UMNO PERSETANKAN ISU MURTAD

ROSLAN SMS

Usaha Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, YB Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang untuk membentangkan 4 usul berupa “Private Bill” menyentuh isu murtad gagal di Parlimen semalam. Private Bill tersebut yang sepatutnya dibentangkan selepas Rang Undang-undang Penjualan Dadah (Pindaan) 1999 diluluskan, tidak dapat dibentangkan kerana wakil-wakil UMNO dan BN telah bersekongkol melengah-lengahkan urusan kerajaan. Rang Undang yang sepatutnya digulung dan diluluskan itu, sengaja dipanjang-panjangkan. Ali Rustam selaku pelakon utama sebagai Timbalan Menteri Kesihatan  telah memecah rekod Parlimen dengan mengambil masa yang terpanjang untuk menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut semata-mata untuk tidak memberi ruang kepada Ustaz Hadi. Cuma pada jam 5.30 barulah rang undang-undang itu diluluskan dan ketika itu urusan Parlimen pun terus ditangguhkan.

Telah berkali-kali Ustaz Hadi selaku wakil PAS berusaha membentangkan bill seumpama ini di Parlimen dan kini sekali lagi ianya diketepikan begitu sahaja oleh UMNO yang mendakwa dirinya berjuanga untuk memartabatkan agama dan bagsa.. Dengan tindakan ini jelaslah kepada seluruh umat Islam serta orang Melayu khususnya betapa tiadanya kesungguhan UMNO untuk menangani isu murtad di negara ini. Biarlah seramai mana umat Melayu yang murtad di Malaysia ini, itu urusan mereka, UMNO tidak berminat untuk campurtangan. UMNO tidak pun berusaha untuk mendengar cadangan-cadangan PAS atau kalau mereka prihatin sekurang-kurangnya mereka mengemukakan rang undang-undang mereka sendiri berhubung isu ini.

Memang Hamid Othman dahulu kononnya beria-ia mengatakan yang kerajaan akan menangani isu ini melalui undang-undang murtad tapi sehingga hari ini jelas Hamid Othman selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal Islam di kabinet berbohong kepada umat Islam di Malaysia. Apa lagi alasan yang ada dalam benak kepala pimpinan UMNO sekarang?

Rakyat khususnya orang Melayu kena sedar dan insaf bahawa UMNO bukan sahaja tidak memberi keutamaan malah menolak langkah-langkah membendung dan membenteras permasalahan murtad dikalangan umat Islam. UMNO memberi kebebasan kepada umat Islam menukar agama sesuka hati mereka, dan ini adalah sikap yang sangat membahayakan Islam.

Oleh itu apakah lagi yang hendak dikatakan apabila Tuan-tuan meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada UMNO dalam pilihanraya yang akan datang? Awas, dari perkembangan ini jelas UMNO tidak mahu kepada cara penyelesaian Islam, jelas UMNO menganggap dan mengiktiraf bahwa sesorang itu bebas untuk memilih serta menukar agamanya termasuklah saudara mara dan anak-anak kita sendiri! Kalau Tuan-tuan berterusan memberikan sokongan kepada UMNO maka Tuan-tuan bersubahat dalam membenarkan perkara murtad berlaku dengan bebas dalam masyarakat. Bayangkanlah siksaan yang menanti Tuan-tuan di akhirat kelak kiranya Tuan-tuan masih yakin yang akhirat itu ujud, na’uzubillah!

Sedar dan insaflah wahai bangsa ku, jangan demi menjaga kepentingan politik maka agama dan aqidah dipergadaikan. Islam lebih penting dari UMNO dan BN. Selamatkanlah aqidah kita, jangan lagi memberikan undi anda kepada UMNO dan BN!

Roslan_s@yahoo.com