bagi membincangkan pelaksanaan langkah ketat selanjutnya, selain yang sudah dilaksanakan Malaysia setakat ini.

 Ditanya mengenai respon Dr Mahathir dan Anwar terhadap keperluan mengadakan pembaharuan struktur selanjutnya, Camdessus berkata ia tidak dibincangkan secara khusus.

 Camdessus menjelaskan mengenai pembaharuan yang dilaksanakan oleh ekonomi serantau yang terjejas. Beliau bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir mengenai perlunya negara ini sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah persediaan selanjutnya untuk mengukuhkan sektor kewangan.

 "Pembaharuan struktur perlu ditangani oleh kerajaan dan bank pusat," katanya. Beliau juga berkata, Singapura juga tidak memerlukan sebarang pembiayaan daripada IMF dan Thailand pula bukan saja tidak mahu berbincang lanjut program sedia ada dengan IMF, malah tidak meminta pembiayaan tambahan daripada agensi yang berpangkalan di Washington itu.

 Camdessus juga yakin kegawatan ekonomi teruk di Indonesia dan Korea dijangka pulih dalam tempoh dua tahun lagi.

 

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]