Bukti UMNO memperalatkan agama di Sabah

Kerana terlalu inginkan menawan kerajaan negeri, Barisan Nasional melalui Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan suatu jawatan yang dinamakan Pegawai Dakwah Kontrak (PDK)

Seramai 60 orang pegawai dilantik dan ditempatkan di setiap 48 kawasan dewan undangan negeri Sabah. Dalam ucapan YB Dato’ Dr. Hamid Othman ketika mengalu-alukan perlantikan pegawai-pegawai berkenaan, beliau menegaskan bahawa tugas mereka ada dua iaitu yang tersurat dan yang tersirat.

Tugas tersurat ialah kerja-kerja dakwah yang biasa seperti mengadakan ceramah agama, kuliah dan seumpamanya. Tetapi yang lebih ditekankan ialah tugas tersirat iaitu mesti memasukkan seruan supaya rakyat Sabah menyokong UMNO dan Barisan Nasional semasa pilihan raya.

Dalam kursus orientasi yang diadakan di Hotel Labuan, mereka didedahkan kepada pelbagai taktik dan strategi oleh para VIP dari pelbagai agensi termasuk oleh Suruhanjaya Pilihanraya. Untuk melengkapkan orientasi mereka diperkenalkan pula dengan ketua-ketua bahagian UMNO di setiap 20 bahagian di Sabah.

Mereka diminta membuat laporan program harian kepada pengarah BAHEIS. Apabila BN berjaya memerintah Sabah, serta-merta kedudukan PDK menjadi terumbang-ambing. Mereka seperti kehilangan tugas. Kedudukan mereka mula dipersoalkan oleh para pegawai perjawatan sendiri. Dato’ Dr. Hamid Othman sendiri tidak begitu memberi layanan kepada mereka. Pada hal mereka pernah diminta oleh Dr. Hamid untuk berkempen dalam pemilihan UMNO pada tahun 1997. Merekalah yang membahagi-bahagikan kitab suci al-Quran kepada perwakilan UMNO di Kuala Lumpur dengan seruan supaya mengundi Hamid Othman. MasyaLlah !

Kini sudah ramai yang tiada. Ada yang meletakkan jawatan mencari pekerjaan lain dan ramai juga yang ditamatkan kontrak. Hanya beberapa kerat sahaja yang masih survive terutamanya pembodek dan penjilat Dr. Hamid Othman serta memusuhi DSAI.

Dari beberapa sumber saya dimaklumkan ada juga kalangan mereka yang menduduki jawatan politik. Tetapi yang menyedihkan ada yang memang langsung tidak dipeduli dan hidup menganggur. Begitulah nasib para pendakwah oleh UMNO. Habis manis sepah dibuang. Memang kejam dan tidak berperi kemanusiaan !