SEJARAH

Asal Kg. Kesang Tua

 

Sejarah Sekolah

ASAL NAMA KAMPUNG KESANG TUA

 

Mengikut tinjauan dari beberapa orang tua yang masih berada sekarang, pembukaan kampung ini bermula sejak dua ratus tahun yang lampau, semasa kerajaan Belanda menakluki Melaka dari tangan Portugis, tahun 1641 - 1795.

 

Sepasang suami isteri yang baru berkahwin telah berselisih faham dengan keluarganya di Pulau Sebang, Tampin. Oleh kerana merajuk, mereka telah merantau membawa untung nasib sendiri. Mereka telah membuat sebuah pondok yang diperbuat daripada kayu kempas ( diramalkan Kampung Pondok Kempas sekarang ). Disebabkan tiada bersesuaian, mereka meneruskan perantauan mereka dan membuat rumah dan menetap di tepi tebing sungai Bertarah iaitu Simpang Kemendor sekarang.

 

Suatu hari ketika si isteri sedang membasuh, kerosang emas yang dipakainya telah jatuh dan dihanyutkan oleh air. Mengenangkan peristiwa sedih dan menyayat hati bagi pasangan tersebut, maka dinamakan tempat itu dengan panggilan "Kosang Tua", yang mana akhirnya disebut KESANG TUA seperti yang termaklum hingga hari ini.

 

SEJARAH SEKOLAH KESANG TUA

 

Pada tahun 1880, sebuah bangunan sekolah berbentuk empat persegi dengan keluasan 40 kaki X 40 kaki dan tiangnya setinggi 4 kaki, berdindingkan papan 3 kaki dan beratap genting telah dibina di Simpang Air Panas ( tapak balai raya sekarang ). Darjah tertinggi pada waktu itu ialah setakat darjah empat sahaja. Alat tulis menulis bagi murid - murid hanya menggunakan papan batu sahaja. Guru besar pada waktu ialah Cikgu Md. Nor dari Durian Tunggal.

 

Antara tahun 1910 hingga 1927 peringkat ajarannya meningkat hingga darjah lima. Murid - murid darjah satu hingga darjah empat berjalan seperti dahulu. Tetapi bagi murid darjah lima mereka telah menggunakan buku tulis dan duduk di bangku bercantum (berangkai) antara meja dan kerusi sepanjang 12 kaki untuk lapan orang murid.

 

Pada 9hb Ogos, 1927, Penolong Nazir Sekolah Melaka, Raja Ahmad Nordin telah mengarahkan guru besar supaya membuat tindakan berpindah ke sekolah baru yang hampir siap pembinaannya. Pada 6hb September, 1927, dengan arahan guru pelawat Cikgu Ahmad Jaudin, perpindahan keseluruhannya telah dilakukan. Sekolah baru ini adalah diambil sebahagian dari Hutan Simpanan kerajaan seluas 2 ekar 3rod 27 pol di tanah Lot No. 997 Mukim Kesang , Jasin, Melaka.

 

Pada 26hb. Jun, 1919, Tuan Residen Negeri Melaka telah dating untuk menyampaikan 'Mangkuk Perak' atau piala di atas kejayaan menjadi johan Kebun Sayur Sekolah-Sekolah Seluruh Negeri Melaka, kepada guru besar pada masa itu iaitu Cikgu Md. Baki bin Hj. Saad.

 

Pada tahun 1963 sebuah bangunan berukuran 100 kaki X 30 kaki telah siap dibina dengan dilengkapkan sebuah bilik Pejabat Guru Besar dan tiga buah kelas. Pada 6hb. Julai, 1963, Yang Amat Berhormat Encik Abd. Ghafar bin Baba selaku Ketua Menteri Melaka telah merasmikan bangunan tambahan tersebut.

menu

previous

next

 

[ kataaluan | lencana |motto | piagam | organisasi | guru | bukan staf |Aktiviti | upsr ]