Al-Hidayah

Ke Arah Pembentukan Generasi Al-Quran


Ibadah Dalam Islam

Mukaddimah

Ibadah dalam Islam berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan-amalan kepercayaan dan agama lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, menolak dan meninggalkan kehidupan dunia sebagaimana yang dipelopori oleh golongan ascetisme, ianya juga bukan terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu atau dewa-dewa yang dipilih dan dibuat khas untuk tujuan ini - tanpa mereka amalan seseorang itu tidak akan diterima. Konsep-konsep seumpama ini tidak ada tempat langsung di dalam syariat Islam. Namun demikian, pengaruh konsep asing ini dapat juga menyerap ke dalam kehidupan sebahagian besar umat Islam. Oleh itu timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah. Ada yang menganggap ibadat itu tertumpu kepada solat, puasa, haji dan zakat sahaja; terdapat juga mereka-mereka yang mengaku beribadat kepada ALlah tetapi ubudiyyah mereka mereka juga diberikan kepada selain daripada ALlah; malah ada yang berpendapat bahawasanya ruang ibadah itu adalah jauh sekali malah tidak ada sama sekali kaitannya dengan urusan masyarakat terutamanya di bidang siyasah (politik).

Sebenarnya, ALlah telah meletakkan ibadah di tempat yang paling istimewa sekali. Di dalam Al-Quran menjelaskan bahawa seluruh jin dan manusia dijadikan semata-mata untuk tujuan ini. Ini perlu difahamkan oleh setiap Muslim dan Muslimat, agar mereka benar-benar dapat melaksanakan segala tuntutan Islam dalam kehidupan mereka seharian.

Mengapa Manusia Dijadikan?

Dalam Al-Quran, ALlah telah memberi jawapan kepada pertanyaan tersebut, iaitu: ALlah menjadikan manusia supaya menjadi khalifah-Nya di muka bumi ini. Ini nyata sekali dalam kisah Adam a.s dan cita-cita malaikat untuk menduduki tempatnya.

Firman ALlah:

"Ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat bahawa Aku akan melantik khalifah di bumi…"

(Al-Baqarah: 30)
Perkara utama tentang kelayakan jawatan khalifah ini adalah bahawa manusia itu hendaklah mengenali Tuhannya dengan sebenar-benarnya dan beribadat kepada-Nya dengan sebenar-benar ibadat. Ini adalah berdasarkan kepada firman ALlah:

"ALlah yang menjadikan tujuh petala langit dan begitu juga bilangan dari bumi, yang mana segala perintah diturunkan di antara kedua-duanya supaya kamu mengetahui ALlah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu dan ilmu-Nya telah meliputi tiap-tiap sesuatu."

(At-Talaq: 12)
Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradawiy, ayat ini jelas menunjukkan bahawa mengenal ALlah itu adalah tujuan bagi segala kejadian langit dan bumi.

Firman ALlah:

"Dan Aku tidak jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku."

(Az-Zariyat: 56)
Dari ayat di atas, ternyata sekali bahawa menurut hukuman fitrah dan peraturan alam, manusia itu dijadikan hanya untuk ALlah, bukan untuk yang lain; yakni untuk beribadat kepada ALlah dan bukan beribadat sesama manusia atau kepada batu atau lembu, matahari atau pun bulan, kerana semua jenis ibadat terhadap yang lain dari ALlah adalah rekaan dan hasutan syaitan yang menjadi musuh kepada manusia.

Takrif Ibadah

Dari segi bahasa, ibada bermaksud merendah diri, tunduk, patuh dan taat. Dan menurut syara', ibadah diertikan sebagai taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada ALlah. Syeikh Ibn Taimiyyah pula dalam kitab Ubudiyyahnya ada menyatakan bahawa: "Ibadah asal maknanya kehinaan tetapi ibadat yang diperintah ALlah atau yang disyara'kan ke atas manusia merangkumi makna kehinaan dan kecintaan bersama iaitu kemuncak kehinaan diri seseorang bila berhadapan dengan ALlah dan kemuncak kehinaan kepada-Nya. Juga terdapat ahli tafsir seperti At-Tabari yang menjelaskan maksud beribadah kepada ALlah seperti berikut: iaitu khusu' kepada-Nya merendah diri dan tetap hati kepada-Nya.

Kesimpulannya, ibadah adalah keyakinan, sikap, amalan dan keadaan yang memenuhi makna-makna yang disebutkan tadi dalam hubungan manusia dengan ALlah.

Ciri-ciri Ibadah Dalam Islam

  1. Perhubungan manusia dengan Tuhan tidak memerlukan perantaraan. Perhubungan dengan ALlah adalah secara terus, ini bermakna tiadanya dominasi dari para alim ulama' dalam melakukan peribadatan kepada ALlah. Ini berbeza sekali dengan apa yang terdapat di dalam agama Kristian di mana rahib-rahibnya berperanan sebagai tuhan iaitu dalam menentukan hukum dan juga dalam mengampunkan dosa penganut agama tersebut. Tetapi di dalam Islam hanya ALlah sahajalah sumber hukum dan Ia sahajalah tempat seseorang itu harus mengadu. Ini boleh dilakukan secara langsung kepada ALlah tanpa perlu mengadap tok-tok alim. Namun begitu para alim ulama' mempunyai peranannya sendiri dalam masyarakat yakni dalam memandu anggota masyarakat ke arah melakukan peribadatan dengan cara yang betul.
  2. Tiada terkongkong pada sesuatu tempat peribadatan sahaja. Ibadah boleh dilakukan di mana-mana sahaja kerana di mana sahaja seseorang itu berada, perhubungan langsung dengan ALlah dapat dilaksanakan. Islam menganggap seluruh bumi kecuali tempat-tempat yang najis dan kotor sebagai masjid. Hal ini dapat dilihat dalam amalan RasuluLlah saw sendiri di mana beliau bersembahyang di tengah-tengah padang pasir dan juga semasa berkenderaan.
  3. Keluasan ibadat dalam Islam.Ruang ibadah di dalam Islam amat luas sekali. Ianya merangkumi setiap aktiviti kehidupan manusia. Setiap apa yang dilakukan baik yang bersangkutan dengan individu mahu pun dengan mayarakat boleh dijadikan sebagai ibadah kepada ALlah jika memenuhi syarat-syarat tertentu. Ibadah dalam Islam terbahagi kepada dua, iaitu:
Kedua-dua bahagian ini melengkapkan pengertian ibadah yang sebenar di dalam Islam. Ianya juga menunjukkan kesyumulan Islam. Sebagaimana ditegaskan oleh ALlah di dalam Al-Quran:

"Tidak Kami alpakan dalam Al-Kitab ini suatu apa pun."

(Al-An'am: 38)
"Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri."
(An-Nahl: 89)
 Untuk sesuatu amalan itu dijadikan sebagai ibadat kepada ALlah, perlulah ianya memenuhi syarat-syarat seperti berikut:
  1. Amalan yang dikerjakan hendaklah diakui Islam, sesuai dengan hukum-hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut, ada pun amalan-amalan yang diingkari Islam seperti kerja yang ada hubungannya dengan riba' dan tari menari atau sebagainya maka tidaklah sekali-kali menjadi ibadah, kerana ALlah bersifat bersih dan baik tidak menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.
  2. Amalan yang dikerjakan dengan niat yang baik pula sebagai seorang Muslim bagi memelihara kehormatan dirinya, bagi menyenangkan keluarganya, bagi manfaat umatnya dan bagi memakmurkan bumi ALlah sebagaimana yang dianjurkan oleh ALlah swt.
  3. Amalan-amalan itu hendaknya dibuat dengan seelok-eloknya bagi menepati kehendak-kehendak hadis Nabi saw. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim yang bererti:"Sesungguhnya ALlah mewajibkan kebaikan pada tiap-tiap sesuatu." Dalam hadis yang lain pula, RasuluLlah saw bersabda:"Bahawa ALlah suka apabila seseorang dari kamu membuat suatu kerja memperelokkan kerjanya itu."
  4. Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang.
  5. Syarat yang kelima dalam mengerjakan amalan-amalan duniawi itu tidak lalai dan tidak cuai dalam menjalankan kewajipan ibadat khusus seperti solat, puasa dan sebagainya sesuai dengan firman ALlah:
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah hendaknya harta-harta kamu dan anak-pinak kamu itu melalaikan kamu dari mengingati ALlah, barang sesiapa berbuat demikian (dilalaikan oleh harta dan anak-anaknya dari mengingati ALlah), maka merekalah orang-orang yang rugi."
(Al-Munafiqun: 9)
"Lelaki-lelaki yang tidak melalaikan oleh mereka perniagaan atau jual beli dari mengingati ALlah, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat."
(An-Nur: 37)
Maka, bila sahaja seseorang mukmin dapat menyempurnakan kelima-lima syarat di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari dia adalah dikira sentiasa beribadat kepada ALlah meskipun dia tidak duduk di masjid-masjid atau di surau-surau ketika membuat kerja-kerja itu.

Ruang Ibadah

Bila kita faham agama dan seluruh ajarannya adalah ibadat dan kita tahu bahawa agama Islam membawa sistem hidup yang lengkap bagi manusia dari segi lahiriah dan rohaniah serta membataskan gerak geri manusia dan perhubungan antara mereka sesuai dengan sistem ciptaan Ilahi, maka tahulah kita bahawa ibadat kepada ALlah adalah meliputi hidup seluruhnya dan merangkumi segala urusannya termasuklah adab susila dan kesopanan mulai dari makan minum dan masuk tandas hinggalah kepada urusan pembentukan negara, politik pemerintahan, urusan kewangan dan ketenteraan, hal ehwal perhubungan antara manusia dan tindakan-tindakan ke atas mereka yang bersalah bahkan ibadat meliputi segala asas bagi perhubungan antarabangsa sama ada dalam masa perang atau dalam masa damai.

Kita dapati Al-Quran sering menghadapkan perintah-perintah dan hukum-hukum syariah kepada hamba-hambanya yang beriman dalam berbagai aspek hidup. Umpamanya dalam satu surah iaitu surah Al-Baqarah sahaja kita temui sejumlah tugas atau kewajipan-kewajipan yang ditetapkan ke atas orang-orang yang beriman. Antara ayat-ayat itu adalah

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu menjalankan hukum Qisas dalam perkara orang yang mati dibunuh." "Telah diwajibkan ke atas kamu bila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia meninggalkan harta pusaka, hendaklah ia membuat wasiat bagi faedah kedua ibubapa dan keluarganya yang terdekat dengan cara yang baik." "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebulan seperti yang telah diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu semoga kamu mendapat taqwa dengan mengerjakan puasa itu." "Telah ditetapkan ke atas kamu berperang menentang musuh sedangkan kamu benci berperang, mungkin perkara yang kamu benci itu lebih baik untuk kamu."

Semua perkara tersebut di atas iaitu qisas, wasiat, puasa dan perang sabil adalah kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkan ALlah ke atas hamba-hambanya, oleh yang demikian, hendaklah mereka beribadat menyembah ALlah dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan tersebut dan sentiasa terikat kepada-Nya.

Dengan kenyataan ini, jelaslah suatu hakikat yang mana di kalangan orang-orang Islam sendiri ramai yang jahil terhadapnya. Mereka tidak faham dari erti ibadat melainkan solat, puasa, zakat, haji dan umrah serta lain-lain ibadat yang seumpamanya seperti doa dan zikir. Mereka tidak menyedari adanya pertalian yang erat antara perkara-perkara itu dengan ikhlas, susila, adab sopan, peraturan dan undang-undang atau adat dan tradisi.

Kesimpulan

Sesungguhnya beribadat kepada ALlah tidaklah terbatas kepada mengerjakan solat, puasa, zakat, haji dan perkara-perkara yang ada kaitan dengannya seperti membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan beristighfar sebagaimana kefahaman sesetengah golongan orang Islam. Kebanyakkan mereka menyangka bahawa bila mereka telah menunaikan fardu-fardu syiar Islam bererti mereka telah menyempurnakan segala hak ALlah dan kewajipan ubudiyyah terhadap-Nya.

Sebenarnya syiar-syiar agama yang besar dan rukun-rukun asasi bagi pembentukan Islam itu, walau bagaimana penting dan tinggi kedudukannya, ia hanya sebahagian daripada jenis ibadat kepada ALlah, bukanlah ia merupakan seluruh ibadat yang dikehendaki ALlah daripada hamba-hamba-Nya. Benarlah bahawa manusia yang dicipta ALlah di atas asas dan tujuan beribadat kepada ALlah dan menjadikan ibadat itu matlamatnya dalam hidup dan tanggungjawabnya di atas muka bumi adalah mempunyai daerah yang amat luas sekali iaitu meliputi seluruh urusan kehidupan manusia.