Kanser otak bertambah kerana telefon selular

SYDNEY 4 Jan. _ Pertambahan mendadak dalam kes ketumbuhan otak mungkin ada kaitan dengan penggunaan telefon selular yang semakin kerap, menurut laporan dalam Medical Journal of Australia.

Menurut pakar penyakit kanser, Andrew Davidson dari Hospital Fremantle di Western Australia, daftar kes kanser di negeri itu menunjukkan kenaikan 50 peratus dalam kes penyakit tersebut di kalangan lelaki dan 62.5 peratus di kalangan wanita dalam tempoh 10 tahun sejak 1982.

Data daripada daftar itu menunjukkan kadar kes ketumbuhan otak ialah 6.4 bagi setiap 100,000 lelaki dan 4.0 bagi setiap 100,000 wanita pada 1982.

Sepuluh tahun kemudian, kadar itu meningkat kepada 9.6 bagi lelaki dan 6.5 bagi wanita.

''Kenaikan kadar kes diandaikan ada kaitan dengan penggunaan telefon mudah alih (selular) pada penghujung 1980-an,'' tulis Davidson dalam sepucuk surat kepada jurnal itu.

Katanya, beliau telah berkali-kali cuba mendapatkan maklumat daripada rangkaian telekomunikasi Telstra supaya beliau dapat menjalankan kajian tentang penggunaan telefon selular di kalangan pesakit ketumbuhan otak, tetapi belum mendapat jawapan selepas setahun.

Ketika mengulas tentang kajian di Western Australia itu, bekas ahli sains Telstra, Bruce Hocking berkata, setakat ini belum ada bukti untuk menunjukkan risiko kanser otak akibat penggunaan telefon mudah alih atau alat komunikasi yang lain.

''Bagaimanapun, telefon mudah alih telah digunakan dengan meluas kurang daripada sepuluh tahun dan memang ada sebab untuk kita berhati-hati,'' katanya.

Kata Hocking, kini seorang pakar runding swasta, beliau berharap syarikat telefon lebih mudah memberi kerjasama pada masa depan.

''Syarikat telefon tidak boleh berkata, 'tiada apa yang perlu dirisaukan' tetapi 'anda tidak boleh pastikannya'; mereka tidak boleh mengambil kedua-dua pendirian,'' kata Hocking.

Menurut pengurus keselamatan frekuensi radio Telstra, Jack Rowley, kebimbangan mengenai soal kehidupan peribadi perlu diatasi sebelum penyelidik dibenarkan memperolehi data bil pelanggan.

Profesor Bruce Armstrong dari Majlis Kanser New South Wales berkata, Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Negara (NHMRC) akan diminta untuk membiayai sumbangan Australia di bawah kajian yang dicadangkan oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan mengenai Kanser yang beribu pejabat di Lyons, Perancis.

''Dalam dua tahun kami menjangka dapat mengumpulkan maklumat mengenai 300 kes ketumbuhan otak yang baru _ 175 dari New South Wales dan 125 dari Victoria _ dan kemudian mengkaji tentang penggunaan telefon mudah alih di kalangan pesakit terlibat,'' katanya. - AFP.