Pengalaman Seorang Imam Mengikuti Rombongan Ke Putra Jaya
- sambongan

Di sebuah hotel mewah di KL, kami diberikan jamuan makan oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Tengku Adnan Tengku Mansur. Beliau menyambung ceramahnya bahawa Mahazalim mahu menegakkan negara Islam. Kerana itulah apabila Pusat Pentadbiran Kerajaan dipindahkan dari KL ke Putra Jaya, mula-mula yang didirikan oleh Mahazalim ialah Masjid Putra Jaya, seperti juga Nabi yang berhijrah ke Madinah, mula-mula yang beliau dirikan ialah Masjid Madinah. Sebelum itu semasa memasuki dewan  kami diminta menandatangani sekeping kertas kehadiran. Rupa-rupanya kami diperangkap oleh pengerusi majlis di malam itu dimana beliau menggunakan tandatangan kami ini sebagai surat sokongan kami kepada Mahazalim dan sokongan kami untuk dua orang ADUN kawasan kami supaya dicalunkan semula oleh Mahazalim........Surat ikrar yang dikepilkan dengan tandatangan kami itu diserahkan kepada Tengku Adnan! Inilah tektik kotor UMNO. Kami imam-imam tidak dibenarkan membaca khutbah politik dan diajak melawat Putra Jaya tetapi kami pula dilibatkan dengan politik kepartian UMNO.
 
Tiba pula giliran Pengarah BTN yang berbadan kecil itu berbicara. Beliau mengatakan bahawa Mahadhir pernah memasuki ka'abah dan beliau mempunyai gambarnya. Jika Mahadhir itu Firaun, sudah tentu Allah tidak membenarkan beliau memasuki ka'abah. Beliau bertanya apakah Allah tidak tahu pada tahun 1998 nanti Mahadir menjadi Firaun? Beberapa orang diantara kami tertawa mendengarnya. Perbicaraan keseluruhannya menerangkan kenapa Mahazalim memecat Anwar dan keburukan perangai Anwar semasa menjadi pemimpin pelajar tahun 1974 dulu. Beliau mengatakan bahawa beliau juga adalah pemimpin pelajar Islam di Universiti. Beliau menjawap beberapa pertanyaan yang telah disediakan terlebih dahulu oleh penganjur (UMNO). Diantara pertanyaan tersebut ialah mengapa kebanyakan ulamak sekarang menyertai pembangkang. Beliau mengatakan bahawa mereka itu bukanlah ulamak kerana mereka mementingkan pencen mereka yang diberi oleh kerajaan. Nik Aziz, menteri besar Kelantan juga dibayar gaji oleh kerajaan tetapi mereka ini  menentang kerajaan pula. Saya hanya sempat menggelengkan kepala sahaja.Akhirnya saya dan beberapa orang lain tertidur di meja makan kerana penceramah sengaja menyelewengkan fakta dan cuba menipu kami. Saya hanya tersedar apabila veteren UMNO bertepuk tangan dan majlis selesai jam 12 malam.
 
Besoknya kami terus dibawa ke Putra Jaya dan diberikan taklimat pembangunan oleh Pegawai Perhubungan Awam JPM, En. Sulaiman b. Abd. Manan, tentang Putra Jaya, rumah Perdana Menteri yang telah ditukar namanya menjadi Kompleks Perdana Menteri dan juga Masjid Putra Jaya. Kompleks Perdana Menteri akan dibuka kepada orang ramai pada tahun depan. Menjawab satu pertanyaan, pegawai tersebut mengatakan kos keseluruhan Putra Jaya dianggarkan berjumlah 2 bilion ringgit, walaupun bagaimana kos tersebut belum lagi muktamad. Ada juga kawasan yang dikhaskan kepada kerajaan luar negeri untuk mereka membeli tapak bangunan kedutaan mereka. Setakat ini hanya Negeri Berunai sahaja yang membelinya. Beliau menyampaikan penerangan begitu baik. Di dalam sessi soal jawab, ketua rombongan kami mengambil kesempatan untuk berucap dengan memuji-muji pembangunan yang dibuat oleh Mahazalim dan merasa kesal kerana ada pihak-pihak tertentu yang ingin melelong Putra Jaya jika mereka memerintah.
 
Semasa  kami dibawa melawat keliling Pusat Pentadbiran Putra Jaya, saya sempat berbual-bual dengan beberapa orang Imam tentang pembangunan Putra Jaya dan kebanyakan mereka kagum dengan projek tersebut yang begitu mewah dan moden  tetapi mereka juga mengatakan bahawa ini adalah kesenangan dan kemewahan dunia saja, kita pula hanya dapat melihat dan bergambar sahaja. Elaun imam pun cuma 200 ringgit setahun. Kemudian kami solat Jumaat di Masjid Putra Jaya. Apa yang menghampakan ialah apabila khatib membaca khutbah berkenaan dengan sambutan ulangtahun Badan Pencegah Rasuah (BPR), bukan seperti yang dilakukan oleh Rasulullah berkhutbah di Masjid Madinah, seperti yang ada didalam Hadith-Hadith Nabi. Nampaknya tujuan Masjid didirikan telah lari dari Sunnah Nabi, dan tidak pula Dolah Badawi atau Hamid Othman yang solat bersama menyampaikan khutbah.
 
Semasa perjalanan pulang kami diberikan lagi 5 ringgit dan ketua rombongan kami mengucapkan terima kasih kepada kami semua dan beliau meminta kami menyokong ADUN UMNO sekarang ini dalam pilihanraya akan datang.
Seorang imam dalam bas itu bersuara, beri kami ambil, undi belum tahu. Saya hanya tersenyum....
 
 
Kiriman ABA